DAQMIE LANCARKAN ALBUM RAMADAN 1445

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Mohd Ariffin Mohd Arif antara penulis lirik yang menyumbangkan sentuhan magisnya buat album terbaru penyanyi dan komposer, Daqmie, Ramadan 1445.

Menurut Mohd Ariffin, usaha dilakukan itu demi mengembalikan semula era kegemilangan nasyid dalam kalangan belia khususnya di Sabah.

“Saya yakin nasyid dapat diperkasa lagi dengan kehadiran Daqmie kerana inilah wadah bagi mengeratkan integrasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Anak muda sekarang kita lihat minat dengan hiburan, jadi hiburan itu kita harus terjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuk dari segi kreatif dan inovasi,” katanya.

Justeru, Mohd Ariffin menzahirkan ucapan terima kasih buat Daqmie kerana sudi menjalin kerjasama.

“Saya bersyukur kerana Daqmie sudi membantu agar nasyid dapat terus memperkasa seni budaya Islam di negeri ini.

“Yang paling penting adalah untuk menggilap bakat anak Sabah dalam bidang seni kerana ramai yang berbakat, cuma tinggal untuk digilap dan dibangunkan saja,” katanya.

Mohd Ariffin berkata demikian selepas melancarkan album Ramadan 1445 di sebuah restoran di Bukit Aman, baru-baru ini.

Untuk rekod, Mohd Ariffin yang menggunakan dua nama pena berbeza iaitu Mawar Arif dan Abu Sofia menghasilkan lirik lagu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan yang dimuatkan dalam Ramadan 1445.

Album berkenaan turut menampilkan kerjasama antara Daqmie dengan kumpulan Rabbani dan kumpulan Syahmura dari Sabah.

Meskipun belum dilancarkan secara rasmi, cetakan pertama album berbentuk pemacu pena sebanyak 500 unit itu sudah habis dijual.

Mengulas lanjut, Mohd Ariffin berkata, hasil pertemuannya dengan Daqmie di sebuah program tulisan kaligrafi di Sabah mencetuskan ruang kolaborasi dengan penulis lirik lagu hits Casablanca itu.

Bagaimanapun, menurutnya, lirik yang sudah lama siap itu terlebih dulu dinyanyikan oleh satu kumpulan nasyid di Sabah.

“Selepas berjumpa dengan Daqmie, timbul idea untuk bekerjasama. Lagu ini kemudiannya diberi nafas baru sebelum dimuatkan dalam album itu,” katanya yang pernah bekerjasama dengan Ramli Sarip dan Camelia.

Mengulas perkembangan minatnya dalam penulisan lirik, Mohd Ariffin menjelaskan, hobinya itu bermula sejak di bangku sekolah.

Memulakan langkah awal kreatif sebagai penyair, Mohd Ariffin berkata, setakat ini dia sudah menghasilkan tiga antologi puisi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Saya anggap penulisan adalah terapi dan sekurang-kurang dengan penulisan, kita boleh terjemahkan emosi dalam karya.

“Karya juga adalah wadah dakwah, ia sekali gus menjadi ibadah bukan saja di dunia tapi akhirat,” katanya.

Album 'Ramadan 1445' ditawarkan pada harga RM69.90 untuk 500 unit pertama. Sebagai tambahan, peminat akan berpeluang untuk menikmati video muzik bagi lagu "Yang Dirindui" akan ditayangkan di YouTube Channel Daqmie pada 16 Februari 2024.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan album Ramadan 1445 dari Daqmie boleh hubungi talian 017-4882091 atau melalui IG, TikTok dan laman Facebook Daqmie. 

- Malaysiakini

Catat Ulasan

0 Ulasan