KAHAR KAPLA HIGH COUNCIL BAKAL CETUS FENOMENA?

Selepas mencipta fenomena sehingga menjadi antara drama rantaian popular pada tahun 2023, Astro Shaw kembali dengan prekuel siri Projek: High Council menerusi Kahar Kapla High Council yang bakal menemui penonton tempatan penghujung tahun 2024.

Bakal membariskan muka baharu dengan penyertaan bintang utamanya, Amir Ahnaf, Kahar Kapla High Council yang diarahkan Razaisyam Rashid ini akan menampilkan Aedy Ashraf sebagai teraju utama disamping dua bakat baharu lain antaranya, model dan pelakon Sky Iskandar (watak Megat), Thompson Goh (Li) dan Khenobu (Jojo). 

Ketika ditemui media semasa Majlis Pengumuman pelakon dan bintang utamanya di LMP, Lumi Tropicana, Petaling Jaya pada petang Selasa, Raja Jastina Raja Arshad yang merupakan Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw berkata, pencarian beberapa watak di dalam Kahar Kapla High Council dibuat secara teliti di mana pada  bulan Mac lalu, sesi uji bakat pencarian watak Beja, Megat dan watak-watak lain telah diadakan untuk filem ini. Lebih 1,000 calon hadir dan atas sambutan menggalakkan, Astro Shaw membuat keputusan untuk memilih 90 individu daripada sesi tersebut bagi menjayakan watak-watak sokongan.

Selepas Astro Shaw mengumumkan penghasilan filem Kahar Kapla High Council pada awal tahun ini, kami telah merangka strategi pemasaran dan publisiti khusus untuk memberi keterujaan kepada penonton dan peminat. Rentetan daripada fenomena luar biasa siri premium ‘High Council’, kami mahu peminat turut terlibat dan menjadi sebahagian filem ini. Inisiatif pertama adalah buat julung kali kami membuka peluang kepada peminat menerusi sesi uji bakat, dan inisiatif kedua adalah memperkenalkan ‘Lesen High Council’.

“Alhamdulillah lebih 1,000 calon telah menghadiri sesi itu, termasuklah Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh serta Khenobu. Hari ini, kami juga akan mengumumkan nama-nama yang terpilih sebagai watak sokongan. Pemilihan mereka berdasarkan ciri-ciri dan keserasian yang menepati dengan apa yang kami mahukan. Kami berani mempertaruhkan gandingan muka-muka baru dan amat yakin dengan kemampuan serta bakat mereka yang boleh digilap," katanya.

Filem yang bakal memulakan penggambaran pada penghujung Jun 2024 ini bakal menghidangkan beberapa babak yang lain dari kebiasaan serta menggemparkan bagi menimbulkan mood serta keterujaan penonton untuk menyaksikan kesudahan siri premium yang diangkat ke layar perak. 

Pelakon Aedy Ashraf yang mencuri tumpuan ramai apabila diumumkan memegang watak Beja berpasangan bersama Amir Ahnaf di dalam filem Kahar Kapla High Council ini merupakan pasangan adik beradik. 

Dalam hantaran video yang dikongsikan Wajib Tonton menerusi platform TikTok, Aedy Ashraf yang berusia 30-an itu tampil mesra di pentas  bersama Amir Ahnaf telah mengundang pelbagai persepsi dan polimek di kalangan penonton dan pengguna media sosial dan ada beranggapan ia sebuah karya BL (Boy Love), namun filem yang bakal mencetuskan sekali lagi fenomena ini merupakan naskhah yang menceritakan tentang perjuangan dan hak yang berlaku di dalam High Council terutamanya kisah keluarga, alam persekolahan yang tentunya bakal mencipta momen penting untuk dinikmati sebagai peminat dan penonton siri premium High Council tersebut. 

Namun bagi Razaisyam Rashid yang pernah mengarahkan beberapa siri televisyen dan filem tempatan antaranya, My Indie Rock Darling (2007), CEO (2014), Pusaka (2019), Mulut Masin (2020), Saka Nan Sepi (2020) sehinggalah ke drama rantaian popular seperti Mandatori (2017), Black (2019) sehinggalah ke Projek: Anchor SPM (2021) menganggap Kahar Kapla High Council sebagai sebuah naskhah berat yang bakal menguji ketahanan fizikal dan mentalnya sebagai seorang pengarah.

"Sejujurnya saya katakan, saya adalah seorang peminat siri premium High Council ini. Apabila dimaklumkan Astro, saya akan mengarahkan siri ini dalam medium 'filem' tetapi menggunakan tajuk Kahar Kapla High Council, saya merasakan saya perlu menampilkan sisi yang sedikit berbeza dari siri televisyen yang pernah anda tonton. 

"Jika dahulu Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria yang mengarahkan siri asal naskhah ini, untuk medium filem saya berharap filem yang akan keluar di pawagam hujung tahun ini mungkin lebih baik dari siri asal High Council yang bagi saya sudah ada pengikutnya yang tersendiri.

"Rasa gementar itu ada, namun sebagai pengkarya saya menyahut cabaran untuk menampilkan beberapa watak yang saya rasa penting dan mungkin akan ada kejutan," katanya.

Bagi Aedy Ashraf, peluang membintangi naskhah Kahar Kapla High Council ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, namun bagi anak lelaki kepada pelakon wanita terkenal era 1980-an,  Liza Zain ini menganggap filem terbitan Astro Shaw ini sebagai naskhah idaman beliau sepanjang dua dekad dalam industri seni dan hiburan tanah air.

"Bila saya dimaklumkan saya terpilih membintangi filem ini selepas berjaya dalam sesi pemilihan pelakon / casting yang dibuat, saya terus cakap, 'ya' ini peluang untuk saya menonjolkan sisi lakonan yang lebih drastik apatah lagi ia sebuah naskhah yang saya tunggu selama ini.

"Sebagai pelakon, saya sudah mencuba pelbagai watak. Dan untuk Kahar Kapla High Council ini, tunggu je lah ye kemunculan saya," katanya kepada media sejurus selepas majlis pengumuman pelakon yang dibuat pihak Astro Shaw baru-baru ini.

Kahar Kapla High Council akan diarahkan Razaisyam Rashid. Manakala skrip ditulis oleh pasukan Astro Shaw yang diketuai oleh pengarah High Council, Anwari Ashraf bersama salah seorang penulis High Council, Luqman Alhakim Sheikh Ghazali.

Catat Ulasan

0 Ulasan