KHAI BAHAR BAKAL GEGARKAN DFP KLCC 11 NOVEMBER DEPAN

Siapa menyangka suatu ketika dahulu beliau hanyalah seorang pemuda kampung yang bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang penyanyi. Kesungguhan beliau bukan hanya  sekadar angan-angan, tetapi anak kelahiran Kangar, Perlis ini berjaya membuktikan beliau antara penyanyi lelaki tempatan yang cukup berpengaruh ketika ini. 

Pernah merakamkan beberapa buah lagu 'cover' dalam aplikasi smule sehingga videonya turut dimuatkan di beberapa laman YouTube sehingga menjadi 'viral', Muhammad Khairul bin Baharudin atau Khai Bahar kini mampu tersenyum malahan anak keempat dari enam adik beradik ini tidak mudah mengalah bahkan figura hebat yang berusia 29 tahun ini bakal mengegarkan Kuala Lumpur dengan konsert pertamanya di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC.

Menjadi seseorang yang dikenali sehingga pernah berduet dengan beberapa penyanyi termasuk Dato' Sri Siti Nurhaliza, Khai Bahar mencipta legasi muziknya yang tersendiri menerusi rangkaian lagu-lagu pelbagai rentak antaranya pop, balada, slow rock, R&B dan juga melayu asli. Kehebatan Khai terbukti apabila buat pertama kalinya bakal beraksi di pentas cukup berprestij diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). 

Memilih 11 November depan,  pelantun suara Bayang, Luluh dan Pejam ini, Khai Bahar menyifatkan persembahan solonya di DFP nanti sebagai satu penghormatan tertinggi dalam kariernya sebagai anak seni. 

"Memang teruja tak terkata apabila saya menjadi sebahagian dari sejarah apabila dapat membuat persembahan di sini. Memang  tak dinafikan saya pernah mengimpikan untuk menyanyi di pentas sebesar ini. Apabila saya dipilih bagi meraikan ulang tahun ke-25 DFP menerusi konsert solo ini, saya kata okay, on!

"Bagi saya, ini peluang yang perlu saya ambil kerana sebagai seorang penyanyi, setiap persembahan itu penting. Untuk konsert ini, saya akan menyanyi lebih kurang 15 hingga 17 buah lagu. Ada Pop, Dangdut, Tradisional, Balada dan juga lagu-lagu 'cover' yang pernah Khai buat. Bagi peminat muzik dan Khai Bahar, jemput datang 11 November ini," katanya.

Dalam usia 7 tahun berkecimpung dalam arena seni suara tanah air, Khai Bahar, 29, menganggap konsert yang bakal berlangsung 11 November ini menjadi penanda aras untuk beliau terbang jauh sehingga ke pelusuk dunia.

Telah merakamkan hampir 30 buah lagu dengan 2 buah album, Khai Bahar antara anak seni tempatan yang diberi peluang membuat konsert solo di DFP selepas Tan Sri S.M Salim, Yuna, Najwa, Aizat, Hafiz, Faizal Tahir, Hujan, Exists, Kugiran Masdo, Noryn Aziz dan Dayang Nurfaizah.

Konsert Solo Khai Bahar yang bakal dipentaskan pada 11 November 2023, Sabtu, 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC itu sudah mula dijual tiketnya sejak September yang lalu. Tiket-tiket berharga RM189 sehinggalah RM399 khabarnya sudah 90% jualan tiketnya. 

Catat Ulasan

0 Ulasan