Selepas mengesahkan kontrak bersama Warner Music Malaysia berakhir pada 31 Disember depan, penyanyi Kaka Azraff memberitahu dia terbuka untuk menerima tawaran daripada mana-mana syarikat rakaman yang ingin melamarnya sebagai artis naungan mereka.
Kata Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 34, dia bersedia untuk bernaung di bawah label muzik lain bagi meneruskan karier seninya sebagai seorang penyanyi.
Ketika ditemui media di The Curve, Damansara baru-baru ini, Kaka Azraff memohon penjelasan dari Warner Music Malaysia berhubung penamatan kontraknya. Menurutnya lagi sekiranya ia berhubung dengan isu kelantangan suaranya mengenai Palestin, Kaka berkata sebagai artis beragama islam dia mempunyai hak untuk bersuara, namun tidak adil untuk menamatkan kontraknya semata-mata isu tersebut namun Kaka berkata sampai ke hari ini beliau masih belum menerima kata putus dari pihak syarikat rakaman tersebut.
“Sebagai salah seorang artis rakaman dan antara yang paling lama di Warner Music Malaysia, saya percaya, paling kurang saya seharusnya diberikan sebab rasmi mengapa pengurusan label ini memutuskan untuk menamatkan kontrak kami.
“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak ditamatkan kerana percaya rezeki Allah itu luas, tapi kecewa ditamatkan sedemikian rupa dan secara mengejut tanpa ada ruang perbincangan, walaupun tempoh notis diberikan adalah selama 30 hari,” katanya.
Ditanya sama ada pernah bersemuka dengan pihak syarikat rakaman tersebut, Kaka berkata pertemuan berlaku pada 30 November lalu namun mereka hanya memintanya menandatangani surat penamatan kontrak.
“Kami ada berjumpa tapi bukan berbincang. Saya pun tidak tandatangani surat berkenaan sebab perlu perhalusi terma bersama peguam memandangkan mereka menegaskan tindakan saya bersuara tentang Palestin bercanggah dengan polisi global,” katanya.
Mengulas tindakan tersebut, penyanyi berusia 34 tahun itu berkata, dia hanya membalas hantaran menerusi mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic, sekaligus menolak dakwaan kononnya menyebarkan ucapan kebencian (hate speech).
Kaka Azraff yang terkenal dengan lagu berunsur pop dan R&B itu memohon penjelasan Warner Music Malaysia bukan sahaja berhubung isu penamatan kontraknya, malahan juga tampil mempersoalkan royalti lagu yang dinyanyikannya sepanjang bergelar artis rakaman di Warner Music Malaysia.
Wajib Tonton difahamkan kontrak Kaka Azraff sepatutnya berakhir April tahun depan, namun ditamatkan 31 Disember ini.
0 Ulasan