W: TO WORLDS FANTASI ATAU REALITI?

Diadaptasikan dari sebuah cerita Korea dengan tajuk yang sama, W: To Worlds telah menemui penonton di saluran ViU sejak 30 November lalu. Diarahkan Datuk Yusry Abdul Halim, versi Malaysia W: To Worlds ini membariskan Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Mierul Aiman, Faizal Hussein, Elizabeth Tan, Tony Eusoff, Shahkimin dan ramai lagi itu merungkai sebuah kisah tentang seorang pelukis yang mencipta watak W  terperangkap dalam sebuah ilusi antara fantasi dan realiti. Kehilangan Omar, seorang pelukis telah menemukan Izara dengan Aliff, memaksa mereka membongkar tragedi pembunuhan keluarga Aliff 10 tahun lalu walaupun tanpa disedari kesemua watak yang dicipta itu adalah fantasi semata-mata. Namun apakah Aliff benar-benar wujud atau sekadar rekaan watak dalam dunia manusia?. Semuanya bakal terjawab dalam W: To Worlds yang bersiaran 12 episod dengan 2 episod setiap minggu di saluran penstriman popular, ViU.

Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi ViU Malaysia ketika ditemui media semasa Pelancaran W: To Worlds dan ViU Upfront 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini berharap versi tempatan bagi W:To Worlds ini dapat diterima baik penonton dan peminat siri asal tersebut dan pemilihan Datuk Yusry sebagai pengarah siri ini amat bertepatan dengan konsep yang ingin ditampilkan.

"Pemilihan Yusry untuk menggalas peranan pengarah bagi siri ini agak mencabar. Bukannya mahu membandingkan hasil karya beliau dengan mana-mana pengarah lain yang ada, tetapi dari segi cara bekerja beliau memberikan 100% komitmen yang amat luar biasa. Kita pernah bekerja dengan beberapa siri sebelum ini, dan kami berharap siri kali ini bukan yang terakhir untuk Datuk Yusry," katanya.

Mierul Aiman yang terkenal dengan siri Astro Originals, Projek: High Council, Imam Instant Ustazah Scammer dan Akim & Mira: Kisah Cinta 1999 ini menyifatkan W:To Worlds sebagai projek terbesar selepas High Council yang diterajuinya tahun ini dan menganggap berlakon di bawah arahan Datuk Yusry Abd Halim sebagai pengalaman yang cukup berharga.

"Mierul sangat teruja bila terpilih membintangi siri ini, apatah lagi dapat bergandingan bersama Faizal Hussein, Hun Haqeem, Daiyan dan ramai lagi. Tiada beza dengan produksi lain cuma menariknya apabila berlakon di bawah arahan Datuk Yusry yang sememangnya kita tahu akan banyak bahagian yang dirakamkan di dalam studio. Mierul sangat berterima kasih pada ViU yang memilih Mierul untuk terlibat dalam projek ini," katanya berharap lakonannya di dalam siri ini dapat menambat hati penonton dan peminat siri asal ini.

Ketika ditanya mengenai adegan tanpa baju seolah-olah Hun cuba menjual susuk tubuhnya di dalam siri ini, pelakon Hun Haqeem tidak mahu memberikan sebarang komen malah berharap penonton tempatan tidak melihat ia sebagai satu isu dan menontonnya kerana jalan cerita dan adaptasi dari siri yang sama berbahasa Korea. 

Ditulis skripnya oleh Faizul Nizam Ablah, Mamu Vies, Bainun Waheeda, Baizura Kahar dan Hadi M. Nor, W:To Worlds telah mula ditayangkan di saluran ViU sejak 30 November lalu. 

Catat Ulasan

0 Ulasan