Pesta Muzik Kuantan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari ini ditunda pada 4 Mei depan. Penundaan konsert yang bakal membariskan Kumpulan Popular Indonesia, Ungu dengan gabungan artis tempatan dari Malaysia ; Eda Ezrin, Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo dan Aswad Jalil itu dibuat bagi menghormati perpaduan kaum dan agama serta umat islam di Malaysia.
Konsert yang memilih Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang itu ditukar nama kepada Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air. ShowPro Entertainment yang merupakan penganjur konsert berkenaan berkata, penundaan konsert itu dibuat ekoran tarikh yang dipilih hampir dekat dengan ketibaan bulan Ramadan dan sebagai penganjur, mereka perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama di Malaysia.
"Kami bersetuju tunda pesta berkenaan ke tarikh baharu selepas ambil kira faktor perkembangan isu semasa, selain menghormati pandangan masyarakat terutama umat islam yang bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
"Keputusan penundaan itu juga dipersetujui barisan artis dan pihak yang terbabit. Jadi, sebagai penganjur saya bertanggung jawab dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi mereka yang telah membuat pembelian tiket tersebut tidak perlu membatalkannya kerana hanya terdapat perubahan tarikh bukannya konsert itu dibatalkan.
Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air itu bakal berlangsung 4 Mei 2024 iaitu sebulan selepas umat islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
0 Ulasan