TIKET KONSERT SITI NURHALIZA DI SINGAPURA HABIS TERJUAL

Walaupun baru diumumkan dan tidak sampai dua jam, tiket konsert penyanyi nombor satu negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung 29 Jun depan habis disambar peminat. 

Konsert Fenomena Dato' Sri Siti Nurhaliza di Singapura itu khabarnya sudah habis dan menurut rekod, kira-kira 12,000 tiket sudah terjual sekaligus membuktikan Siti Nurhaliza antara penyanyi legenda dari Malaysia yang masih relevan untuk mengadakan konsert berskala besar walaupun hanya memilih The Star Theatre yang terletak di Kota Metropolitan Singapura sebagai lokasi utama penganjuran konsert tersebut. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SAH Entertainment, Sufi Rashid tidak menyangka konsert yang dianjurkan pihaknya mendapat sambutan hangat.

"Kami tidak jangka tiket habis dalam masa singkat. Ketika jualan dibuka, sudah ada 4,000 orang menunggu atas talian.

"Apabila tiket kehabisan, ada 8,000 pembeli lagi menunggu sehingga sistem komputer jadi sesak. Kami sangat terharu dengan kesungguhan kira-kira 5,000 sahabat dan ahli Siizoners yang sanggup 'beratur' mendapatkan tiket.

"Kami juga mengucapkan penghargaan kepada Siti dan pasukannya atas kepercayaan diberi untuk kami anjurkan konsert ini. Kami berjanji akan menggalas tanggung jawab ini dengan amanah dan ikhlas," katanya. 

Sufi berkata, pihaknya akan memastikan Konsert Fenomena Dato' Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore akan menjadi memori indah buat peminatnya sesuai dengan nama acara. 

Sementara itu, Siti dalam catatan ringkas di Instagram (IG) meluahkan kesyukuran atas kejayaan penjualan tiket konsertnya.

"Alhamdulillah, tiket konsert di Singapura sudah habis terjual. Kita jumpa di konsert itu nanti," katanya.

Disember lalu, Siti memecah rekod Ratu Rock, Ella yang menjual tiket Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 dalam tempoh 24 jam, apabila tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan depan, 'licin' dalam tempoh dua jam.

Kali terakhir Siti mementaskan konsert solo di Singapura adalah pada 2019.

Catat Ulasan

0 Ulasan