WALI BAND GEGARKAN PULAU PINANG 3 FEBRUARI DEPAN

Penggemar muzik dari seberang pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk sama-sama hadir bagi menyaksikan Kumpulan Wali yang akan berkampung di Pulau Pinang menjelang 3 Februari depan. 

Kumpulan yang popular era 1990-an itu bakal beraksi sekali lagi, tetapi kali ini dengan tema yang lebih mengancam bagi meraikan muzik sekaligus mendekatkan peminat khususnya di utara semenanjung tanah air. 

Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai di Pulau Pinang itu bakal menampilkan Fadhilah Intan, Saixse dan juga penyanyi lelaki terkenal tanah air, Khai Bahar. Bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang, konsert yang bakal berlangsung 3 Februari 2024 bermula jam 8.30 malam itu dibawakan khas oleh Orange International, yang merupakan penganjur beberapa konsert terkemuka di Malaysia.

Ketika ditemui media di Gula Cakery, KL East pada petang Selasa, Dato’ Fadzli Idrus, selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Orange International menyifatkan penganjuran konsert yang menggabungkan Wali bersama barisan artis Indonesia dan Malaysia itu adalah bagi meraikan muzik di kalangan penggemar muzik dan peminat di utara tanah air.

“Alhamdulillah setelah beberapa siri konsert yang diadakan seperti konsert ‘Live In Concert Radja (Special Appearance Ella)’ yang berjaya menarik lebih dari 5,000 penonton, pihak Orange International terus berkembang dan terpanggil untuk memajukan industri hiburan tempatan, ekonomi serta aktiviti pelancongan dalam negara.

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana Wali Band tidak dapat menghadirkan diri pada majlis sidang media hari ini di atas urusan kerja di Indonesia, tetapi kami tampilkan pada hari ini bintang ‘Dawai’ iaitu Fadhilah Intan sebagai salah satu artis yang bakal membuat persembahan pada malam konsert nanti," katanya.

Wali Band yang dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitaris), Tomi (pemain dram) dan juga Ovie (pemain keyboard) mula ditubuhkan pada 1999 merupakan salah satu kumpulan pop Indonesia popular dalam menyampaikan lagu-lagu bergenre alternatif, rock, religi, balada dengan sentuhan etnik Melayu yang sering menghasilkan hit-hit seperti Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Doaku Untukmu Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Konsert yang direncanakan akan berlangsung selama 2 jam lebih ini bakal diserikan dengan persembahan di antara 13 sehingga 15 buah lagu, kesemuanya bergantung diatas permintaan penonton dengan mengangkat tema ‘hijau’ bersempena program ‘Eco-Schools’ yang disarankan oleh kerajaan.

Tambah Dato’ Fadzli lagi, “Kami sangat mengalu-alukan penonton yang hadir untuk mengenakan pakaian serba hijau pada malam konsert nanti sebagai tanda sokongan anda terhadap program Eco-Schools

“Saya berharap agar peminat muzik akan terus menyokong kami dalam memberikan hiburan yang terbaik dan yang paling penting agar semua ‘enjoy’ dan ‘sing-along’ pada malam konsert nanti selama 2 jam tanpa henti kerana seleksi lagu dari pelbagai genre yang bakal menghiburkan penonton semua.

Fadhilah Intan yang terkenal dengan lagu Dawai menerusi filem dari Indonesia, Air Mata Di Ujung Sajadah menganggap penglibatannya menerusi konsert ini adalah sebagai penghargaan buat dirinya untuk lebih di kenali.

"Saya cukup terharu ketika disunting untuk terlibat dalam persembahan bersama Wali Band, yang saya akui sebagai satu kumpulan muzik yang sangat popular bukan sahaja di Indonesia malahan di Malaysia sendiri.

INsya-Allah menerusi konsert ini, saya akan hiburkan peminat dengan seleksi lagu-lagu terbaik dari saya. Bagi yang belum membeli tiket, ayuh segera dapatkannya sekarang," katanya.

Menariknya, konsert tersebut juga bakal menampilkan Kelly Azman sebagai pengacara.

Catat Ulasan

0 Ulasan