Cakna dengan permintaan peminatnya di Malaysia, ‘songbird seberang’ asal Denpasar, Bali, Indonesia, Mahalini Ayu Raharja atau lebih terkenal dengan panggilan Mahalini, kembali ke Kuala Lumpur demi menjayakan konsert ‘LOVECHESTRA MAHALINI LIVE IN KUALA LUMPUR’ malam tadi yang dibawakan khas oleh jenama kosmetik popular Alha Alfa, dan dianjurkan oleh penganjur acara, Kharisma Music.
“Terima kasih buat semua yang hadir menyaksikan konsert saya tadi, ‘kalian’ are the best,” kata Mahalini, 23 tahun.
Bermula jam 8:00 malam di ruang hiburan Megastar Arena @ Sg. Wang Plaza, dengan bertemakan ‘all-white’, Mahalini membawakan lagu ‘Bawa Dia Kembali’ sebagai pembuka acara.
Konsert yang bertemakan ‘Lovechestra’ (love + orchestra) turut diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.
Ternyata, kesemua penonton yang hadir dibuai asyik oleh kemerduan suara yang dimiliki Mahalini selama hampir 2 jam dalam menyanyikan hampir 16 buah lagu kesemuanya seperti Sial, Sisa Rasa, Melawan Restu, Bohongi Hati, Kisah Sempurna dan banyak lagi.
Kongsi salah satu penonton yang hadir, “Sangat menakjubkan, dan persembahan memukau!
“Saya merupakan fan Mahalini, namun tidak berpeluang menyaksikan konsert sebelum ini, terima kasih tidak terhingga buat pihak penganjur kerana membawa Mahalini kembali," kata seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Shahila.
Lebih istimewa, malam konsert juga turut diserikan dengan bintang tamu, Rizky Febian, ternyata penonton bersorak riuh apabila ‘Iky’ muncul di pentas menyanyikan bersama lagu-lagu duet Mahalini seperti Aku Yang Salah, Janji Kita, Satu Tuju dan juga You’re Mine, dan Rizky juga turut mendendangkan lagu Selaras Kata dari album terbaharunya, Berona.
Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, “Pertama sekali terima kasih kepada semua pembeli tiket yang hadir memeriahkan konsert, serta terima kasih kepada para penganjur yang menjayakan konsert ini seperti Alha Alfa, radio ERA, Batik Air dan HAPM.
“Ternyata percaturan Kharisma Music dalam membawakan Mahalini ke Malaysia membuahkan hasil kerana pemilihannya dibuat berdasarkan pencapaian beliau dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia dengan jumlah penstriman paling tinggi di Spotify (Indonesia), serta lagu-lagu nyanyian sering menjadi viral di media sosial.
“Buat penggemar muzik live di Malaysia, nantikan pengumuman yang seterusnya dari Kharisma Music!
Malam konsert tadi juga turut menjadi malam bertuah bagi salah seorang pembeli tiket yang telah berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang merupakan sebuah kereta, serta pemenang lainnya dengan hadiah-hadiah yang menarik.
0 Ulasan