SITI NURHALIZA RAIKAN MEDIA DAN ARTIS LEGENDA

Dalam usia 30 tahun mewarnai industri hiburan tanah air bukanlah semudah yang disangka. Setiap jasa, pengorbanan dan jerit payah kekuatan mengharungi pelbagai liku hidup menjadikan beliau seorang wanita kental yang kuat di mata peminatnya.

Baginya, pengamal media merupakan antara kumpulan atau individu yang banyak menyaksikan kegemilangan seorang insan seni yang dilahirkan menjadi 'Siti Nurhaliza'. Di atas kecenderungan bagi menghargai setiap jasa dan bakti rakan media dalam kerjayanya, Yayasan Nurjiwa yang dimiliki Dato' Sri Siti Nurhaliza telah mengadakan satu majlis bagi meraikan rakan media sempena Ramadan yang lepas.

"Saya berharap satu hari nanti, jika diizinkan Allah S.W.T saya nak berjumpa dengan rakan media yang tidak dapat hadir pada majlis ini. Khususnya Huzz yang banyak terlibat dalam karier saya selama ini," kata Siti Nurhaliza ketika menjawab pertanyaan media mengenai majlis yang diadakan ini. Antara rakan media yang diraikan dan menerima sumbangan ialah Noor Joha (Utusan Malaysia), Nas Ahmad (Melodi), Bob, Muhammad Basir (suami kepada jurugambar Utusan, Allahyarham Nor Azlina), Serimah Mohd Sallehuddin (Wartawan sambilan Berita Harian) dan ramai lagi. 


Ketika berkongsi kenangan dan suka duka, pelantun suara Jerat Percintaan dan Cindai ini berkata, sebagai seorang artis yang berada hampir 30 tahun dalam industri seni, muzik dan hiburan, rakan media banyak membantu beliau dikenali sampai ke hari ini.

"Pengamal media ni macam keluarga saya. Tanpa mereka, siapalah saya. Saya membesar dengan kawan-kawan media yang banyak memberikan saya tunjuk ajar sampai la saya mampu berdiri sendiri dalam industri ini. Terima kasih anda semua. Siti sayang anda semua," katanya.

Pada majlis sama, Siti turut menyantuni beberapa artis veteran, antaranya penyanyi legenda terkemuka, Zaiton Sameon, Roy, Ali XPDC, Rashidah Jaafar, Roslan Ahmad, Mak Wan, Dharma Harun Al-Rashid dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Yayasan Prihatin Nasional dan Yayasan Nurjiwa berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada 60 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Hatiku dan Rumah Pendidikan dan Kebajikan Al-Firdaus serta menyantun ibu tunggal seramai 40 orang dari Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysua (GERAKWANIS) dan Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati). 



Selain itu, golongan penggiat seni dan pengamal media turut mendapat perhatian kedua-dua yayasan dengan memberikan sumbangan kepada mereka yang dikenal pasti dan memerlukan bantuan.

Memilih penggiat dan pengamal media antara penerima sumbangan adalah sebagai tanda penghargaan buat golongan yang telah bekerja keras dalam kerjaya mereka dan menjadi penghubung dalam bidang seni serta maklumat kepada masyarakat. 

Sumbangan yang disampaikan kepada semua penerima adalah dalam bentuk wang tunai, pakaian dan kotak makanan bagi keperluan bulan Ramadan dan sambutan hari raya Aidilfitri. 





Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa & Yayasan Prihatin Nasional.

Gambar: Siti Nurhaliza FB

Catat Ulasan

0 Ulasan