Selepas menembusi beberapa siri konsert terdahulu sejak kali pertama beraksi di pentas seawal tahun 1992 menerusi Gong Impian, Komposer, Penggubah Lagu, Penyanyi, Pelakon, Pelukis, Pengarah dan Penerbit Muzik Terkemuka, Dato' M. Nasir kembali selepas 45 tahun menerusi konsert solo terbarunya, CIPTA.
Mengambil pendekatan ke arah mendominasikan seni muzik melalui ribuan karya sentuhannya samada yang pernah dinyanyikanya sendiri ataupun dicipta untuk dialunkan oleh penyanyi lain, CIPTA bakal menterjemahkan kreativiti melalui keaslian dan rasa seorang figura tersohor yang berbakti hampir lima dekad di dalam industri muzik dan hiburan tanah air.
Memilih pentas Axiata Arena Bukit Jalil pada bulan kemerdekaan menjelang Ogos depan, CIPTA diterbitkan Icon Entertainment menampilkan Dato' M.Nasir. Bakal mempersembahkan hampir 40 buah seleksi lagu hebat nyanyian dan ciptaan Dato' M.Nasir, konsert yang diberi nama CIPTA ini akan merungkai perjalanan kisah dan hidup penghibur sejati menerusi rangkaian lagu-lagu popularnya di dalam industri muzik nusantara di sebalik nama Mohamad Nasir bin Mohamed.
Dikenali sebagai sifu dan maestro muzik nusantara dikalangan karyawan dan penggiat industri kreatif tanah air, Dato' M.Nasir berharap konsert yang bakal berlangsung 10 Ogos depan ini bukanlah perjalanan terakhirnya sebagai anak seni, malahan menganggap konsert solo terbaharunya itu sebagai momen mencipta kenangan sepanjang 45 tahun dalam lapangan seni tempatan.
"Saya tidak boleh duduk diam tanpa membuat sesuatu kerja seni yang boleh dianggap sebati dalam jiwa saya. Perjalanan 45 tahun di dalam industri itu banyak mengajar saya untuk menjadi yang terbaik malahan 10 Ogos depan ini bukanlah satu perjalanan saya yang terakhir.
"Menerusi konsert ini, saya akan menyampaikan lebih kurang atau tepat 40 buah lagu, jika diizinkan tuhan. Walaupun industri muzik hari ini banyak cabaran dan bakat baharu, saya tidak melihat atau merasa kekok malahan terpaksa bersaing dengan artis baharu untuk meletakkan muzik itu ke satu tahap yang boleh kita ingati.
"Saya hasilkan muzik yang anda gemari itu adalah muzik generasi muda. Sebagai penyanyi, saya tahu bagaimana untuk bermain dengan alunan muzik yang saya cipta. Justeru, konsert ini diberi nama CIPTA, sesuai dengan perjalanan seni saya yang telah menghasilkan ciptaan untuk industri muzik," katanya
Malahan menurut Iman Tang, Pengarah Urusan Icon Entertainment meletakkan harapan agar peminat muzik dapat meluangkan masa untuk datang menyaksikan konsert Dato' M.Nasir, seorang legenda seni dan figura muzik tersohor yang berbakti hampir lima dekad di dalam industri muzik nusantara, sekaligus berharap konsert ini dapat mencipta kenangan dan memori tersendiri di dalam industri seni tanah air.
"Saya seorang peminat muzik. Menonton konsert atau persembahan adalah kegemaran saya. Kita memilih Dato' M.Nasir untuk konsert kali ini kerana saya mahu semua peminat muzik merasai pengalaman bagaimana muzik itu dipersembahkan dalam medium persembahan berskala besar.
"Melalui Icon Entertainment, kita membawakan Dato' M.Nasir pada 10 Ogos 2024, Sabtu, 8.30 malam. Untuk tema pakaian, kita masih mencari tema bersesuaian samada klasik melayu, hitam. putih atau pakaian tradisi pendekar. Nantikan saja pengumumannya," katanya.
Pernah menerbitkan 7 buah album studio, 4 buah album kompilasi. sebuah album duet dan runut bunyi, pelantun suara Mentera Semerah Padi, Apokalips, dan Mustika, Dato' M.Nasir, 67, juga terlibat dalam penciptaan lagu-lagu nyanyian Sudirman Arshad, Search, Wings, Zaiton Sameon, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Rahim Maarof, Ella dan ramai lagi. Selain menjadi komposer dan penyanyi, Dato' M.Nasir juga pernah membintangi 15 buah filem termasuk filem Imam (2023) arahan Meor Hashim Manap.
Konsert CIPTA Dato' M.Nasir akan mula dijual tiketnya bermula 27 Mei 2024 pukul 11.00 pagi melalui laman ticket2u.
0 Ulasan