Selepas 23 tahun lagu berjudul Rabiatul Adawiyah dipopularkan oleh kumpulan Inteam, kini mereka memilih Khai Bahar untuk tampil bersama dalam pembikinan nyanyian semula lagu ini dengan judul Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24)
Lagu yang pernah popular sekitar tahun 2001 itu kini kembali dengan nafas baharu melalui gabungan suara Inteam bersama Khai Bahar. Kumpulan yang popular dengan lagu Kasih Kekasih pada tahun 2000 itu menganggap pemilihan Khai Bahar sebagai rakan duet untuk Rabiatul Adawiyah sebagai penerus legasi muzik nasyid kerana suara Khai Bahar amat serasi dengan lagu ini.
"Kami pernah bekerjasama dengan Khai Bahar di dalam 'remake' lagu Setanggi Syurga sebelum ini pada tahun 2020, dan kami melihat kerjasama tersebut sangat serasi dan mendapat sambutan hangat dari peminat serta suara Khai juga sesuai dengan lagu-lagu Inteam," kata Syah anggota Kumpulan Inteam kepada Wajib Tonton.
Khai Bahar yang terkenal dengan lagu 'Bayang' pada tahun 2016 menganggap kerjasamanya bersama Inteam adalah kerana lagu-lagu Inteam yang pernah mengusik jiwanya suatu ketika dahulu, malahan pembikinan lagu Rabiatul Adawiyah kerana arwah ibunya amat meminati lagu tersebut.
"Saya memang meminati lagu-lagu Inteam dan pernah menyanyikan lagu-lagu mereka secara 'cover' di media sosial. Lebih istimewa lagi, lagu Rabiatul Adawiyah ini adalah di antara lagu yang sangat disukai oleh arwah Ibu saya, dan pastinya ia menggamit nostalgia yg indah"katanya.
Khai yang pernah berkolaborasi bersama Inteam pada tahun 2020 menerusi lagu Setanggi Kasih berharap peminat muzik khususnya irama nasyid dapat menerima Rabiatul Adawiyah sebagai lagu pilihan apabila tibanya bulan Ramadan.
Untuk rekod, lagu Rabiatul Adawiyah pernah dimuatkan di dalam album Inteam berjudul Impian Kasih yang dilancarkan pada tahun 2001. Lagu ciptaan Munif Ahmad dari Kumpulan Hijjaz dan lirik oleh Abdul Kahar ini mengisahkan tentang serikandi sufi bernama Rabiatul Adawiyah.
Muhammad Hazamin yang merupakan salah seorang anggota Kumpulan Inteam berkata Rabiatul Adawiyah sebagai lagu penuh makna kerana ia menceritakan tentang Srikandi Allah yang tiada tandingannya.
"Lagu ini sangat bermakna untuk dihayati lebih-lebih lagi dengan ketibaan Ramadan kerana ia menceritakan kisah perjalanan seorang hamba Allah iaitu serikandi yang mencari Tuhannya dan akhirnya hanya meletakkan cinta Allah di dalam hatinya mengatasi segala-galanya," katanya.
Ketika menyentuh soal susunan muzik dan rakaman lagu yang bersesuaian mengikut peredaran zaman, Rahim Inteam berkata, sebagai pengkarya muzik, mereka amat teliti dengan pemilihan lagu memandangkan terdapat kini banyak lagu-lagu nasyid yang dirakamkan semula, tetapi untuk Rabiatul Adawiyah, ia merupakan lagu yang mempunyai susunan melodi, senikata dan muzik yang cukup istimewa.
"Susunan muzik oleh Chaan kali ini lebih segar dan mengikut arus semasa namun tidak sesekali menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini. Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan sebahagian besar lagu dinyanyikan Khai Bahar dan sebahagian lagi oleh Inteam sendiri," katanya.
Namun, menurut Hisyam Inteam, keaslian sesebuah lagu bergantung kepada melodi asal dan lirik yang diterjemahkan walaupun ia sebuah lagu lama yang dirakamkan semula.
"Sebenarnya sejak sebelum pandemik, kami telah menghasilkan lebih 10 lagu baru seperti Labbaikallah, Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura, Selimut Kasih dan lain-lain, cuma sudah menjadi kebiasaan bagi kami menjelang Ramadan untuk menyanyikan semula lagu lama dan berduet dengan artis arus perdana. Ini kerana lagu-lagu lama ini ada unsur nostalgia dan kami cuba memperkenalkan semula lagu-lagu berkualiti terdahulu kepada generasi sekarang yang mungkin masih belum dilahirkan ketika lagu ini dilancarkan dahulu," katanya.
Lagu Rabiatul Adawiyah 2024 dilancarkan pada 8 Mac 2024 dan kini berada di seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, Apple music, Kkbox termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital.
0 Ulasan