DATUK HAIL AMIR MENINGGAL DUNIA

Penyanyi veteran, Datuk Hail Amir, 76, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3.48 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Cinta Hailfi kepada rakan-rakan artis. Terdahulu, Cinta memaklumkan bapanya dimaksukkan ke HKL kelmarin bagi menerima rawatan.

Menurutnya, doktor sudah memulakan rawatan dengan memberikan antibiotik bagi mengawal jangkitan terbabit.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid, di mana lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai. 

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar Perak dan pernah membintangi beberapa buah filem popular antaranya, Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Dendang Perantau,  Sesejuk Air Mata Ibu, Anita Dunia Ajaib, Ke Medan Jaya, Sindrom Mana Anakku dan Jaket Biru

Selepas lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurnia gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022 dan pernah beraksi buat kali terakhir dalam Konsert Raya Sepanjang Zaman di Dewan Filharmonik Petronas bersama Sanisah Huri, Ziana Zain dan Bob Yusof pada 6 Mei 2023. 

Kredit Gambar:  Malaysian Philharmonic Orchestra

Catat Ulasan

0 Ulasan