KONSERT SITI NORDIANA CIPTA MEMORI TERSENDIRI

Walaupun dikelilingi dengan beberapa konsert terdekat artis tempatan lain, "Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun" berjaya memukau lebih 1,000 penonton. Dianjurkan Icon Entertainment, konsert julung kali Siti Nordiana di dalam industri hiburan tanah air itu memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran.

Siti Nordiana yang terkenal pada era 1999 itu berjaya mencipta fenomena tersendiri melalui kemunculannya berduet bersama vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Achik  pada tahun 2000 menerusi beberapa buah lagu popular mereka antaranya, Restu, Memori Berkasih, Gurauan Berkasih dan Paling Comel sehinggalah duet terakhir mereka pada tahun 2006 menerusi pembikinan album 'Achik & Nana'

Setelah dua dekad berada di lapangan seni suara tempatan menerusi 7 buah album studio dan dua buah album bersama Achik Spin, Siti Nordiana kembali mewarnai industri muzik tanah air selepas memenangi Juara Gegar Vaganza Musim Kedua pada tahun 2015 menewaskan 12 bintang lain antaranya Farahdhiya, Ezad Lazim, Azian Mazwan Sapuan, Zul Handy Black, Sheeda, Acong Sweetchild, Ezlynn, Naseer Wahab, Haiza, Amir Ukays dan Nizam Laksamana. 

Kemunculan Nana (panggilan lain Mader bagi Siti Nordiana) berjaya membuktikan pelantun suara Cinta Hanya Sandaran itu masih relevan sebagai penyanyi, malahan persembahannya pada malam Sabtu lepas nyata meninggalkan kenangan manis yang tersendiri bukan sahaja buat dirinya tetapi peminat yang turut menyaksikan konsert bersejarah tersebut. 

Ketika persembahan, Siti Nordiana berulang kali menyatakan penghargaannya buat peminat yang setia menyokongnya, begitu juga rakan media, pemuzik dan semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada kariernya selama 25 tahun ini.

"Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga cita-cita saya untuk mengadakan konsert selepas 25 tahun. Konsert ini tentunya akan menjadi kenangan manis buat kita bersama. Terima kasih buat anda semua yang selama ini tidak pernah berputus asa untuk menyokong saya.

"Kepada peminat, terima kasih. Jika ada kekurangan dalam konsert ini, maafkan saya," katanya.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan Siti Nordiana mendendangkan hampir 21 buah lagu popularnya, antaranya Paling Comel, Tak Upaya Menangis Lagi, Seribu Setia, Pelukanmu, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Arah Cinta, Nisan Cinta, Angkara, Terus Mencintaimu, Hatiku Milikmu, Benang Emas, Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali, Joget Pilihan Jiwa dan banyak lagi.

Paling menyentuh perasaan apabila Siti Nordiana berduet bersama arwah Achik Spin di dalam konsert tersebut menerusi paparan video di skrin dengan rakaman suara arwah menjadikan konsert yang berlangsung di Zepp KL itu cukup istimewa.

Menariknya, Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun itu diiringi barisan pemuzik terkenal, antaranya Eddie Slam, Ujang Exist, Wan Gigi, Kabung, Rizal, Paang serta penyanyi latar Yuaz dan Eja itu menampilkan pengarah muzik Johan Shamsudin. 

Catat Ulasan

0 Ulasan