AINA ABDUL BERSAMA MPO PENUH MAGIS!

Siapa menyangka hasrat Aina Abdul untuk beraksi dipentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas, KLCC tertunai apabila penyanyi yang terkenal dengan imej eksotik dan kelantangan vokal itu berjaya memukau penonton pada 10 dan 11 Mei 2024 menerusi konsert solo Aina Abdul Bersama MPO.

Walaupun kelihatan agak 'patuh' dengan suasana persekitaran yang menuntut beliau untuk lebih kehadapan, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani menyifatkan konsert yang berlangsung selama dua hari itu merakamkan momen dan kenangan tersendiri buat dirinya apatah lagi beraksi di DFP merupakan persembahan kali pertama Aina sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

"Ini kali pertama Aina beraksi dengan 60 pemuzik orkestra pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose. Pada mulanya, Aina cukup berdebar tetapi apabila konsert ini selesai, Aina terfikir, adakah Aina sudah puaskan semua penonton?. Sebagai penyanyi, Aina cuba lakukan yang terbaik untuk semua penonton yang hadir.

"Menyanyi bersama orkestra di sini sangat menakutkan Aina, sebab suasana dia berbeza kerana Aina perlu menjadi lebih baik untuk mempersembahkan sesuatu yang tidak pernah ada di dalam mana-mana persembahan Aina sebelum ini. Jujurnya, Aina tidak pernah diiringi pemuzik seramai ini. Ia memberi satu pengalaman yang lain dan akan diingati sebagai memori manis yang tidak akan dilupakan," kata Aina Abdul ketika ditemui media selepas persembahan berakhir.

Menampilkan kira-kira 20 buah lagu popularnya dengan susunan muzik lebih segar oleh Vivian Chua, Luqman Abdul Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Jenny Chin, Mac Chew, Gerard Salonga dan Ahmad Muriz Che Rose menerusi seleksi lagu-lagu yang digubah semula, antaranya Imaji, Sumpah, Kejam, Kelip-Kelip, Bilang, Terus Hidup, Puas Sudah dan beberapa buah lagu medley, menjadikan konsert Aina sebagai persembahan eksklusif penuh ikonik di dalam industri hiburan dan muzik tanah air. 

Ketika berkongsi tentang persembahannya, Aina berkata untuk persembahan di DFP dia perlu memperbaiki diri agar tidak terlalu 'over' memandangkan bersama orkestra ia menuntut satu pengorbanan agar tidak berlebihan dari segi persembahan.  Namun, konsert tersebut berjaya membuktikan Aina antara penyanyi serba boleh yang mempunyai bakat luar biasa. 

Bukan itu sahaja, Aina turut memperagakan beberapa busana rekaan empat pereka fesyen terkemuka tanah air antaranya, Melinda Looi, Ezuwan Ismail, Rizman Ruzaini dan Wan & Mary di mana setiap rekaan yang dihasilkan adalah untuk dua malam persembahan berlangsung.

Konsert yang menyaksikan kira-kira 800 penonton yang memenuhi segenap ruang DFP itu turut dihadiri beberapa penggiat industri kreatif dan teman artis antaranya penyanyi legenda, Anuar Zain dan Ziana Zain.

Ketika persembahan berakhir kelihatan penyanyi Anuar Zain memberikan standing ovation diiringi tepukan gemuruh penonton bagaikan terpaku kepada Aina Abdul kerana berjaya membuatkan seluruh penonton 'meremang' dengan lunakan vokal beliau yang lebih lembut tanpa perlu 'menjerit' apatah lagi susunan muzik pada konsert ini sangat berbeza membuktikan betapa magisnya persembahan Aina bagaikan menonton sebuah cabaret show artis antarabangsa di Royal Albert Hall, London.

Anuar Zain dalam ciapannya di ruang komen Instagram milik editor hiburan terkenal, SlenFadzil mengatakan Aina seorang superstar dan penyanyi wanita yang berpotensi baik dari segi vokal dan persembahan yang cukup memukau penonton dan tidak mustahil beliau (Aina) boleh terbang jauh setaraf beberapa penyanyi hebat yang lain.


Gambar: Instagram SlenFadzil dan Aina Abdul

Ketika mendendangkan setiap seleksi lagu yang digubah semula oleh beberapa penggubah muzik, Aina kelihatan 'memberi' dengan lunakan vokal yang bersahaja dengan iringan muzik secara simfoni membuktikan konsert yang berlangsung di dewan ikonik itu merupakan persembahan termahal Aina sebagai seorang penghibur.

Menerusi pentas DFP, pelantun lagu Sumpah itu berjaya membuktikan beliau mampu berada di kelasnya yang tersendiri serta memperlihatkan sisinya yang berbeza sebagai seorang penyanyi berkualiti serta mampu mencipta magisnya yang tersendiri.

Selain itu, menurut rekod, Aina merupakan antara penyanyi wanita tempatan yang diberi kepercayaan oleh komposer Indonesia, Melly Goeslow untuk terlibat di dalam lagu runut bunyi sebuah filem Indonesia 'Cinta Tak Pernah Tepat Waktu' arahan Hanung Bramantyo dan filem Trinil arahan pengarah yang sama, tetapi lagunya ciptaan Aina sendiri dengan susunan muziknya oleh Jenny Chin.

Konsert Aina Abdul Bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang dipentaskan dua hari di Dewan Filharmonik Petronas itu pimpinan konduktor terkemuka DFP, Ahmad Muriz Che Rose sebagai konsert penuh bersejarah DFP sepanjang dua dekad di dalam industri seni persembahan tanah air. 

Gambar: Malaysian Philharmonic Orchestra

Catat Ulasan

0 Ulasan