NEW BOYZ BAKAL GEGARKAN KLCC 13 JULAI DEPAN

Walaupun berbaki lagi dua minggu, tiket bagi menyaksikan Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung 13 Julai depan habis terjual. Memilih Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi utama persembahan, New Boyz yang dianggotai Tomok, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe itu bakal  meraikan ulang tahun ke-25 menerusi konsert bersejarah ini.

Penganjuran Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur merupakan rentetan kejayaan konsert terdahulu menerusi New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), tahun lalu. 

Pemilihan lokasi di Plenari adalah bertujuan untuk menghimpunkan lebih ramai peminat kumpulan ini memandangkan New Boyz merupakan kumpulan muzik remaja popular tahun 1990-an yang berjaya mencipta fenomena menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang.

Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, yang merupakan vokalis utama New Boyz  berkata, penganjuran konsert yang bakal menghimpunkan beberapa buah lagu popular mereka dalam satu persembahan istimewa ini dibuat untuk menghargai peminat setia mereka sepanjang 25 tahun New Boyz bertapak di dalam industri muzik tanah air.

"Syukur alhamdulillah. 20 hari lagi menjelang konsert ulang tahun kami, tak sabar rasanya untuk bersua dengan semua. Moga dipermudahkan segalanya, jumpa nanti.

"Konsert ini adalah bagi meraikan peminat kami. Diatas sambutan luar biasa konsert terdahulu, saya rasa kami perlu tampil untuk memberikan kejutan yang lagi menakjubkan menerusi konsert yang ke-25 tahun ini," katanya.



Menurut rekod, New Boyz ditubuhkan oleh Zul 2By2 dan pernah merakamkan 6 buah album antaranya New Boyz (1999), Akur (2000), Wirama (2001), Inspirasi (2002), Bermulanya Satu Evolusi (2004) dan Semula Padaku (2007) serta sebuah album kompilasi bertajuk The Best Of New Boyz pada tahun 2003. 

Kegilaan peminat sekitar tahun 1990-an berjaya melonjakkan New Boyz sebagai antara kumpulan muzik popular yang digilai ramai bahkan semua persembahan serta road tour yang dilakukan kumpulan tersebut  berjaya mendapat sambutan menggalakkan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan