Hari ini telah berlangsungnya ‘RaRa Tonton Drama Sangat Fans Special: 2024 Ramadan Raya Drama Reveal’ bertempat di Glamhall Damansara, Petaling Jaya yang juga merupakan penaja lokasi acara tersebut. TV3 dan Tonton telah mengumumkan barisan drama yang bakal bersiaran sepanjang Ramadan Raya tahun ini iaitu, Akasia: Wanita Syurga (Redza Rosli, Siti Khadijah Halim & Riena Diana), Lestary: Iskandar Chempaka (Muaz Zabir & Harissa Adlynn), Samarinda: Lelaki Itu (Dato’ Adi Putra & Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura & Nabila Huda), Tonton Original Series: Kuih Muah (Shukri Yahaya & Ezzanie Jasny), Ramadan Mini Series: Helo, Saya Anak Uncle! (Izzue Islam & Zara Zya) dan Raya Mini Series: Ya, Cikgu! (Trisha Ooi & Fadhli Masoot)
Menurut Ketua Pegawai Operasi TV3 & Tonton, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Ketua Pegawai Pemasaran Media Prima Berhad, Amir Rasyidi Johari, “Tahun ini, kami menitikberatkan inovasi dalam jalan penceritaan serta mengutamakan karya skrip berkualiti tinggi dan pihak produksi yang terbaik untuk menghasilkan drama TV3 dan Tonton.”
“Barisan drama kali ini lebih istimewa kerana kami lebih tumpukan kepada situasi semasa yang dapat dikaitkan dengan penonton supaya mereka merasai dan menjiwai drama yang ditonton. Antara isu yang kami cuba terapkan adalah isu semasa, kekeluargaan dan sosial yang relevan. Ini membuatkan sesuatu drama itu lebih menonjol dan dekat di hati penonton,” jelas Encik Amir lagi.
“SITI KHADIJAH TUNTUT HAK SEPENCARIAN DARI REDZA ROSLI!”
(Akasia: Wanita Syurga - iQIYI dan ditaja oleh Similac Intelli-Pro)
Mulai 15 Mac 2024, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada pukul 6:58 petang
Pelakon: Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana, Nazim Othman dan Marissa Yasmin.
Drama bersiri ini menceritakan tentang Ardini (Siti Khadijah Halim) yang ikhlas menjadi isteri kepada Amar (Redza Rosli), lelaki yang dicintainya namun ketika cintanya dikhianati dia juga harus bersedia kehilangan kedua-dua permata hatinya, Wana dan Warith.
Kisah bermula apabila Ardini meninggalkan kerjayanya sebagai pereka dalaman semata untuk memberi tumpuan kepada keluarganya. Kehidupan Ardini dan Amar bahagia disamping dua cahayamata mereka iaitu Wana dan Warith. Namun, langit tidak sentiasa cerah, sehingga kemunculan orang ketiga, Alin (Riena Diana). Amar dan Alin berkahwin di luar negara tanpa pengetahuan keluarga. Sejak itu, kehidupan Ardini dan anak-anaknya terabai kerana Amar melebihkan Alin kerana dia seorang yang bekerjaya. Ardini mendapat sokongan Puan Faizah, ibu mertuanya menjalani masalah rumah tangganya. Ardini bangkit semula untuk mempertahankan haknya sebagai seorang ibu.
Untuk pengetahuan anda, Wanita Syurga boleh strim di perkhidmatan penstriman iQIYI satu jam selepas siaran TV dalam sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia secara percuma pada bila-bila masa melalui aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store.
(Lestary: Iskandar Chempaka ditaja oleh Nivea)
Mulai 7 Mac 2024, setiap hari Khamis hingga Sabtu, pada pukul 9.00 malam
Pelakon: Muaz Zabir, Harissa Adlynn, Raja Azura, Alvin Chong dan Chacha Maembong.
Menceritakan tentang kesusahan pasangan remaja yang mendirikan rumah tangga pada usia yang muda yang ditetapkan oleh ibu mentua. Iskandar (Muaz Zabir) dan Chempaka (Harissa Adlynn) jatuh cinta sejak di bangku persekolahan. Iskandar merupakan jaguh olahraga dan menjadi kegilaan ramai, manakala Chempaka pula adalah ‘the girl next door’. Pasangan yang disangkakan tidak akan berkekalan ini beranjak ke alam rumahtangga. Rumah tangga yang disangkakan manis bertukar apabila Iskandar rupanya anak emak! Ini membuatkan kehidupan Iskandar dan Chempaka ditetapkan oleh Naema, ibu Iskandar.
(Samarinda: Lelaki Itu)
Mulai 19 Mac 2024, setiap Isnin hingga Khamis, pada pukul 10.00 malam
Pelakon: Dato’ Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nabila Huda, Nadia Brian, Hannah Delisha dan Sophia Al-Barakbah.
Apabila seorang suami tidak dapat menjadi khalifah di rumah sendiri, dia akan menjadi lelaki di luar rumahnya. Itulah kisah yang akan ditampilkan dalam drama ini. Syed Mirza (Dato’ Adi Putra) telah berkahwin dengan Sharifah Qaidah (Che Puan Sarimah Ibrahim), seorang wanita kaya yang berpengaruh. Mereka dikurniakan tiga anak perempuan. Namun kehidupan rumahtangga mereka tidak seperti yang diidamkan. Sharifah Qaidah berlagak sebagai ketua rumah tangga kerana statusnya yang tinggi dan membuatkan Syed Mirza berasa terkongkong.
(Tonton Original Series: Kuih Muah)
Mulai 11 April 2024, 2 episod setiap hari Khamis
Pelakon: Shukri Yahaya, Ezzanie Jasny, Raden Zaharatul, Muaz Zabir dan Kismah Johar
Kecewa dengan berita perceraian ibu bapanya yang mengejutkan, Adam (Shukri Yahaya) yakin bahawa dengan menyelamatkan perniagaan kuih keluarganya yang hampir mati, dia juga boleh menyelamatkan perkahwinan ibu bapanya. Adam berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kuih sehingga membuatkan tunangnya, Ruhana (Raden Zaharatul) kecewa. Berbekalkan resipi dan tunjuk ajar daripada nenek (Kismah Johar), Adam mempelajari seni membuat kuih.
Persaingan tercetus apabila Kyle (Muaz Zabir), rakan sekolah menengah yang sudah lama bermusuh dengan Adam tiba-tiba muncul dengan perniagaan kuih muih hipster. Kyle bukan sahaja mengancam perniagaan keluarga Adam daripada berkembang maju tetapi dia juga merancang untuk merampas Ruhana daripada Adam!
“IZZUE ISLAM ADA ANAK PEREMPUAN?”
(Ramadan Mini Series: Helo, Saya Anak Uncle!)
Mulai 17 Mac 2024, setiap hari Ahad, pada pukul 9.00 malam
Pelakon: Izzue Islam, Zara Zya, Rania Amanda, Aprena Manrose dan Raden Zaharatul
Dr. Suhael (Izzue Islam), seorang doktor pakar kanak-kanak yang saban hari dikelilingi oleh pesakit kanak-kanak. Kehadiran seorang anak kecil bernama Ciara yang tiba-tiba mengaku sebagai anaknya telah mengucar-ngacirkan hidupnya. Ayahnya bersekongkol dengan bekas isterinya untuk membiarkan Ciara dijaga oleh Suhael kerana Sarah (Aprena Manrose) mengikut suaminya ke luar negara dan terpaksa meninggalkan Ciara disebabkan Ciara akan mula persekolahan darjah 1.
Dia merasakan dunianya gelap, hidup yang dulunya bebas dan tidak terikat dengan komitmen kini telah dibebani dengan tanggungjawab sebagai ayah! Kehadiran Ciara telah menggugat posisi Mira (Raden Zaharatul) sebagai teman wanita Dr Suhael. Setiap hari, pelbagai cara yang Mira lakukan di depan Ciara untuk memastikan bahawa Ciara sedar akan posisinya di hati Dr Suhael. Namun kemunculan Cikgu Wawa (Zara Zya) yang merupakan guru sekolah Ciara juga menjadikan Mira semakin membara. Berjayakah Mira menyisihkan posisi Ciara sebagai anak? Adakah kehadiran Ciara hanyalah satu bebanan?
“FADHLI MASOOT JADI CIKGU SEKOLAH MEMANDU?”
(Raya Mini Series: Ya, Cikgu!)
Raya Pertama hingga Raya Kelima, pada pukul 10.30 pagi
Pelakon: Trisha Ooi, Fadhli Masoot, Khir Rahman, Ku Faridah Ku Shafie dan Afifah Nasir
Kehendak jiwa yang berbeza telah menimbulkan perbalahan antara Amin (Fadhli Masoot) dan bapanya, Cikgu Zaman (Khir Rahman). Cikgu Zaman inginkan anaknya meneruskan legasi keluarga untuk memilih cikgu sebagai kerjaya walaupun Amin lebih cenderung untuk menceburi bidang seni. Sahabat baik Amin, Medina (Trisha Ooi) juga bersependapat dengan Cikgu Zaman kerana Medina adalah guru praktikal di kampung itu. Amin tetap meronta-ronta untuk menceburi bidang seni dan sering menghadiri uji bakat lakonan.
Keadaan menjadi kecoh apabila Amin mengumumkan yang dia berjaya mendapat kerja sebagai cikgu tetapi di sebuah sekolah memandu. Bagaimanakah penerimaan Cikgu Zaman terhadap kerjaya Amin?
Ikuti juga perkembangan terkini Tonton di media sosial menggunakan tanda pagar #Tonton dan dapatkan info terkini tentang rancangan kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, Tiktok, dan Instagram Tonton iaitu @tontonmy.
0 Ulasan