JENAZAH SENIMAN PYAN HABIB SELAMAT DIKEBUMIKAN

Industri hiburan tanah air malam tadi dikejutkan dengan pemergian seorang seniman tersohor, Allahyarham Pyan Habib. 

Menutup usia ketika 66 tahun, bintang filem Kembara Seniman Jalanan itu merupakan seorang pelakon, penyajak dan penyair terkenal dengan nama 'Osman Tikus'. Jenazah Pyan atau nama sebenarnya Mohd Supyan bin Abdul Rahman telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di Hulu Klang, pada jam 11.25 pagi. 

Majlis pengebumian Pyan telah dihadiri kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada rakan artis, keluarga, kenalan dan selebriti. Antara yang kelihatan adalah Dato' M.Nasir, Uji Rashid, Farid Kamil, Dato' Ahmad Tamimi Siregar, Azhar Yusof dan ramai lagi. 

Walaupun dikenali sebagai seorang pelakon dengan beberapa karektor yang cukup istimewa, Allahyarham Pyan dikenali dalam dunia seni melalui beberapa buah karya puisi sejak tahun 1970-an dan pernah mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian. 

Pyan Habib pernah menyertai Utusan Melayu pada tahun 1983 sebagai Pengarang Mastika dan pernah menghasilkan beberapa buah buku terbitan sendiri iaitu Suara dan Saraf Dukaku, manakala pada 2015 Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Balada Pyanhabib, sebuah koleksi lengkap kepenyairannya.

Dalam dunia lakonan, Pyan Habib pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Kembara Seniman Jalanan (1986), Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium (2015).

Selain itu, Pyan juga pernah membintangi beberapa buah drama dan telefilem antaranya Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (1994), Lorong Kecil Ke Syurga (2015), One Cent Thief (2022) dan Imam Instant Ustazah Scammer (2023)

Ketika hayatnya, beliau pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7,1987) melalui filem Tsu Feh Sofiah, namun beliau menolak anugerah tersebut dan berharap untuk memenangi anugerah melalui filem Kembara Seniman Jalanan tetapi tidak berjaya.

 

Gambar: Utusan Malaysia & Zara Jaferi (FINAS)

Catat Ulasan

0 Ulasan