LAYANG-LAYANG PERKAHWINAN BUKAN HANYA KISAH CURANG


Bagaimanakah seorang suami masih boleh bertindak untuk berkahwin dua walaupun isterinya sudah cukup sempura di mata semua? Begitulah apa yang terjadi kepada drama bersiri baharu di slot Mega Drama di Astro Ria, setiap hari Isnin hingga Khamis, 10 Malam. Drama Rantaian terbaru ini ialah satu siri drama yang menyentuh kisah percintaan pasangan suami dan isteri yang dilanda badai setelah konflik dalam kekeluargaan. Namun, Drama ini bukanlah hanya berpaksikan kepada kisah curang semata-mata tapi lebih daripada itu. 


Drama 28 episod yang telahpun bermula sejak 8 Januari 2024 yang lalu, menggantikan drama Syurga itu bukan mudah yang tular hampir setiap hari dengan lakonan hebat Amir Ahnaf dan Anna Jobling. Syurga itu bukan mudah diarahkan oleh pengarah wanita yang hebat iaitu Eyra Rahman. Drama Syurga itu bukan mudah juga tular akibat terdapat babak - babak panas yang dikatakan babak yang 'membenarkan adegan lucah' di dalam drama tempatan. Dan selepas tamatnya drama Syurga itu bukan mudah, sekali lagi Eyra Rahman menggalas tanggungjawab untuk mengarahkan drama rantaian terbaru untuk slot mega drama berjudul, 'LAYANG-LAYANG PERKAHWINAN' yang juga tular selepas klip adegan bilik mandi tular di media sosial. 


Layang-layang Perkahwinan ini menceritakan kisah tentang Saida lakonan Ezzany Jazny, seorang isteri yang sempurna untuk Azim lakonan Syukri Yahya. Namun Saida tidak menyedari bahawa suaminya Azim telah berlaku curang dan mempermainkan keikhlasanya. Mampukah Saida bangkit untuk merawat hati dan menyelamatkan perkahwinannya bersama Azim? ‘Layang-Layang Perkahwinan’ menawarkan jalan cerita yang menawan dengan kelainan yang tidak dijangka, memastikan penonton mempunyai naratif yang menarik dan tidak dapat diramalkan.


Layang-layang Perkahwinan juga mendapat garapan penulis dari Indonesia iaitu Oka Aurora yang menghasilkan "Layangan Putus", sebuah siri drama dari MD entertainment yang disiarkan sebagai WeTV originals yang tular pada tahun 2021 lakonan hebat Reza Rahadian dan Putri Marino. Disebabkan siri ini mendapat tempat di hati penonton dan peminat, mereka kini menerbitkan Layangan Putus versi filem pula pada tahun 2023.


Bertempat di Restoran Rebung tempoh hari, para media dijemput untuk sidang media bagi mempromosi drama ini, Antara yang hadir termasuk Oka Aurora, penulis skrip Layang-layang perkahwinan ini, Eyra Rahman selaku pengarah, Syukri Yahya, Ezzany Jazny, Alya Iman, Keith Foo, Arash Mohd dan juga Datin Nina Juren. Penyanyi runut bunyi drama Layang-layang perkahwinan, Afida juga hadir untuk menyampaikan lagu yang semakin mendapat tempat dihati penonton iaitu Haruskah (kubalas semua).


"SAYA MINTA MAAF, IA TIDAK AKAN BERULANG KEMBALI" - Itulah janji Syukri Yahya, Pelakon utama untuk drama siri hangat 'LAYANG-LAYANG PERKAHWINAN' apabila ditanya berkenaan yang tular akibat satu babak 'panas' di media sosial sewaktu sidang media ini. Syukri Yahya berkata, beliau memohon maaf dan semuanya berlaku adalah kerana kesalahannya sendiri. Beliau akan lebih peka tentang apa yang akan berlaku selepas ini dan tidak akan memberi pandangan negatif penonton terhadap lakonannya. Eyra Rahman selaku pengarah pula menganggap, babak yang tular itu hanyalah babak yang biasa dan tidak keterlaluan. Dikatakan baru-baru ini semakin banyak babak-babak berani di dalam drama tempatan seakan membenarkan adegan 'Soft Porn', Eyra turut menyangkal persepsi tersebut dan mengatakan ianya tidaklah seteruk yang disangka. Apa yang tular tidak semestinya apa yang terjadi di dalam keseluruhan jalan cerita. '


Selami selok-belok hubungan pasangan suami dan isteri serta cabaran Saida dalam mengejar perkahwinan yang sempurna, mengemudi melalui pengkhianatan dan rahsia yang mengancam untuk membongkar segala-galanya. Layang-Layang Perkahwinan memastikan gabungan konflik dan penyelesaian ketika Saida menghadapi cabaran secara berterusan. Penonton bakal menikmati sebuah drama yang penuh dengan ketegangan, emosi, hubungan yang rumit dan akhirnya bertemu jalan penyelesaian. Jangan lupa untuk tonton siri ini di slot MegaDrama pada jam 10 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104), On Demand dan di aplikasi Astro GO.



Catat Ulasan

0 Ulasan