'LOVE YOU TILL THE END', ABANG ADIK WAJIB TONTON

Bagi anda penggemar karya 'filem' bersifat kekeluargaan dengan elemen dramatik, saspen, jenayah dan cinta, tolong jangan 'skip' filem ini. Kehebatan naskhah arahan Jin Ong ini bukan hanya terletak pada penampilan pelakonnya, malahan garapan jalan ceritanya begitu dekat dengan hati, menyentuh perasaan, menggetarkan jiwa sekaligus mampu menumpahkan air mata anda. 

'Abang Adik' yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 14 Disember ini merungkai  sisi gelap sebuah kisah kehidupan segelintir masyarakat terpinggir di ibu kota. Ketika ditemui media semasa tayangan filem tersebut di GSC The Starling, Petaling Jaya baru-baru ini, Jin Ong yang merupakan pengarah filem tersebut menyifatkan Abang Adik sebagai sebuah kisah 'gelap' yang dirakamkan di sebuah flat yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur di mana cerita ini berkaitan kasih sayang antara dua beradik lelaki. 

"Pemilihan Pudu sebagai lokasi penggambaran filem ini kerana saya suka kehidupan masyarakat di situ. Kita boleh rasa bagaimana mereka menyesuaikan diri di tengah hiruk pikuk kemodenan dan kekayaan sumber kehidupan penghuninya. Ada yang benar-benar miskin, sederhana dan ada yang kita nampak okay tetapi mereka diselubungi dengan pelbagai masalah yang kita sendiri tidak tahu bagaimana mereka boleh sabar dan saya percaya apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah sebahagian dari beberapa kisah yang pernah berlaku dan ada di sini," katanya.

Ketika disoal tentang pemilihan tajuk 'Abang Adik' bagi filem ini, Jin Ong berpandangan bahawa penggunaan Bahasa Melayu bagi tajuk filem ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri malahan ketika tayangan filem ini diluar negara, ada yang bertanyakan kepada saya, tapi saya jawab, Abang Adik filem dari Malaysia walaupun bahasa pertuturannya adalah bahasa Cina. 

"Saya sengaja memilih perkataan Abang Adik sebagai tajuk filem ini adalah kerana saya mahu masyarakat dunia mengetahui bahawa filem ini adalah karya dari Malaysia walaupun saya menggunakan Bahasa Mandarin, Kantonis dan Bahasa Melayu pada keseluruhan filem ini. Kisah gelap masyarakat kota yang mewakili watak-watak yang bermain di dalam filem ini semuanya kisah yang pernah berlaku dan ada di dalam masyarakat kita," kata Jin Ong berharap filem sulung arahannya ini diterima baik penonton dan peminat filem tanah air. 

Menampilkan gandingan mantap pelakon hebat dua negara, Jack Tan (Malaysia) dan Wu Kang Ren (Taiwan), Abang Adik ini juga merangkul lebih 10 pengiktirafan termasuk anugerah di festival seperti New York Asian Film Festival 2023 (edisi ke-22) dan First Official Selection 2023 di China. 

Wu Kang Ren yang banyak menghiasi beberapa buah karya filem dari Taiwan ini berkata, Abang Adik adalah filem Malaysia yang wajib ditonton buat semua peminat filem dan penampilan sulungnya dalam karya Malaysia adalah satu penghormatan.

"Saya sebenarnya teruja ketika dipilih bagi melakonkan watak seorang lelaki yang pekak di mana saya perlu menggunakan banyak emosi dari segi wajah, cara berinteraksi menggunakan bahasa Isyarat walaupun agar sukar namun saya percaya, Adik Abang yang diterajui barisan produksi yang hebat ini mampu mendapat kejayaan luar biasa apabila ditayangkan kelak, " kata Wu Kang Ren.

Jack Tan yang memegang watak Adi, seorang adik lelaki kepada Abang di dalam filem ini menyifatkan 'Abang Adik' sebagai naskhah sentimental yang begitu menyentuh perasaan dan cukup istimewa apabila membabitkan hubungan kemanusiaan sesama jenis dalam konteks kekeluargaan.

"Anda menangis menonton filem ini?. Abang Adik ada nilai sentimental dalam sebuah keluarga. Walaupun berbeza fizikal, Abang dan Adik memberi petanda bahawa dunia ini tetap sama tapi yang bezanya adalah cara hidup dan bagaimana kita menyelesaikannya. . Saya berharap peminat filem dapat menerima apa yang dipaparkan di dalam naskhah ini," katanya. 

Berdurasi 114 minit, Abang Adik merungkai sisi gelap kehidupan masyarakat terpinggir di ibu kota melalui kisah seorang pemuda cacat pendengaran bersama adik lelakinya yatim piatu, yang terperangkap dengan pelbagai dilema hidup sehingga memaksa mereka terpisah jauh.

Selain Wu Kang Ren (Taiwan) dan Jack Tan, filem ini juga membariskan Bront Palarae, Tan Kim Wang, Serene Lim dan April Chan.



Abang Adik, Wajib Tonton di pawagam bermula 14 Disember 2023.

Catat Ulasan

0 Ulasan