BLUES GANG BAKAL BERAKSI 9 OGOS DEPAN

Kembara seni mereka masih utuh berdiri walaupun berusia separuh abad, perjuangan dalam membawa lagu-lagu rakyat terutamanya irama blues dan rock tetap menjadi pilihan utama, bagi kumpulan muzik legenda, Blues Gang. 

Tampil bertiga yang diketuai Ito Mohd sebagai vokalis, Blues Gang yang popular sekitar tahun 1980-an menerusi beberapa buah karya lagu termasuk, Apa Nak Di Kato, Khatulistiwa, Ibu, Mak Siti dan banyak lagi itu bakal muncul dalam sebuah konsert istimewa, Blues Gang Apo Nak Di Kato menjelang 9 Ogos depan. 

Memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi utama persembahan, Ito Mohd berkata, penganjuran konsert yang julung kali diadakan ini membuktikan dalam usia 5 dekad, Blues Gang mampu menawan halwa telinga pendengar dan peminat muzik tanah air sekaligus menunjukkan mereka masih relevan dalam industri yang berakar hampir 45 tahun. 

"Kami sangat teruja untuk menemui anda kembali pada 9 Ogos nanti. Tiada yang istimewa melainkan sokongan peminat buat kami. Insya allah, kami akan lakukan yang terbaik pada malam tersebut," katanya.

Blues Gang yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu menganggap konsert yang bakal menampilkan kira-kira 15 buah lagu itu sebagai petanda yang mereka masih aktif walaupun hanya bertiga memandangkan dua orang ahli kumpulan lagi telah pun meninggal dunia. Meneruskan perjuangan bersama Julian Mokhtar sebagai pemain gitar utama dan Ghani Dato Abu Talib (gitar kedua/keyboard), Blues Gang berharap konsert yang bakal berlangsung di Zepp KL itu dapat mengimbas nostalgia muzik blues di Malaysia. 

"Ini petanda bahawa kami tidak pernah bubar. Kami masih aktif dalam satu kumpulan walaupun hanya tinggal bertiga. Pemain bes, Jim Madasamy dan pemain dram serta pengasas Blues Gang iaitu Shaikh Karim telah pun meninggal dunia. Sebagai rakan, kami tetap mendoakan kesejahteraan bersama dan insya allah kami akan menghidupkan kembali roh Blues Gang sepertimana anda mengenali kami 45 tahun yang lepas menerusi konsert istimewa nanti," katanya.

Ketika ditanya tentang persembahan pada malam konsert tersebut, Ito mengakui mereka sedikit teruja dan berharap selagi hayat di kandung badan, mereka tetap akan bersama menghiburkan peminat.

Semasa konsert nanti, Blues Gang akan menampilkan tiga atau empat orang artis jemputan antaranya, Lord Lokman, Sasha Zainal, pemain flute dari Terengganu dan pemain gendang dari Kelantan.

Walaupun berhadapan dengan beberapa konsert lain pada masa yang sama, Blues Gang berkata, sebagai penyanyi, mereka percaya peminat yang meminati Blues Gang akan hadir kerana genre muzik yang dipersembahan amat berbeza dengan konsert artis lain.

Pada tarikh yang sama, Ratu Rock Negara, Ella turut mengadakan konsert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Bagi mengimbas kenangan serta keutuhan identiti yang dibawa oleh Blues Gang hampir lima dekad, satu segmen khas Melayu akan diselitkan, di mana segmen ini akan menyaksikan bagaimana alunan blues dan rock menyatu dengan Dikir Barat, serunai Melayu, gendang serta beberapa muzik tradisi Melayu yang menjadi teras muzik Melayu Malaysia sejak zaman berzaman. Beberapa pemuzik serta penyanyi undangan juga akan turut serta dalam sesi jamming bersama Blues Gang sebagai tanda sokongan dan persembahan istimewa untuk peminat.

Menariknya, sebahagian jualan tiket konsert ini akan disumbangkan kepada tabung bantuan Palestine dan peminat yang membeli turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah serta cenderahati eksklusif yang akan dihadiahkan kepada penonton bertuah pada konsert itu nanti.


Peminat boleh mendapatkan tiket-tiket konsert Blues Gang Apo Nak Di Kato di laman web ilassotickets.com mulai sekarang sehingga ke tarikah konsert. Peminat juga boleh memilih membeli secara bayaran ansuran sebanyak 3 kali di laman web itu nanti menggunakan aplikasi Atome. 

Sebagai penghargaan juga, penganjur bermurah hati memberi diskaun 15% bagi pembelian tiket Platinum dan Diamond bermula 5 Jun hingga 16 Jun ini. Kepada semua peminat, disaran untuk merebut peluang ini semasa tempoh diskaun berlangsung. Bagi menjamin keselesaan semua peminat yang hadir, kesemua kategori tiket adalah duduk dan bernombor. 

Bagi peminat yang pertama kali hadir ke Zepp KL, lokasi ini menyediakan kemudahan lengkap seperti tandas, surau, kaunter makanan ringan serta ruang merokok di bahagian luar dewan konsert. Bagaimanapun, makanan serta minuman adalah dilarang dibawa masuk ke dalam dewan konsert. Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 (Royal Box – ruang eklusif boleh memuatkan 8-10 pax) boleh didapatkan dengan melayari laman web tiket online http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822. 

Catat Ulasan

0 Ulasan