4 DEKAD MEWARNAI DUNIA PENYIARAN, TV3 TETAP BERDIRI TEGUH

TV3 kini 40 tahun! Sepanjang empat dekad bersiaran bermula 1984, TV3 kekal sebagai stesen televisyen pilihan warga Malaysia dan terus meneraju dalam membawa berita terkini, hiburan berkualiti dan program-program berinformasi.

‘Inspirasi Generasi’ diangkat sebagai tema untuk sambutan ulang tahun kali ini, selaras dengan ikoniknya TV3 yang sentiasa memberikan inspirasi sebagai pencetus, pengubah ‘trend’ atau aliran dan perintis dalam dunia televisyen. Untuk memperingati pencapaian ini, TV3 telah merancang pelbagai aktiviti menarik bagi menggegarkan sambutan sepanjang bulan ini, menerusi Immersio : Inspirasi Generasi By TV3 yang diadakan di Muzium Telekom, Kuala Lumpur di mana ia terbuka kepada khalayak ramai dari 20 Mei 2024 hingga 9 Jun 2024. Gabungan Pameran Seni Kontemporari Digital (audio & visual) dan Inspirasi Bazar berjaya menarik lebih 6000 pengunjung sejak dibuka dari 20 Mei yang lalu dan tidak dilupakan Lights & Art Expressive Showcase, iaitu “Intimate Concert” yang akan dipersembahan oleh barisan artis terkenal tanah air

Antara artis yang bakal membuat persembahan adalah Aina Abdul (1 Jun), Dayang Nurfaizah (2 Jun), Naim Daniel (8 Jun) dan Alyph (9 Jun). Menariknya persembahan keempat-empat bintang ini akan diadakan selama 1 jam di mana peminat akan mengelilingi artis tersebut dan persembahan secara santai akan dilakukan. 

Dayang Nurfaizah yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke-16 (AJL16) pada tahun 2001 menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta berkata, kualiti persembahan seseorang penyanyi itu amat penting bagi memikat penonton dan peminat untuk terus setia menonton persembahan sama ada di kaca televisyen atau dipentas, malah pelantun suara Erti Hidup dan Di Pintu Syurga itu tidak pernah menyerah dan berharap lebih banyak program menarik diterbitkan TV3 kerana ia merupakan saluran hiburan nombor satu di Malaysia. 

Terokai dunia keajaiban TV3 melalui pameran seni digital berunsurkan teknologi terkini sekaligus menjadikan seni tradisional lebih inovatif dan dinamik melalui kolaborasi TV3 bersama Galeri Seni Digital di Muzium Telekom dan Yayasan Telekom Malaysia. Saksikan keajaiban berlaku apabila Muzium Telekom ditransformasikan dan disatukan dengan inovasi kepada sebuah alam yang menakjubkan melalui Immersio : Inspirasi Generasi By TV3. Pengalaman kerjasama ini bakal mencatatkan satu lagi lembaran kreativiti kepada Muzium Telekom dan Yayasan Telekom Malaysia sebagai pewaris evolusi telekomunikasi negara. 

Menurut Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, “40 tahun yang lalu, bermulanya perjalanan kita dalam menyampaikan berita, berkongsi cerita dan menghiburkan segenap sisi keluarga. Hari ini, kita meraikan perkembangan TV3 yang didorong oleh inovasi, dedikasi serta sokongan tidak berbelah bahagi dari penontonnya. Terbukti, TV3 akan terus menjadi pemacu dan pemangkin industri media, didukungi oleh kreativiti dan keinginan yang tinggi untuk berjaya. Terima kasih kepada keluarga TV3 kerana komited dalam memberikan yang terbaik. Mari kita teruskan kecemerlangan ini untuk 40 tahun yang akan datang, memecahkan tradisi dan mencipta detik-detik indah bersama!”, katanya. 

Inspirasi Art Showcase, memaparkan hasil karya tujuh (7) anak seni tempatan mengubah enam (6) bilik di Muzium Telekom menerusi projek pemetaan cahaya dan seni digital yang mengasyikkan dengan instalasi interaktif. Inilah masanya untuk pengunjung hadir dan meneroka seni kontemporari dan digital dari sudut pandang pengkarya tentang program terbaik TV3. Enam karya seni tempatan tersebut terdiri daripada:

BILIK WANITA - [oleh Lakarumni & Crystal Amira Instagram: @crystalm.ira]

Bilik yang direka berdasarkan ‘project mapping’ ini merupakan satu aturan seni yang memukau dalam meraikan keberanian wanita yang terinspirasi daripada naratif menerusi program-program terkemuka TV3 seperti Wanita Hari Ini dan NONA. Reka bentuk ini direka dalam usaha untuk menghormati pencapaian, cabaran dan ketabahan wanita melalui seni kontemporari digital yang merangkumi semangat perjuangan mereka sepanjang program ini bersiaran di TV3. 

BILIK BULETIN UTAMA TV3 - [oleh Aw-Kult (Naqib & Nazrin) Instagram: @aw.kult]

Membawa tema ‘Mesin Massa’ merupakan satu seni visual yang memaparkan kehidupan yang kompleks sejajar dengan naratif Malaysia yang sedang berkembang pesat menerusi sudut berita terkemuka TV3 iaitu Buletin Utama dan Malaysia Hari Ini. Pengunjung yang melangkah ke dalam ‘Mesin Massa’ disambut dengan landskap teratur skrin yang berbeza umur dan saiz, setiap satu menjadi portal kepada momen-momen yang berbeza dalam sejarah terkini Malaysia seperti yang dirakamkan oleh sumber berita yang dipercayai negara. Sumber video yang ditayangkan adalah dari arkib TV3, yang dipancarkan menggunakan empat televisyen dan dua projektor. 

BILIK HIBURAN - [oleh Farhan Fathee Instagram: @farhanfathee]

Rekaan bentuk atau seni visual Bilik Hiburan ini mencerminkan program hiburan yang terkenal di TV3 yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk industri muzik dan budaya Malaysia selama beberapa dekad. Semasa pengunjung bergerak di bilik ini, kehadiran dan interaksi mereka mencetuskan lampu LED yang menyala seiring dengan seleksi lagu-lagu dan melodi yang pernah mencetuskan era Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu. 

BILIK RAUDHAH - [oleh Sonik-Bingit! (Irfan Mustafa, Faez Nulha, Abu Fikrah, Haziq Jasreen) Instagram: @fantafaaa , @paehnulha , @abu.fikrah , @hzqjasreen]

Skrin-skrin televisyen antik yang dulunya menjadi visual dalam rumah, kini berfungsi sebagai tingkap yang memaparkan intipati program Islamik. Setiap skrin memainkan segmen yang dipilih dari program-program Islamik di TV3. Jejak Rasul merupakan inspirasi kepada tema dan konten bilik ini. Setiap letak duduknya prop yang ada, terselit intepretasinya yang tersendiri seperti ‘a wake-up call' kepada seluruh manusia.

BILIK DRAMA - [oleh Yeo Sen Instagram - @ys_0214_ ]

Konsep yang digunakan adalah seperti panggung wayang visual tradisional menerusi skrin digital moden. Apabila pengunjung memasuki bilik ini, mereka akan berada dalam persekitaran yang dirangka dengan teliti di mana dinding berfungsi seperti kanvas untuk pemetaan projeksi dan skrin TV yang diletakkan secara strategik menunjukkan momen utama, watak, dan naratif dari drama-drama yang pernah siarkan di TV3. Keseronokan diteruskan apabila pengunjung turut boleh mengunjungi Inspirasi Bazaar. Inspirasi Bazaar ini merupakan gabungan bazar gerai jual-jualan, busking, dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Selain itu, Inspirasi Bazaar turut mengadakan sesi busking hebat menerusi kolaborasi bersama Atas Angin. 

Bagi acara Lights & Arts Expressive Showcase (1-2 Jun & 8-9 Jun) ini, pengunjung boleh saksikan persembahan intimate yang menampilkan penyanyi terkenal negara dengan iringi pencahayaan digital interaktif sebagai latar belakang. ‘Showcase” pertama artis bermula jam 8.00 malam semalam (Sabtu, 1 Jun) dengan persembahan istimewa dari Aina Abdul, diikuti oleh Dayang Nurfaizah pada malam ini (Ahad, 2 Jun), Naim Daniel (Sabtu, 8 Jun) dan Alyph (Ahad, 9 Jun). 

Drama yang sedang hangat diperkatakan setelah tiga minggu bersiaran yang berjaya mengungguli carta nombor 1 di Tonton , Aku Bukan Ustazah memeriahkan lagi suasana di Muzium Telekom apabila barisan pelakon drama ini mengadakan sesi beramah mesra bersama peminat melalui sesi bergambar dan tanda tangan poster. Sesi bertambah gamat apabila dua peminat memilih untuk berlakon dengan Zahiril Adzim dalam petikan babak menampar Omar. Drama yang dibintangi oleh barisan pelakon mantap ini berjaya meraih hampir 4 juta penonton di TV3 setiap hari drama ini bersiaran! Antara barisan pelakon yang hadir adalah Erysha Emyra, Zahiril Adzim, Syad Mutalib, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled dan Fikhree Bakar. Peminat berpeluang bergambar dan mendapat poster yang ditandatangani oleh mereka.

Selain daripada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan, pengunjung berpeluang untuk berjumpa dengan barisan selebriti hangat tanah air seperti Bella Astillah, Muaz Zabir, Nabila Razali, Daniel Fong, Meerqeen, Wani Hasrita dan juga wajah ikonik TV3 yang pernah mewarnai siaran TV3 pada satu masa dahulu seperi Ezzah Aziz Fauzy, Abu Bakar Atan, Saiful Nizam, Kamaruddin Mape, Naz Rahman, dan ramai lagi. Penampilan khas mereka merupakan satu penghargaan kepada penonton setia TV3 dan pengunjung yang hadir sempena Ulang Tahun ke-40 TV3. 

Kepada pengunjung yang hadir, TV3 turut mengadakan acara Golden Ticket Hunt yang hanya diadakan pada 1 & 2 Jun sahaja. Terdapat 40 tiket yang disembunyikan di pelbagai tempat untuk pengunjung menangi. Rebut peluang anda kerana anda mungkin salah seorang pemenang bertuah yang bakal membawa pulang hadiah utama, televisyen Samsung dan baucar langganan Tonton selama setahun. 

Dalam usaha menghibur, kami turut sensitif dan mengambil berat susulan krisis kemanusiaan yang berlaku di dunia Palestin. Kami di TV3 sentiasa prihatin terhadap krisis kemanusiaan dan kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin. Anda boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331. Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima akan digunakan untuk membiayai bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas.

Kami berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan akan terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan dan keadilan. Melalui pelbagai program dan inisiatif kami, TV3 dan Tonton bertekad untuk menyebarkan mesej keamanan dan solidariti, sambil menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut serta dalam usaha murni ini.

TV3 – Inspirasi Generasi, selama 40 tahun dan seterusnya! Hayati dan alami sendiri dengan menghadirkan diri di Muzium Telekom, Kuala Lumpur sekarang sebelum 9 Jun 2024. 

Catat Ulasan

0 Ulasan