ZAINAL ABIDIN BUKAN SEKADAR PENGHIBUR

Walaupun dibanjiri dengan pelbagai konsert artis tempatan yang kian rancak sejak beberapa bulan lalu hingga menjadi sebagai sebuah acara tahunan yang menuntungkan, Datuk Zainal Abidin, 65, melihat sambutan menggalakkan dari peminat muzik serta sokongan kerajaan menjadikan industri muzik yang dahulunya hanya sebagai 'sesuap rezeki' kini boleh dikatakan satu industri yang menjana pulangan ekonomi yang baik. 

Meletakkan harapan agar generasi hari ini tahu dan menghargai peluang sebaik mungkin, pelantun suara Hijau dan Ikhlas Tapi Jauh itu ketika ditemui semasa Sidang Media selepas Konsert Sound Spirit Zainal Abidin: The Legacy of Sound yang diadakan di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) pada 20 Januari lalu itu berkata, sebagai anak seni, beliau tetap akan berjuang sehabis mungkin untuk kekal relevan dalam industri yang semakin mencabar tanpa peduli dengan saingan yang cuba menjatuhkan atau memusnahkan karier seorang anak seni.

"Saya melihat perbezaan yang begitu ketara antara pengkarya muzik hari ini dengan yang terdahulu, seperti saya. Generasi hari ini lebih mudah dan kehadapan dengan pelbagai teknologi, kemudahan dan bantuan yang diberikan. Anda berusaha anda dapat.

"Muzik adalah satu industri yang boleh menjana peluang pekerjaan dan ekonomi yang baik. Persiapan dari segi fizikal dan mental amat penting untuk mendokong usaha bagi membawa serta memartabatkan industri ini," ujar Zainal penuh teruja.

Zainal yang tampil bersahaja memukau pendengar pemuzik tanah air apabila mengalunkan hampir lebih sepuluh buah lagu popularnya, antaranya Bongkar, Damai, Sabar, Manis, Khayalan, Hijau dan lagu terbaharunya “Tiba Masa', sebelum menutup persembahan dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh

Konsert yang berlangsung selama 2 jam itu bukan sahaja memberi fokus kepada nyanyian semata-mata, tetapi turut diselangi dengan perkongsian mengenai pengalaman dan perjalanan kerjayanya dalam bidang seni. 

Mengetengahkan konsep berhibur sambil mendidik, konsert tersebut turut menampilkan barisan panelis yang mempunyai pengalaman luar biasa di dalam industri muzik iaitu maestro muzik, Michael Veerapen yang pernah terlibat dalam pembikinan album Sudirman Arshad, pemain perkusi terkenal, Steve Thorton dan jurutera bunyi tersohor Sunir Kumar. 

Konsert yang dibawakan khas oleh AfroZapin Network, sebuah produksi milik Datuk Zainal Abidin, ini turut mendapat sokongan kerajaan melalui MyCreative Ventures dengan kerjasama rakan penaja utama, CIMB Bank dan Yayasan CIMB. Turut memeriahkan persembahan pada malam itu adalan persembahan menarik oleh Pija Yasin, pemenang program 'Mentor' TV3, dan One Juicy, salah seorang penari B-Boy terbaik Asia dan juara program realiti 'The Band' Astro Ria, keduanya yang merupakan anak didikan Datuk Zainal Abidin.

Paling mencuri tumpuan penonton adalah ketika di mana Datuk Zainal bercerita tentang kepayahan serta kesusahan beliau untuk meneruskan hidup bagi membina legasi sehingga mampu berdiri sebagai penghibur sejati. 

Zainal yang dibesarkan tanpa kedua ibu bapa di mana sewaktu usia kecil beliau diserahkan kepada datuk dan neneknya. Dari situ beliau mula mengenali dunia seni muzik memandangkan datuknya adalah seorang pemuzik. Selepas datuknya meninggal pada usia Zainal lapan tahun, beliau berpindah dari satu keluarga ke satu keluarga yang lain. Fasa ini menjadikan Zainal mula mengenali erti hidup walaupun dalam keadaan penuh terdesak dari segi fizikal dan mental.

Kepayahan beliau meneruskan hidup dikongsikan Zainal apabila terpaksa membuka cerita lama di mana waktu itu Zainal bekerja sebagai penjual ais kacang dan pernah menjadi buruh binaan serta tukang cuci pinggan bagi mencari sesuap nasi.

"Saya menyeberang ke Singapura berjalan kaki. Banyak kerja saya telah lakukan. Menjadi buruh binaan sehingga pernah bekerja mencuci pinggan mangkuk, akhirnya saya di sini menghiburkan kalian," katanya.

Perkongsian itu membuatkan rata-rata penonton yang hadir menjadi senyap seketika bagi memberi laluan buat Zainal berkongsi suka duka di hadapan 300 pelajar dari Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti UCSI dan Universiti Limkokwing.

"Anda beruntung kerana hidup pada zaman ini. Percayalah setiap apa yang lakukan akan ada hasilnya," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan