Selepas 21 tahun tidak beraksi secara solo dipentas, Penyanyi Ziana Zain berjaya memukau hampir 5,000 penonton di Mega Star Arena, Bukit Bintang, malam tadi.
Ziana yang mengenakan tiga persalinan rekaan tiga pereka fesyen tersohor, Dato' Rizalman (melalui rekaan Faizul), Rizman Ruzaini dan Ezuwan Ismail ini berjaya membuktikan dalam usia lima dekad, aura Ziana masih utuh walaupun hanya mendendangkan 20 buah lagu popularnya.
"Ada Suara Ada Cinta, Dengarkanlah, Satu Detik, Anggapanmu, Puncak Kasih, Terkenang Jua, Kemelut Di Muara Kasih dan sehinggalah ke Madah Berhelah, dipersembahkan Ziana bersahaja tetapi penuh elegan menjadikan konsert yang dianjurkan Anuar Zain Network, Ziana Zain Network dan CSA Academy ini mencipta kenangan dan memorinya tersendiri.
Walaupun dilihat agak bersahaja, namun bagi Ziana, ia bukanlah persembahan terakhirnya tetapi pelantun suara Setiaku Di Sini ini juga bakal beraksi di Singapura pada 28 September depan, memberi petanda bahawa prestasi Ziana sebagai anak seni masih kuat sehingga konsert malam tadi turut dihadiri peminat setianya dari pelbagai buah negara termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia.
"Alhamdulillah, akhirnya saya dapat mengadakan konsert terbaharu ini selepas 21 tahun. Walaupun saya pernah muncul dalam beberapa konsert lain termasuk bersama Anuar Zain pada 2022, juga di DFP menerusi Konsert Raya Sepanjang Zaman tahun 2023, saya agak teruja apabila persembahan saya malam ini penuh.
"Terima kasih buat peminat yang sudi hadir, tanpa kalian siapalah Ziana Zain," katanya.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 56 juga turut berkongsi cerita bagaimana beliau mula melibatkan diri dalam dunia seni termasuk menjadi penyanyi dan pelakon. Menurutnya, sokongan padu kedua ibu bapanya termasuk ayah kesayangannya, Zain Abdullah memberi inspirasi dan kekuatan untuk dirinya melangkah jauh sehingga ke hari ini.
Semasa konsert berlangsung, Ziana sempat menerima panggilan video dari ayahnya. Kongsi Ziana, abahnya itu sangat cerewet dan mahukan yang terbaik buat anak-anaknya, sehinggakan malam tadi, penonton disajikan dengan satu babak antara Ziana dan abahnya dalam sebuah panggilan video yang dibuat oleh Anuar Zain.
"Abah memang begitu. Dari awal pembabitan saya dalam industri, abah memang akan ambil tahu setiap pergerakan saya. Siapa make-up kan saya, siapa buat baju saya sampai saya sebut nama Bobocinta dan Rizalman, abah terus bersetuju," kongsi Ziana selepas konsert berakhir.
Selain persembahan, malam tadi turut menyaksikan beberapa buah petikan video filem-filem lakonan Ziana Zain antaranya Sembilu, Maria Mariana dan Merah sehingga penonton bersorak ria apabila kelibat selebriti terkemuka, Erra Fazira turut kelihatan di dalam konsert tersebut. Erra dan beberapa rakan artis lain turut hadir antaranya penyanyi Hael Husaini, Liza Hanim, Ernie Zakri, Syamel, Misha Omar, Kelly Azman, pelakon Rozita Che Wan dan ramai lagi.
Ketika disoal tentang persembahan artis baharu yang banyak menguasai industri muzik dan hiburan kini, Ziana Zain yang namanya pernah mencipta sejarah sebagai Artis Wanita Pertama yang memenangi gelaran Voice of Asia di Kazakhstan pada tahun 1995 sehingga tercatat di dalam Malaysia Book Of Records berkata, Aina Abdul antara penyanyi wanita yang dikaguminya di dalam industri muzik hari ini. Menurutnya, Aina mempunyai potensi vokal dan bakat semulajadi sebagai seorang penghibur.
"Aina Abdul antara penyanyi wanita yang saya gemari. Dia punya vokal yang baik dan seorang anak seni yang mampu membina namanya yang kukuh masa kini dan akan datang," katanya.
Menariknya, konsert Ziana Zain yang berlangsung selama tiga jam itu dipimpin oleh komposer dan penerbit muzik terkenal, Aubrey Suwito manakala Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert. Ziana Zain Konsert 2024 ini juga turut menampilkan buat pertama kalinya lagu Semangat Wira nyanyian Ziana sebagai lagu tema.
0 Ulasan