'FILEM PENDEKAR AWANG BUKAN MAHU BERAHSIA SIAPA PENGARAHNYA' - ABD. RAHMAN

Walaupun cuba mahu merahsiakan siapakah pengarah yang telah bertanggung jawab mengarah naskhah ini, namun menurut sumber yang boleh dipercayai, Pendekar Awang yang diterbitkan Studio Kembara itu diarahkan oleh Areel Abu Bakar. 

Areel yang mempunyai pengalaman hampir 15 tahun di dalam industri perfileman tanah air pernah mengarahkan filem Geran pada tahun 2019, diikuti Anak Rimau The Movie (2022) dan Walid (2023).  Menerusi Pendekar Awang, Areel merupakan pengarah pertama sebelum ditukar kepada pengarah lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun menurut Abdul Rahman Mt Dali, Pengarah Urusan Studio Kembara Sdn Bhd  ketika ditemui media pada Sesi Pelancaran Trailer & Lagu Tema Pendekar Awang di Malakat Mall, Cyberjaya baru-baru ini berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada media siapakah pengarah sebenar yang mengarahkan filem ini. Namun, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan Pendekar Awang yang bakal menerjah pawagam tempatan 11 Januari depan itu sebagai filem arahan Areel atau tidak.

"Saya tidak mahu mengatakan yang tidak baik mengenai naskhah ini, siapakah pengarahnya dan yang telah diberi tanggung jawab mengarahkan filem ini. Untuk Areel, saya tidak mahu komen dan kami akan memaklumkan nanti pada sesi Tayangan Perdana filem ini Januari tahun depan," katanya. 

Abdul Rahman yang juga merupakan penerbit filem Mat Kilau dan Pendekar Awang berharap filem kedua terbitannya ini dapat memasuki pawagam tempatan menjelang 11 Januari depan dan sekiranya tarikh tersebut tidak berjaya diperolehinya, pihaknya akan berurusan sendiri dengan pihak pawagam bagi mendapat slot tayangan pada 11 Januari 2024 seperti yang telah dirancang.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ini menampilkan Amir Ahnaf, Nadhir Nasar, Ali Karimi, Nur Fazura, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan ramai lagi itu diiinspirasikan dari sebuah kisah benar dan pembikinannya menelan kos hampir RM10 juta ringgit. 


Catat Ulasan

0 Ulasan