BUKAN CERITA BIASA, MEMOIR SEORANG GURU WAJIB TONTON!

Bersempena dengan sambutan Hari Guru yang telah diraikan oleh seluruh warga pendidik di Malaysia, Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dan KalamAriff Holdings Sdn. Bhd. tampil dengan sebuah filem berjudul Memoir Seorang Guru.

Bukan sekadar naskhah biasa, filem ini juga adalah adaptasi daripada novel dengan judul yang sama hasil karya penulis popular, Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang juga bekas seorang guru dan penerima Anugerah Penulis S.E.A 1988 mewakili Malaysia.


Penerbitnya, Datuk Arisz Ab. Rahman berkata, pihaknya berminat untuk mengadaptasi novel berkenaan ke sebuah filem kerana karya Allahyarham itu cukup istimewa dan pernah menjadi bahan sastera pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu ketika dahulu.


"Kami akui sudah banyak filem kisah guru dan pelajar diterbitkan, namun Memoir Seorang Guru ini mempunyai kelainan kerana ia bukan sahaja menceritakan tentang hubungan anak murid dan guru sahaja.


"Ia mengangkat mesej-mesej positif seperti nilai kasih sayang, mengenang budi dan kejayaan, penyesalan dan kisahnya begitu dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah bergelar guru dan anak murid. Malah, penulis novel ini juga seorang guru dan ia banyak mempengaruhi kisah dalam karya tersebut," ujarnya.


Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah mengisahkan tentang seorang guru bandar, Cikgu Sunan yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas di kelas paling tercorot.



Menariknya, Datuk Rosyam Nor telah diberi peranan utama sebagai Cikgu Sunan dan turut menampilkan barisan pelakon kanak-kanak serta pelakon popular lain seperti Nabila Huda, Johan As'ari, Zul Huzaimy, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.


Menurut Arisz, lebih istimewa lagi filem berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).


"Setakat ini YGMB yang mempunyai keahlian beratus ribu daripada kalangan guru-guru yang kami lihat mereka mampu memainkan peranan membantu mempromosikan filem ini ke sekolah-sekolah.


"Selain itu, mereka boleh menyarankan kepada guru-guru yang lain agar mengajak anak-anak murid menonton filem ini di pawagam nanti yang secara kebetulan ia ditayangkan dalam suasana semua pelajar merayakan sambutan Hari Guru," ujarnya.



Sementara itu, Kyoll Hamzah berkata, dia bersetuju untuk mengarahkan filem Memoir Seorang Guru kerana melihat ia adalah sebuah naskhah yang sangat menarik apabila diadaptasi menjadi sebuah filem.


Ujarnya yang sebelum ini banyak mengarah drama, dia sendiri yang meminta kepada penerbit untuk memilih Rosyam memegang watak utama sebagai Cikgu Sunan.


"Apabila diberi peranan sebagai pengarah, saya terus mengusulkan supaya Rosyam diberi watak tersebut kerana melihat kriteria watak 'Cikgu Sunan' ini adalah dirinya.


"Lagipun Rosyam sendiri belum pernah lagi membawakan watak sebegini dalam mana-mana filem dan pastinya ia amat dinantikan penonton," ujarnya.



Rosyam yang pernah dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16, 2003) menerusi filem KL Menjerit menegaskan bahawa dia bersetuju menerima tawaran penerbit untuk beraksi di dalam Memoir Seorang Guru adalah kerana naskhah novelnya tulisan Allahyarham Azizi dan sebagai pelakon, tanggung jawab paling besar adalah melakonkan karektor sesebuah watak agar dapat menyentuh perasaan penonton.

"Saya menangis apabila menonton filem ini. Watak Cikgu Sunan terlalu besar untuk naskhah ini. Saya cuba memberikan lakonan yang terbaik kerana umum mengetahui populariti novel ini. Saya tidak mahu orang cakap, Rosyam hanya boleh berlakon filem aksi tetapi tidak untuk karektor sebegini.

"Walaupun ramai pelakon mengidamkan watak seperti ini, tapi bagi saya mendapat watak yang baik sebegini adalah satu rezeki dan sebagai penonton, jika watak itu mampu menyentuh perasaan, saya gembira tetapi jujur saya cakap, naskhah ini banyak cabarannya dan sebagai pelakon saya perlu galas dengan baik," katanya.

Tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon kelas pertama dengan bayaran yang mahal, Rosyam mengakui dia menerima tawaran membintangi filem ini bukan sebab bayaran tetapi adalah kerana naskhahnya.


"Jujur saya cakap, saya tidak kisah berapa bayaran yang diterima, janji saya dapat menyumbangkan sesuatu agar dapat diingati sepanjang zaman. Memoir Seorang Guru sebuah naskhah kecil tapi berjiwa besar. Sebagai rakyat Malaysia anda perlu menontonnya," kata Datuk Rosyam Nor berharap filem pertama arahan Kyoll Hamzah ini dapat diterima baik penonton.

Bercakap mengenai pemilihan pelakon, jelas Arisz, pemilihan pelakon-pelakon lain juga dibuat atas perbincangan bersama penerbit, malah mereka turut menjalankan sesi uji bakat untuk pelakon kanak-kanak. 

Menjalani penggambaran pada Disember tahun lalu di beberapa buah lokasi seperti Perlis, Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur, pengarah itu mengakui berhadapan dengan beberapa cabaran. 


Menurutnya, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi adalah memilih lokasi yang terbaik serta keadaan cuaca yang tidak menentu. 

"Untuk menghasilkan filem ini tidak terlalu sukar, namun cabarannya tetap ada. Misalnya apabila membabitkan pelakon kanak-kanak dan kami telah menganjurkan sesi kelas lakonan untuk mereka bagi menghayati watak masing-masing," ujarnya. 


Pada masa sama, Kyoll meletakkan harapan yang cukup besar memandangkan Memoir Seorang Guru adalah filem pertama arahannya. 

Ketika tayangan perdana filem tersebut yang turut dihadiri oleh YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi. Fahmi berkata, Memoir Seorang Guru adalah sebuah naskhah air mata yang sangat menyentuh perasaan dan sebagai rakyat Malaysia, filem ini wajar ditonton segenap lapisan masyarakat kerana ia menceritakan pengorbanan seorang guru yang tiada nilainya. Sebagai bekas pelajar tentunya anda mempunyai pengalaman dan cerita tersendiri,  kongsi Fahmi ketika ditemui media selepas tayangan. 


Memoir Seorang Guru menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula pada 30 Mei 2024, merupakan sebuah naskhah adaptasi tulisan penulis skrip terkenal Maizura Mohd Ederis dan Che Li antara naskhah 'wajib tonton' buat penggemar filem tempatan dan ia bukannya sebuah cerita biasa tetapi 'luar biasa'!. 

Rating: 4/5 Wajib Tonton. 

Catat Ulasan

0 Ulasan