ANGKAT KEBERANIAN SKUAD PDRM, WAR ON TERROR KL ANARKI FANTASI ATAU REALITI?


Jika anda menyaksikan babak pertempuran hebat di segi tiga ikonik di ibu negara, Bukit Bintang dalam sesebuah filem, pastinya anda tertanya-tanya bagaimana aksi tersebut dirakamkan. Adakah ia menggunakan teknologi CGI ataupun kawasan tersebut ditutup bagi kelancaran penggambaran tersebut?. Menurut Kroll Azry yang merupakan pengarah filem War On Terror: KL Anarki ketika ditemui media semasa Tayangan Perdana dan Sidang Media filem tersebut di sebuah pawagam terkemuka di ibu negara menyifatkan, babak tersebut dirakamkan secara realiti di mana kawasan tersebut ditutup selama 10 hari.

"Demi menjayakan babak pertempuran membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sekumpulan pengganas dalam filem aksi terbaharu, War On Terror: KL Anarki, sebanyak 150 kereta dan 50 motosikal digunakan sebagai 'prop' atau peralatan. Penggambaran babak klimaks bagi filem itu memberi cabaran kepada kami dan  kru apabila kami terpaksa menutup jalan di Bukit Bintang selama 10 hari pada sebelah malam di mana pada waktu siang jalan tersebut akan digunakan kepada umum.

"Memang sangat mencabar. Kalau disuruh buat sekali lagi, saya akan tolak. Kami lakukan penggambaran di Bukit Bintang untuk 10 malam, bermula jam 1 pagi hingga 4 pagi. Sebelum jalan kembali dibuka, kami perlu bersihkan dahulu daripada kereta yang terbalik, termasuk peralatan lain digunakan dalam adegan aksi dirakam," katanya.

Mengulas pemilihan lokasi Bukit Bintang yang sinonim dengan kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi pada hujung minggu, Kroll berkata, lokasi itu menjadi tempat tumpuan rakyat Malaysia termasuk pelancong luar negara.

"Kami pilih Bukit Bintang kerana di situ paling ramai orang, ditambah kehadiran pelancong. Kalau di New York ada Times Square, Bukit Bintang boleh dianggap seperti itu. Disebabkan kawasan itu sesak, kami buat miniatur bangunan di sekeliling Bukit Bintang agar kerja 'shooting' dapat dirancang betul," katanya.

Filem War On Terror: KL Anarki arahan bersama Kroll dan Frank See menampilkan pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramlie, Wan Hanafi Su, Daiyan Trisha, Qi Razali, Noki K-Clique, Naque Ariffin, Kahoe Hon dan Sasidaran Subramaniam.

Filem War On Terror: KL Anarki diterbitkan PDRM, Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media itu kini masih berada di pawagam tanah air sejak kali pertama ia ditayangkan adalah bermula 23 November 2023. 

Namun apakah filem ini sebuah cerita realiti atau fantasi semata-mata?. Saksikannya di pawagam berdekatan seluruh negara. 

Sumber: Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan