SIMFONI BUDAYA: KERONCONG & GHAZAL, MARTABAT MUZIK DUA GENERASI

Bukan mudah untuk mencipta legasi, apatah lagi mempersembahkan sesuatu walaupun hanya sekadar nyanyian, tetapi impaknya haruslah besar sekaligus mampu memecah tembok keselesaan yang dikecapinya puluhan tahun. Lahir sebagai anak seni dikala usia masih muda walaupun ketika itu mendapat bantahan dari ibu bapanya, figura hebat berusia 72 tahun ini tetap meneruskan minat yang terhalang sehingga kini mampu tersenyum dalam julat permainannya sebagai seorang 'penghibur'.

Menghasilkan kira-kira 11 buah album dengan pembabitan awalnya pada tahun 1982 menerusi album solonya, Kau Yang Pertama, Aisah binti Mohd Shariff atau nama komersialnya, Datuk Yusni Hamid antara penghibur keroncong terkenal yang banyak mengalunkan beberapa buah lagu bukan sahaja dari melodi keroncong dan tradisi, malahan penyanyi yang dikenali sebagai 'Penghibur di Raja' ini juga seorang penyanyi pop dan balada menerusi rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Ku Tak Mengerti, Kau Yang Ku Nanti, Bilakah Derita Berakhir dan banyak lagi. 

Bagi memberi penghormatan lebih lima dekad di dalam industri seni, hiburan dan muzik tanah air, Orkestra Filharmonik Malaysia akan mempersembahkan Simfoni Budaya : Keroncong dan Ghazal dengan menampilkan Biduanita Legenda Terkenal, Datuk Yusni Hamid. Konsert yang bakal berlangsung pada 2 Mac depan bermula 8.30 malam itu memilih Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang terletak di KLCC Kuala Lumpur. Selain Yusni, konsert tersebut juga menampilkan Haziq Rosebi dan Naib Juara Bintang RTM tahun 2001 dan Juara Bintang Asli 2006, Asmidar. 

Konsert yang bakal memberi kelainan dari segi susunan muzik dan persembahan itu juga bakal diiringi 65 pemuzik daripada MPO dengan gabungan orkestra secara tradisional pimpinan konduktor terkemuka MPO, Ahmad Muriz Che Rose. 

Ketika ditemui media di sebuah hotel di tengah ibu negara, konduktor yang berpengalaman luas dalam persembahan muzik dan konsert artis tempatan dan antarabangsa, Ahmad Muriz berkata, konsert yang mengetengahkan kembali irama tradisional dengan gabungan pelbagai instrument muzik akan disuntik elemen pembaharuan yang bersesuaian bagi menarik pendengar khususnya generasi muda malahan mampu menjadi konsert yang bakal meninggalkan sejuta kenangan dan memori tersendiri.

"Kali ini kita akan mempelbagaikan elemen muzik yang bersesuaian dengan roh keroncong dan muzik tradisi yang akan digubah semula dalam bentuk simfoni. Menerusi konsert ini juga, kita akan menggabungkan tujuh pemuzik tradisional bersama 65 pemuzik MPO yang tentunya akan menjadikan kira-kira 20 buah lagu itu berhantu dan memberikan magis tersendiri. 

Pemilihan Datuk Yusni Hamid, Haziq Rosebi dan Asmidar untuk persembahan kali ini adalah kerana mereka merupakan gabungan penyanyi yang sangat baik. Kehebatan mereka mengalunkan lagu-lagu keroncong dan ghazal yang pernah dipersembahkan di beberapa konsert atau persembahan terdahulu, memberi kepercayaan buat kita untuk menganjurkan konsert ini di mana kita mahu mempersembahkan sesuatu yang menarik buat tatapan generasi baharu yang tidak tahu bagaimana muzik keroncong itu dinyanyikan," kata Ahmad Muriz berharap konsert yang bakal berlangsung 2 Mac 2024 itu mampu menarik peminat muzik dari pelbagai latar usia untuk sama-sama hadir menyaksikan konsert yang cukup berbeza ini.

Datuk Yusni Hamid yang terkenal sebagai penyanyi kelas pertama di kalangan VVIP dan golongan di raja ini berkata, sebagai penghibur yang berbakti hampir 5 dekad di dalam industri muzik merasakan pemilihannya dalam konsert ini sebagai satu yang mengujakan malahan pelantun suara yang pernah merakamkan lagu dan album bersama Allahyarham Tan Sri S.M Salim ini berharap konsert yang bakal berlangsung 2 Mac depan ini sebagai persembahan yang melengkapkan kariernya sebagai penyanyi sejak tahun 1969.

"Saya sangat teruja untuk persembahan ini memandangkan bukan kali pertama saya beraksi di DFP. Apabila pihak pengurusan memaklumkan yang pada malam 2 Mac depan, saya, Asmidar dan Haziq akan berkongsi satu pentas. Saya bersetuju kerana bukan mudah untuk mempersembahkan genre muzik keroncong dan ghazal di kala industri muzik lebih ke arah muzik pop dan genre lain yang digemari golongan muda.

"Sejujurnya saya sangat teruja apatah lagi kedua-dua penyanyi yang akan bersama saya ini bukan calang juga. Mereka hebat. Bagi peminat muzik, kena datang kerana anda tidak akan boleh menyaksikan kami ditempat lain kerana di sini alunan muziknya cukup berbeza kerana ia dalam simfoni orkestra yang pastinya memukau," kata Datuk Yusni Hamid penuh bersahaja.

Album Fizikal

Ketika disoal tentang pembikinan album fizikal yang hanya menjadi pilihan segelintir penyanyi, Datuk Yusni berpendapat sebagai seorang penyanyi yang mahu relevan di dalam industri muzik, mereka perlu ada album solo dalam bentuk fizikal malahan menganggap ia satu cabaran dalam industri muzik yang pada hari ini hanya memberi fokus kepada penghasilan secara digital.

"Saya sebenarnya rindu dengan album fizikal ini. Ia cukup berbeza dan memorinya tidak sama dengan penghasilan album secara digital. Melalui fizikal, peminat muzik dan juga saya sendiri suka melihat kondisi album, gambar-gambar yang dimuat dalam cetakan tersebut, lirik dan nota yang terkandung di dalamnya.

"Kalau semua ini tidak ada, bagaimana untuk kita mengatakan awak penyanyi?. Album fizikal penting untuk seseorang penyanyi itu kekal relevan dalam sesuatu jangka masa. Awak akan melalui fasa seperti kami yang sudah berusia. Bayangkan satu hari nanti awak sudah bersara dan album yang pernah awak buat dalam fizikal itu akan menjadi teman awak bagi menyuntik nostalgia, " katanya.

Datuk Yusni berkata juga, bagi persembahan yang bakal berlangsung di DFP KLCC itu akan menjanjikan pengalaman yang mengasyikkan di mana lagu-lagu yang disampaikan tersebut dipilih bagi mewakili generasi terdahulu. Bukan sahaja lagu-lagu dalam bahasa Melayu, malahan figura hebat yang pernah diundang ke majlis rasmi Kerajaan dan istana negeri, dan juga Istana Budaya dan The Esplanade, Singapura  itu menambah mungkin juga lagu berbahasa Mandarin dan Kantonis dalam genre keroncong mungkin akan dinyanyikannya. Ia terpulang kepada pemilihan yang akan dibuat secara terperinci.

Lagu-lagu seperti Sayang Di Sayang, Bisikan Hati, Tinggallah Mustika Hati, Melati Di Tapal Batas, Puteri Ledang, Kini Hatiku Telah Tertawan, Di Ambang Sore, Kenang Daku Dalam Doamu dan Pak Ngah Balik antara lagu yang bakal dipersembahkan Asmidar, Haziq dan Datuk Yusni Hamid pada malam 2 Mac depan.

Bagi Asmidar dan Haziq Rosebi, konsert yang bakal menampilkan gabungan bersama legenda keroncong terkenal, Datuk Yusni Hamid itu sebagai persembahan yang amat mendebarkan memandangkan Datuk Yusni adalah antara penyanyi legenda yang sangat hebat dan menurut mereka, gabungan ini mampu meninggalkan kenangan yang cukup berharga dan tidak mungkin akan berulang kembali. 

"Saya fikir konsert ini suatu langkah yang baik bagi menghidupkan kembali muzik keroncong dan ghazal yang kian dilupakan generasi hari ini. Kita boleh melihat contohnya, Penyanyi Dayang Nurfaizah yang kembali menawan dunia muzik menerusi lagu bersifat tradisi melalui pembikinan album Belagu. 

"Ia memberikan rasa yang unik, menggegarkan jiwa dan harus diperhalusi sebaik mungkin agar industri muzik hari ini mampu bertahan walaupun dalam genre muzik yang saya rasa susah tetapi impaknya mampu meninggalkan sejuta kenangan tersendiri," kata Asmidar.

Kesemua lagu-lagu ini bakal digubah untuk persembahan orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman dan Ahmad Muriz Che Rose sendiri. Tiket berharga dari RM218 sehingga RM498 boleh dimiliki di laman MPO sejak ia dilancarkan awal Januari lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan