Di lokasi yang sama, 25 tahun yang lalu bermulalah detik manis buat anak jati kelahiran Temerloh, Pahang beraksi pertama kali di dalam sebuah konsert besar. Konsert Live Siti Nurhaliza menyaksikan Stadium Putra Bukit Jalil yang kini dijenamakan kepada Axiata Arena, Bukit Jalil sebagai konsert pertama Siti Nurhaliza pada tahun 1999.
Kemudian pada tahun 2001 dan 2019, Siti kembali dengan Konsert Mega dan Konsert Jelajah, Siti Nurhaliza On Tour 2019, Stadium Putra Bukit Jalil yang boleh memuatkan 10,000 orang ketika itu melonjak naik menerusi Konsert Sebuah Epitome Siti Nurhaliza apabila berjaya menghimpunkan hampir 12,000 peminat dari dalam dan luar negara membanjiri stadium tertutup itu. Axiata Arena Bukit Jalil menjadi saksi betapa hebatnya Penyanyi No. 1 Negara itu mengekalkan taringnya walaupun kini menginjak usia 45 tahun.
Membuka tirai konsert dengan lagu Lebih Indah selepas penonton disajikan dengan video AI Siti berusia 25 tahun, Siti memukau penonton menerusi lebih 30 buah lagu dendangannya. Aura Siti sebagai Penyanyi No. 1 Negara masih kekal menggunung sekalipun badai ombak menafikan kehebatan bekas Bintang HMI 1995 dan AJL 1996 itu.
Terbahagi kepada lima segmen, Siti membuai perasaan penonton dengan seleksi lagu-lagu hebat dendangannya. Lagu Kurniaan Dalam Samaran ciptaan Ross Ariffin di mana liriknya ditulis oleh S.Amin Shahab, yang dimuatkan dalam album studio kelima Siti, Pancawarna (1999) dipersembahkan Siti dengan baik sekali. Akui Siti, lagu yang mengambil rentak seperti lagu berbahasa Jepun antara lagu nyanyiannya yang cukup susah dibawa dan merupakan kali pertama dipersembahkan dalam susunan muzik yang lebih besar, susunan komposer dan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito.
Aubrey yang terlibat bersama Siti sejak tahun 2006 menerusi pembikinan album studio ke-12 Siti Nurhaliza, menganggap Siti sebagai figura industri muzik yang cukup berpengaruh. Katanya, beliau cukup selesa bekerja bersama Siti memandangkan dia (Siti Nurhaliza) antara penyanyi wanita yang cukup baik menyanyikan lagu secara langsung.
Selain Siti, penyanyi Syamel dan Judika antara penyanyi jemputan yang turut menghiburkan penonton pada malam tersebut. Ini menyaksikan pelantun suara Jerat Percintaan dan Aku Cinta Padamu itu antara penghibur yang bertaraf legenda. Berikan sahaja apa jua lagu kepadanya, pasti berjaya dipersembahkan dengan baik.
Konsert Sebuah Epitome Siti Nurhaliza yang dipersembahkan di Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi bakal mencipta kenangan dan memori tersendiri dan merupakan sebuah konsert anjuran Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Production bagi mengutip dana bagi Palestine.
Antara lagu yang dipersembahkan Dato' Sri Siti Nurhaliza pada malam tersebut termasuklah Purnama Merindu, 7 Nasihat, Kesilapanku Keegoanmu, Sehebat Matahari, Menjaga Cintamu, Romansa Kita, Oda Di Bumi Anbia, Kurniaan Dalam Samaran, Bukan Cinta Biasa, Aku Bidadari Syurgamu, Salju Kasihnya, Usah Diragui, Debaran Cintamu, Sempadan serta koleksi lagu tradisional seperti Mahligai Permata, Joget Senyum Memikat, Cindai dan banyak lagi.
Gambar: @billybwilly @thankyouhariz
0 Ulasan