JAAFAR ONN DALAM KENANGAN

Kehilangan insan seni yang disenangi ramai, Jaafar Onn pada usia 73 tahun sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam buat mereka yang mengenali dan akrab dengan beliau.

Penggiat seni dan juga pengarah kreatif, Mohd Akram Bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Amy Ikhram adalah salah seorang daripadanya.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya, Amy berkongsi kerinduan dan kenangan dengan arwah yang dipanggil ‘papa’ ini.

“Bila diingatkan kembali, setiap awal pagi pada jam 5 atau 6 pagi mesti papa akan hantar pesanan. 

“Salam Suboh. Solat jangan lupa. Bukan itu sahaja, solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak pun sama. Masa ni papa masih sihat.”

“Kadangkala papa bebel cakap, kita ni sementara saja, Allah jangan lupa, dan kini tiada lagi.

“Banyak lagi kenangan tak terungkap. Papa, kami semua amat merindui. Moga Syurga buat mu papa. Amin,” tulis Amy.


Allahyarham Jaafar Onn meninggal dunia pada 3 April lalu, kira-kira jam 11.30 pagi ketika dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. 

Allahyarham Jaafar yang dilahirkan pada 19 Oktober 1951 di Muar, Johor, anak bongsu daripada tiga beradik.

Kerjaya seni Jaafar bermula sekitar awal 1970-an selepas Allahyarham berhijrah ke Kuala Lumpur dan menyertai kumpulan tarian terkenal yang membuat persembahan di stesen televisyen ketika itu.

Bakat lakonannya terserlah sekitar 1980-an apabila pelakon dan pengarah terkenal, Datin Rosnani Jamil membawanya ke dunia lakonan dengan membintangi telefilem berjudul Lagenda Lela Manja.

Jaafar juga pernah merakamkan album nyanyian, selain bergandingan dengan beberapa teman artis termasuk penyanyi Salwa Abd. Rahman, Rohana Jalil, Azie dan Lina Kamsan. – Getaran, 6 April 2024

Nota:

  • Amy Ikram merupakan Pengarah Kreatif & Pengasas portal hiburan Wajib Tonton dan artikel ini telah disiarkan oleh portal Getaran pada 6 April 2024. 

Catat Ulasan

0 Ulasan