Canon Marketing Malaysia (“Canon”) mengumumkan perubahan kepimpinan strategik, berkuat kuasa mulai 2 Januari lalu. Pelantikan ini bertujuan untuk terus memacu pertumbuhan dan mendorong inovasi dalam pasaran Malaysia.
Perubahan tersebut menyaksikan Masato Yoshiie dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, menggantikan Shunji Yoshikai yang sebelum ini telah memimpin syarikat dengan penuh dedikasi. Yoshiie, yang memiliki pengalaman luas merangkumi operasi global Canon, membuktikan kewibawaannya dalam memacu kejayaan pengembangan perniagaan dan pelancaran produk. Pemahamannya yang mendalam tentang pasaran Asia serta wawasan berteraskan pelanggan menjadikan beliau aset yang tidak ternilai untuk memimpin Canon dalam mengorak langkah seterusnya di Malaysia.
Sementara itu, Edward Chang telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej (ICB), menggantikan Hunter Zhang. Didorong oleh semangat yang tidak berbelah bagi terhadap seni penceritaan berasaskan visual, beliau kini memikul tanggungjawab untuk bukan sahaja memimpin tetapi juga merevolusikan keterlibatan Canon dengan pelanggan Malaysia, memanfaatkan kuasa pengimejan menerusi fotografi dan videografi bagi menjalin hubungan yang berkekalan. Terbukti sebagai pakar dalam bidang pemasaran dan pembangunan jenama, Chang telah membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin berwawasan, bersedia untuk memacu ICB ke satu tahap yang lebih tinggi.
Jeffrey Kung menggantikan tempat Masato Yoshiie sebelum ini sebagai Ketua Bahagian Solusi Pengimejan Perniagaan (BIS), beliau membawakan kepakarannya yang meluas untuk membimbing pelanggan dalam mengharungi selok-belok pendigitalan dan kerja hibrid menggunakan solusi berinovatif BIS. Dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan kepintaran strategiknya, Jeffrey bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengemudi perniagaan BIS Canon ke arah pertumbuhan yang mampan. Keupayaan beliau yang melangkaui ruang lingkup rakan PKS, korporat, dan perniagaan, meletakkan Canon dalam kedudukan yang strategik untuk menangani keperluan perniagaan yang serba dinamik dalam landskap yang pesat berkembang hari ini.
Bagi mendepani lembaran baharu ini, Yoshiie dipandu oleh sinergi nilai korporat Canon yang sangat berpengaruh. “Falsafah korporat kami, ‘Kyosei’, menggariskan komitmen kami untuk hidup dan bekerjasama demi kebaikan sejagat. Begitu juga dengan 'Delighting You Always' yang bukan hanya menjadi slogan korporat kami semata-mata, malah ia turut mencakupi komitmen kami terhadap kecemerlangan, ikrar untuk bekerja lebih keras dan memberikan hanya yang terbaik untuk pelanggan yang kami hargai. Dalam memikul tanggungjawab ini, saya bersedia untuk memimpin dengan wawasan yang mengharmonikan prinsip ini, memupuk persekitaran tempat kerja di mana setiap tindakan yang diambil dapat menggembirakan hati pelanggan kami dan menyumbang kepada kebaikan sejagat.
Perjalanan ini akan membawa kami kepada lebih banyak kecemerlangan dan kerjasama,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie.
“Saya dengan sukacitanya mengalu-alukan Edward Chang dan Jeffrey Kung ke jawatan kepimpinan baharu mereka. Kepakaran dan pengalaman mereka adalah sangat berharga dalam usaha kami untuk terus mengembangkan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran Malaysia,” tambah Yoshiie.
Canon berhasrat untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang di bawah barisan kepimpinan baharu ini, komited untuk memperkayakan kehidupan menerusi solusi pengimejan berinovatif, dan berkomitmen terhadap kecemerlangan yang akan membentuk masa depan pengimejan di Malaysia, memperkasakan individu dan perniagaan untuk merakam, berkongsi dan berhubung dengan cara yang lebih bermakna.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengumuman korporat Canon Malaysia, sila kunjungi https://my.canon/en/consumer atau ikuti kami di Facebook dan Instagram.
0 Ulasan