Telah berlangsung majlis “Meet and Greet” bersama ‘Mr. President’, Joe Flizzow yang bertempat di The Founders Cafe Johor Bahru. Turut mendapat sokongan stesen radio terkenal Selatan Tanah Air, BEST FM yang telah menjalankan kempen bagi menyokong usaha sama syarikat Universal Music Malaysia dan juga Def Jam Asia.
Sesi bertemu peminat dan juga acara sidang media secara eksklusif ini diadakan bagi menyokong konsert yang bakal dipersembahkan oleh Joe Flizzow tidak lama lagi di Singapura. Terdapat 20 orang pemenang yang telah dipilih menerusi kempen yang dijalankan di BEST FM dan mereka telah berpeluang untuk bertemu Joe Flizzow dan SonaOne di satu majlis tertutup di Johor Bahru. Dalam sesi bertemu peminat selama 20 minit itu, Joe Flizzow telah mempersembahkan sebuah lagu khas buat peminat-peminat beliau yang bertuah. Kempen ini merupakan salah sebuah inisiatif bersama pihak penganjur, Filloz International dan LR Asia dengan kerjasama BEST FM dan juga penaja lokasi, The Founders Cafe Johor Bahru bagi mempromosikan konsert di Singapura yang bakal diadakan pada bulan hadapan.
Konsert THIS IS JOHAN, LIVE IN SINGAPORE bakal diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 5 Julai 2024, jam 8 malam. Konsert ini turut mengundang enam rakan- rakan artis lain bagi memeriahkan acara yang akan berlangsung selama 2 jam.
Antara artis-artis yang bakal terlibat dalam konsert ini adalah Alyph, SonaOne, Gard, Ila Damiaa, MK K-Clique dan juga Adeep Nahar. Seperti konsert-konsert yang pernah dijalankan sebelum ini di Kuala Lumpur, konsert ini bakal menampilkan DJ Cza dan Joe Flizzow yang akan membawakan lebih daripada 20 buah lagu khas buat peminat muzik hip- hop di Kota Singa.
Konsert ini merupakan konsert SOLO pertama Joe Flizzow di Singapura dan apabila ditanya mengenai perasaan beliau, berikut merupakan jawapannya; “Saya sangat teruja untuk membuat persembahan di Singapura bersama-sama pemuzik dan juga rakan artis jemputan dari Singapura dan Malaysia. Saya akan mempersembahkan beberapa buah lagu baru dari album terkini, yang belum pernah diperdengarkan di mana- mana lagi. Bagi saya, Singapura merupakan satu tempat yang harus ada dalam Tour This Is Johan dan saya gembira yang tour ini akan bermula di Singapura.” Ujar Joe Flizzow melalui sesi promosi yang telah diadakan di Singapura pada bulan Februari 2024 yang lepas.
Harga tiket konsert This Is Johan Live in Singapore bermula dari SGD88 sehingga SGD208 berserta sesi “Meet n Greet” bersama Joe Flizzow. Penaja utama bagi konsert ini adalah POP Motif Interior, manakala radio rasmi di Singapura adalah RIA 89.7 dan konsert ini juga mendapat sokongan daripada Mangobossku Singapura.
JOHAN ISHAK AKA JOE FLIZZOW Perintis Hip-Hop Malaysia dan juga Pengarah Urusan Def Jam South East Asia; Johan Bin Ishak aka Joe Flizzow, yang juga dikenali sebagai MR. President Hip-Hop Malaysia, telah membawa impak yang ketara dalam industri muzik. Beliau merupakan seorang penyanyi rap yang telah banyak memenangi anugerah muzik, seorang artis perintis hip-hop Malaysia, dan kini juga berjawatan Pengarah Urusan sebuah syarikat label hip-hop Amerika Syarikat, Def Jam mewakili Asia Tenggara.
Joe Flizzow mula dikenali ramai pada lewat tahun 90-an sebagai rakan kumpulan duo hip- hop lagenda ‘Too Phat ’bersama rakan seperjuangannya Malique. Lagu terkenal duo ini termasuklah ‘Li'l Fingaz ’dan ‘Too Phat Baby’, dan mereka telah berjaya menghasilkan empat buah album rakaman sebelum memulakan kerjaya solo masing-masing. Kerjaya solo Joe bertitik tolak dengan penghasilan album ‘Presiden ’pada tahun 2008 dan ‘Havoc ’pada tahun 2013. Selepas menyepi selama tujuh tahun, kini beliau telah berjaya menghasilkan album ketiganya berjudul ‘Johan’.
Pada tahun 2005, Joe Flizzow telah menubuhkan syarikat labelnya sendiri ‘Kartel Records’, yang bukan sahaja untuk menampilkan muziknya sendiri malah juga menjadi pemangkin bagi melahirkan lebih ramai artis-artis hip-hop baru yang terinspirasi oleh beliau. Joe juga telah membimbing ramai bakat-bakat hip-hop yang sedang meningkat naik, termasuk menjadi penerbit bersama dan penganjur rancangan rap tersohor ‘16 Baris’. Rancangan ini juga menjadi platform bagi penyanyi-penyanyi rap Asia Tenggara untuk berkarya dan mempamerkan bakat mereka.
0 Ulasan