Walaupun cuba memberi mesej berbentuk 'teguran' tanpa berniat menyindir mana-mana pihak, penyanyi Alif Satar mengakui bukan mudah mengumpul kira-kira lebih 2,000 peminat setianya untuk hadir menyaksikan beliau berkolaborasi bersama Raihan dalam sebuah konsert khas 'A Night With Alif Satar & The Locos' yang turut menampilkan penyanyi dari Indonesia, Anggi Marito.
Konsert yang berlangsung hampir dua jam di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Januari lepas merakamkan kenangan yang tidak terhingga di mana Alif turut mengundang Raihan untuk sama-sama menghiburkan peminatnya menerusi segmen nasyid dan ketuhanan yang turut menyelit elemen dakwah berbentuk 'teguran' berkaitan isu solat lima waktu.
Alif Satar berkata, sebagai manusia dan dilahirkan menjadi orang islam, pegangan paling utama yang harus dipikul bersama adalah 'menegakkan syiar islam' melalui lagu-lagu yang disampaikan.
"Sejujurnya untuk Alif katakanlah tidak salah untuk Alif menegur bagi memperbaiki diri untuk kita sama-sama menjadi insan yang lebih baik. Perjuangan Alif adalah mahu kita semua menjaga ruang waktu solat kita dan berharap peminat tidak melengahkan waktu solat dan kalau boleh waktu subuh, kita sama-sama memeriahkan macam waktu Jumaat. Subuh macam Jumaat," kata Alif Satar.
Alif yang ditemui semasa berlangsungnya konsert tersebut juga menceritakan kepada penonton bahawa masjid merupakan tempat mencari jodoh yang lebih baik. Malahan, penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal itu turut menceritakan betapa terujanya ketika pertama kali dapat berduet bersama Raihan.
"Kalau anda nak tahu, masa Alif mengikut keluarga Alif ke luar negara, hanya satu album sahaja yang Alif bawa iaitu Album Raihan. Alif memang akui Alif peminat abang-abang Raihan. Semua lagu Raihan, Alif hafal. Raihan merupakan antara penyanyi kumpulan nasyid bertaraf antarabangsa. Seingat Alif, masa Alif diberikan tugasan, penerbit ada bertanya Alif, Alif mahu berduet dengan siapa?. Alif jawab, Raihan.
Terima kasih buat Raihan yang mahu menyanyi bersama Alif dan jika diberikan ruang waktu dan rezeki lagi, pastinya Alif akan pilih Raihan sebagai rakan artis dalam projek-projek akan datang," kongsi Alif Satar.
Untuk rekod, Alif Satar pernah merakamkan beberapa buah lagu bersama Raihan bagi edisi rakaman semula pada tahun 2019 hingga 2022 iaitu, Sesungguhnya (2019), Damba Cinta Mu, Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pujian, Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu.
0 Ulasan