Siapa menyangka dan menduga dalam usia 27 tahun penglibatannya di dalam arena muzik tempatan, nama Liza Hanim bukanlah asing, malahan figura hebat yang lahir melalui program terbitan RTM, Golden Teen Search (1996) , pada hari ini mampu berdiri setanding dengan beberapa penyanyi hebat tanah air yang lain.
Memulakan kerjaya seawal tahun 1997 menerusi album solo pertamanya di bawah syarikat rakaman Suria Records (SRC), Haliza Hanim binti Abdul Halim, 45, atau nama komersialnya Liza Hanim antara penyanyi wanita solo terkenal yang mempunyai lenggok suara yang cukup hebat dan mampu meruntun perasaan menerusi beberapa lagu nyanyiannya.
'Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara, Gelisah Mimpi, Ku Teruskan, Merawat Luka Terpendam sehinggalah kepada lagu-lagu melayu klasik seperti Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Malam Ini Kita Berpisah dan Istana Cinta' menjadikan Liza Hanim antara penyanyi wanita yang berada di kelasnya yang tersendiri.
Bagi menghargai pengorbanan, suka duka dan jerit payah sepanjang 27 tahun pembabitannya dalam arena seni suara tempatan, LH Media Sdn Bhd dan Laugh Out Loud Entertainment bakal mementaskan 'Liza Hanim 27 Years Journey in Concert' pada 4 Februari depan.
Konsert yang bakal menampilkan lebih 30 rantaian lagu-lagu hebatnya dari album solo pertamanya tahun 1997 sehinggalah 2007 itu memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran. Bermula jam 8.30 malam, konsert yang bakal menampilkan Liza Hanim itu sudahpun terjual tiketnya sejak Oktober tahun lepas.
Liza yang ditemui media semasa sesi latihan konsert tersebut di ibu negara baru-baru ini menyifatkan konsert yang bakal berlangsung tidak beberapa hari lagi itu sebagai momen bersejarah yang akan diingati sepanjang hayat.
"Walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak baik, saya berharap konsert ini dapat dipentaskan sebaik mungkin. Saya bersyukur dengan adanya Cikgu Shafie yang banyak membantu dari segi perjalanan vokal saya.
Nak kata gementar tu memanglah ada. Tetapi saya berharap ini konsert yang mampu menggembirakan semua peminat saya," kata Liza Hanim berharap 4 Februari depan sebagai konsert penuh bersejarah.
Liza yang merupakan anak didik komposer tersohor, Allahyarham Adnan Abu Hassan itu turut berkata pembikinan konsert ini sudah lama dirancang, namun berharap peminat muzik dapat hadir sekaligus memeriahkan acara yang bakal diadakan.
Konsert yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures itu akan membariskan barisan pemuzik professional dan tentunya menjadi konsert pembukaan tahun 2024 penuh makna.
0 Ulasan