PAKAT MAI KARNIVAL GEN-AI: TAWAR AKTIVITI, HIBURAN & PELUANG PEKERJAAN!


Buat julung kalinya, Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah (SAHSIAH), Persatuan Kebajikan Muafakat Bersaudara, dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Harmoni Bukit Mertajam dan Pertubuhan Penggerak Nadi Muda Pulau Pinang (PPNM) akan menganjurkan sebuah program Karnival Gen-AI di Pulau Pinang. 
 
Penganjur Bersama, Muhammad Fadzli Roslan berkata, Karnival Gen-AI akan berlangsung selama dua hari iaitu pada Jumaat, 21 Jun 2024 dan Sabtu, 22 Jun 2024 bertempat di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang. 
 
"Karnival ini terbuka kepada orang ramai khususnya anak muda di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
 
"Pelbagai program menarik disediakan di mana para pengunjung karnival akan disajikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Muay Thai Kuda Merah pada Jumaat malam. 
 
"Selain itu, turut diadakan ialah Karnival Kerjaya, Pameran Agensi dan pertandingan e-sports yang pastinya dapat menarik kehadiran peminat ke 
Pakat Mai Karnival Gen-AI," katanya. 
 

Fadzli berkata, mereka menjanjikan penganjuran kali pertama ini berlangsung meriah buat pengunjung untuk program selama dua hari ini. "Selain program menarik yang disusun, kami turut membariskan persembahan artis buat pengunjung. Mereka akan 
dapat menyaksikan persembahan selebriti terkemuka tanah air seperti Apak & Chombi, kumpulan Khalifah, Senario, Floor 88 dan Sufian Suhaimi.
 
"Selain itu, Karnival Gen-AI ini juga akan diserikan lagi dengan vendor lokal utara iaitu Jalan Pasola dan gerai-gerai menarik untuk dikunjungi pengunjung dan berbelanja. 
 
"Kami percaya barisan artis merangkumi pelbagai golongan dan peringkat umur yang ditampilkan berupaya menarik kehadiran pengunjung untuk 'menyerbu' karnival ini. 
 
"Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan untuk hadir beramai-ramai ke Karnival Gen-AI di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang," katanya. 
 
Sementara itu, Sufian Suhaimi mengakui bertuah diundang untuk terbabit dalam Karnival Gen-AI dan tidak sabar untuk bertemu peminatnya. "Saya sememangnya seronok menyertai program sebegini kerana dapat mendekatkan saya dengan peminat. Tiada jurang antara saya dengan mereka. 


"Suasananya amat berbeza dengan persembahan di tempat tertutup kerana di lokasi begitu penonton yang hadir hanyalah golongan tertentu sahaja dan terhad.  
 
"Tapi di karnival begini, semua orang boleh hadir untuk menonton persembahan saya dan artis-artis lain.  Lebih dari itu, mereka juga dapat membeli belah dan terbabit dengan program bermanfaat lain yang disediakan," katanya. 
 
Pendapat sama turut diluahkan oleh kumpulan Floor 88 yang popular menerusi lagu Hutang. Mereka berjanji akan memberikan persembahan maksimum kepada pengunjung yang datang nanti. "Datang sendiri dan saksikan persembahan kami serta artis lain yang dibawakan. Lagipun bukan senang barisan artis terkenal nak turun padang seperti dalam karnival ini. 
 
"Jadi kami menyeru kepada semua agar datang beramai-ramai menyokong usaha yang digerakkan oleh empat persatuan ini. Kami percaya ia pasti akan menjadi kenangan manis buat anda nanti. 
 
"Siapa tahu mungkin ada diantara anda pengunjung bertuah yang akan membawa pulang hadiah-hadiah menarik menerusi Cabutan Bertuah yang diadakan," kata mereka.

Catat Ulasan

0 Ulasan