SISI BERBEZA KAMAL AFFANDI DALAM FILEM SHERIFF

Nama Kamal Affandi Hashim, sememangnya tidak asing dalam membicarakan aspek keselamatan apabila dia sering kali muncul di dada akhbar mahupun kaca televisyen mengulas pelbagai isu dan kes sebagai seorang penganalis jenayah.

Pengetahuan dan pengamatannya menghuraikan sesuatu kes menjadi tumpuan masyarakat untuk lebih memahami akan punca sesuatu kejadian jenayah memandangkan beliau sebelum ini pernah berkhidmat selama 10 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kepakaran yang dimiliki penerima anugerah Asisten Supritendan Kehormat pada tahun 2012 ini turut menarik minat pengarah terkenal Syafiq Yusof yang juga dikenali sebagai ‘Raja Plot Twist’ dengan menawarkannya watak dalam filem Sheriff yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Meraih kutipan melebihi RM1juta ketika tayangan awal filem ini pada 17 April, Kamal Affandi berkata peluang yang diberikan Syafiq itu enggan dilepaskannya kerana tawaran itu ibarat sirih pulang ke gagang apabila kembali menyarung seragam polis selepas meninggalkan pasukan tersebut lebih 20 tahun lepas.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan Syafiq dan beliau seorang yang terbuka menerima pandangan dan idea. Saya juga rasa bertuah kerana berpeluang bergandingan dengan nama besar seperti Zul Ariffin dan Syafiq Kyle dalam filem aksi thriller tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang ditemui pada malam gala filem berkenaan baru-baru ini berkata pembabitannya dalam dunia layar perak adalah kali kedua kerana sebelum ini, pernah menjayakan filem KL Gangster 2 arahan abang Syafiq iaitu Syamsul Yusof pada 2013.

Kali ini, tatkala muncul sebagai pelakon pembantu memegang watak Tuan Hafsham yang berkhidmat di Jabatan Narkotik Kamal Affandi berkata dia tidak keberatan untuk berkongsi pandangan dengan pengarah dan kru produksi dalam menjadikan babak filem kepolisan itu lebih realistik.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan Syafiq Yusof, dan beliau seorang yang terbuka menerima pandangan dan idea," katanya.

Berkongsi lanjut pengalamannya menyertai pengambaran filem tersebut yang memakan masa 81 hari, Kamal Affandi baru selesai menjalani pembedahan kecil di dahi serta kecederaan di kaki sebelum pengambaran dimulakan namun tetap bersemangat mahu menjayakan watak berkenaan.

Katanya babak ketika misi menyelamatkan ASP Jennifer Wong, lakonan Elizabeth Tan yang ditawan di dalam sebuah bas usang merupakan bahagian paling mencabar untuk dijayakan apabila dia perlu menukar senjata ketika melakonkan aksi berkenaan.

"Selain itu dalam babak sama, paling dramatik pada saya adalah ketika menyingkap kain yang menyelubung tawanan, ucapan 'Allahuakbar' yang disebut itu adalah ad-lib (spontan).

"Ini kerana ketika melakonkan babak itu, saya membayangkan sekiranya situasi itu benar-benar berlaku mungkin begitulah juga reaksi saya," katanya.

Filem Sheriff menemui penonton di pawagam mulai 18 April, mengisahkan Nazri, polis dari Jabatan Narkotik lakonan Syafiq Kyle yang terdesak untuk menyelesaikan sindiket dadah Tony Ifrit (lakonan Aaron Aziz) yang semakin berleluasa selepas Tony terlepas daripada hukuman.

Pada masa yang sama, Sheriff (Zul Ariffin) dari Jabatan Integriti telah dihantar pihak Bukit Aman untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Artikel ini pernah disiarkan dan dipetik dari Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan