Menelusuri perjalanan 7 tahun buat Khai Bahar bukanlah perkara yang mudah. Anak jati kelahiran Kangar, Perlis ini telah mencipta fenomena tersendiri apabila video yang memuatkan beliau menyanyikan lagu Di Mana Hatimu pada tahun 2013 mencuri perhatian ramai, malahan lagu Madah Berhelah juga menjadi tular di beberapa laman media sosial ketika itu. Kemudian, beberapa lagu yang turut dinyanyikannya juga menjadi trending sehingga memaksa beliau untuk bergerak aktif sebagai seorang penyanyi.
Kebolehan beliau mempersembahkan beberapa lagu dengan kepelbagaian genre muzik dari pop, balada, slow rock, R&B sehinggalah kepada lagu-lagu melayu asli, telah menyuntik semangat beliau untuk terus beraksi di beberapa pentas terkemuka tanah air. Pernah menerima pengiktirafan di beberapa buah festival muzik sehingga meraih lebih 50 anugerah dalam masa yang singkat, Muhammad Khairul bin Baharuddin, atau Khai Bahar antara anak seni tempatan yang diberi kepercayaan untuk beraksi secara solo di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.
Mempersembahkan lebih 17 buah lagu dengan 6 buah lagu solo beliau dan 11 buah lagu popular artis tempatan dan luar negara, Khai Bahar telah memukau hampir 900 penonton dalam satu malam. Konsert yang berlangsung pada 11 November itu diiringi barisan pemuzik professional tanah air di mana Pown Hasril bertindak sebagai pengarah muzik.
Ketika ditemui media sejurus selepas konsert itu berakhir, Khai Bahar, 29, menyifatkan persembahannya di DFP sebagai satu penghormatan bagi melengkapkan kariernya sebagai seorang penghibur. Khai yang mengenakan 3 persalinan pada malam tersebut berkata segala momen yang berlaku pada malam ini akan diingati sepanjang zaman.
"Dalam keadaan Khai yang tidak beberapa sihat ini, Khai teruja dengan sambutan penonton. Boleh kata, tiket malam ini sudah habis.
"Gementar itu tidak boleh cakaplah tetapi sebagai seorang penyanyi, impian Khai untuk beraksi di pentas DFP telah dimakbulkan tuhan. Jika ada kekurangan dalam persembahan Khai malam ini, Khai mohon maaf," katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan dan lagu-lagu yang dinyanyikan, Khai Bahar berkata, pemilihan lagu dibuat mengikut kesesuaian dan minatnya terhadap sesebuah karya muzik.
"Khai memang meminati lagu-lagu Ziana Zain. Kemelut Di Muara Kasih dan Madah Berhelah yang Khai menyanyikan malam ini adalah kerana melodi dan lirik yang terdapat pada lagu tersebut.
"Dari segi persiapan, Khai sememangnya berlatih dari awal lagi. Sebelum konsert malam tadi pun, Khai ada latihan. Nak kata gementar itu memanglah, DFP kot. Dan Alhamdulillah, akhirnya Khai dapat menyanyi di sini," kata Khai Bahar dengan nada tersenyum.
Selain lagu-lagu balada yang dibawanya, malam Sabtu lepas juga menyaksikan Khai Bahar bergelek manja di atas pentas dengan seleksi lagu-lagu terbaik seperti Ikan Dalam Kolam dan Asyik.
Gelekan Khai Bahar telah membuatkan seluruh penonton tidak berganjak namun ada yang turut bangun dan menari bagaikan sebuah pesta muda-mudi. Kemeriahan suasana di Konsert Khai Bahar yang berlangsung di DFP, terletak di tengah pusat bandar Kuala Lumpur itu menyaksikan bagaimana seorang lelaki 'kacak' yang menjadi kegilaan peminat itu bergelek manja.
Kehebatan vokal Khai Bahar diuji menerusi dua buah lagu klasik melayu asli yang dinyanyikannya. Fatwa Pujangga dan Umpan Jinak Di Air Tenang yang pernah dinyanyikan oleh Victor Hutabarat dan Datuk Ahmad Jais itu dipersembahkan Khai Bahar dengan melodi lebih elegan, klasik dan memukau; seperti menonton sebuah persembahan lagu-lagu melayu klasik di pentas DFP. Mungkin pihak DFP boleh menampilkan semula Khai Bahar dalam sebuah konsert khas yang memperjuangkan lagu-lagu melayu asli satu hari nanti. Setuju bukan?.
Konsert Khai Bahar yang berlangsung 11 November 2023 di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur itu adalah bagi meraikan ulang tahun ke 25 penubuhan Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Pemilihan Khai adalah bagi menutup persembahan DFP pada tahun 2023 selepas Stacy, Datuk Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah, Exists, Kugiran Masdo, Alif Satar & The Locos dan MPO Jazz Band (with Aishah Retno & Syafiq Abdillah) yang akan tersemat dalam sanubari dan pastinya akan meninggalkan kenangan manis yang berharga.
Kredit Gambar: Ihsan Dewan Filharmonik Petronas
0 Ulasan