Selepas 17 tahun berkecimpung di dalam arena seni suara tanah air, Hal Husaini Razmi atau Hael Hussaini antara penyanyi solo lelaki tempatan yang berjaya mengekalkan popularitinya selepas menyertai Akademi Fantasia Musim ke-10 pada tahun 2013. Hael yang dahulunya dikenali menerusi kumpulan duo, Azhael dan pernah merakamkan album EP pertamanya pada tahun 2011 menerusi 'Sani' yang mengandungi 5 buah lagu, kini boleh tersenyum bangga apabila 'Antonim (Part 1) yang merupakan album solo pertamanya telah dilancarkan 9 JanuarI lepas.
Menampilkan 6 buah karya hasil nukilan barisan komposer ternama seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Hael sendiri, Antonim (Part 1) sudah pun berada di pasaran sejak 5 Januari lalu.
Pada hari pertama album ANTONIM (PART I) diluncurkan sahaja, album tersebut terus mendapat sambutan yang cukup hebat sehingga menduduki posisi nombor satu menerusi carta iTunes Malaysia dan juga Brunei berdasarkan jualan digital, manakala di Apple Music Malaysia pula, ia berada di kedudukan nombor 2 berdasarkan jumlah penstriman oleh pendengar.
“Saya sangat teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman sebegini, seluruh pasukan kerja dan label juga terkejut dengan sambutan luar biasa dari pendengar.
“Saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan saya yang setia dan sentiasa bertungkus-lumus dalam menjadikan album ini sebuah kenyataan, terima kasih buat En. Prem, kesemua wakil muzik dari label saya, penulis serta juga penerbit, wakil pegawai seranta saya, pihak pengurusan Virus Unggu Entertainment, rakan-rakan media, keluarga yang menyokong, dan terutamanya peminat semua, Haelers,” ujar Hael.
Antonim Part (I & II)
Album yang memakan masa selama 3 tahun untuk disiapkan ini telah melalui beberapa proses, diantaranya pemilihan lagu-lagu yang telah disenarai pendekkan dari lebih kurang 20 buah lagu.
Di antara lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Tambah Hael lagi, Album ANTONIM (PART I) ini saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu yang terkandung di dalam album masih lagi berkonsepkan pop dengan nuansa balada serta rock.
Manakala untuk album kedua pula, ANTONIM (PART II), saya jangkakan akan ada lebih banyak lagi kejutan buat penggemar muzik saya kerana pelbagai pembaharuan yang diketengahkan.
“Saya berharap agar semua dapat menerima karya-karya saya dalam kedua-dua album ini, semoga pendengar dan penggemar muzik tempatan berlapang dada dalam menerima pembaharuan muzik serta memberi lebih kebebasan kepada anak seni untuk terus berkarya.
“Dan siapa tahu mungkin ada di antara kita yang mampu berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh, tetapi mewakili bidang muzik pula," kata pemilik nama Hael Husaini.
Selain dikenali sebagai seorang penyanyi, Hael juga pernah membintangi sebuah drama untuk siaran Astro bertajuk 'My Famous Ex Boyriend' dan pernah menyumbangkan suaranya untuk filem animasi Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends (2021) dan Didi & The Friends The Movie (2023).
0 Ulasan