BAWAH PAYUNG AWAN PENUH TRAGIS?

Selepas pelancaran drama bersiri Anggun Mikayla, Viu Malaysia, perkhidmatan penstriman video OTT serantau terkemuka PCCW terus bekerjasama dengan Global Film Station Sdn Bhd menerbitkan drama bersiri terbaru, Bawah Payung Awan.

Drama bersiri 30 episod ini merupakan gandingan pertama tiga pelakon Nabila Razali, Ben Amir dan Nelissa Nizam dan telah pun  ditayangkan di Viu sejak 13 Jun lalu bermula setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Drama ini merupakan adaptasi kedua dari novel tulisan Liza Nur dan diarahkan oleh pengarah Azri Izhar. Selain Nabila Razali, Ben Amir dan Nelissa Nizam, drama ini turut dibintangi oleh Amyza Aznan, Riz Amin, Adam Malek, Muaz Zabir, Kodi Rasheed, Watie Sadali dan Lan Siro.

Ketika ditemui media semasa sesi pelancaran drama tersebut di Lumi Tropicana, Petaling Jaya baru-baru ini, Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi Viu Malaysia berkata, sebagai platform yang menyiarkan kandungan drama tempatan juga antarabangsa, Viu menghasilkan Bawah Payung Awan iaitu sebuah naskhah kedua adaptasi novel tulisan Liza Nur di mana drama ini berkisarkan  tentang tiga sekawan iaitu Widad (Nabila Razali), Soleiman (Ben Amir) dan Hanan (Nelissa Nizam). Mereka dibesarkan di sebuah kawasan setinggan yang menjadi sarang penjenayah. 

"Ia sebuah cerita kekeluargaan yang kaya dengan elemen kasih sayang, perhubungan sesama manusia dan kehidupan tragis masyarakat terpinggir yang mewakili pelbagai watak yang digambarkan dalam drama ini.

"Bawah Payung Awan mempunyai 30 episod dan setiap minggu kita akan tayangkan 3 episod iaitu bermula setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. Banyak elemen yang menarik kita paparkan sebagai wadah yang boleh menyentuh dan menyentap jiwa penonton," katanya.

Mampukah drama ini menjadi antara drama rantaian terbaik? Saksikan kisah menyentuh perasaan ini di dalam Bawah Payung Awan yang kini boleh ditonton secara langganan di platform Viu

Sinopsis Bawah Payung Awan

Bawah Payung Awan mengisahkan tentang tiga sekawan iaitu Widad, Soleiman dan Hanan. Mereka dibesarkan di sebuah kawasan setinggan yang menjadi sarang penjenayah. Widad, anak seorang pelacur, berusaha keras untuk mencari jalan keluar dengan belajar bersungguh-sungguh. 

Soleiman yang menjadi mangsa dera ayahnya sejak kecil keliru dalam mencari identiti diri setelah abangnya meninggal dunia semasa melarikan diri daripada pihak polis. Hanan yang dirogol abang sendiri semasa berusia sembilan tahun dan dibenci ibu kandungnya, mencari kebebasan dengan berpeleseran dengan mat motor bernama Zaf.

Hanan yang semakin hanyut, mendesak Soleiman membantunya sehingga Soleiman terheret ke dalam perancangan samseng-samseng kawasan setinggan mereka untuk merompak. Akibatnya, Soleiman tertangkap dan dimasukkan ke sekolah Henry Gurney. Widad cuba melawat Soleiman tetapi sahabatnya itu enggan berjumpa dengannya.

Soleiman mengutus surat kepada Widad sebelum Widad berangkat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dengan tajaan biasiswa. Soleiman meminta supaya Widad melupakan dirinya seperti mana dia sudah melupakan Widad dan mahu mereka meneruskan hidup masing- masing. Mampukah mereka mengubah nasib hidup mereka?



Catat Ulasan

0 Ulasan