SAKA PERAWAN MERASUK DI PAWAGAM!

Terkenal dengan karya bersifat komedi, seram, thriller, cinta dan lawak slapstik, pengarah filem terkenal, Dr. Ahmad Idham kini kembali menghantui peminat filem tanah air dengan naskhah terbarunya, Saka Perawan

Membuka tayangannya di pawagam tempatan bermula 27 Jun 2024, Saka Perawan menampilkan ramai barisan pelakon legenda komedi dan juga baharu seperti Azlee Senario, Yassin Senario, Datuk Hajah Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam, Afieq Shazwan, Dato’ Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.

Filem yang berkisarkan tentang penyakit misteri yang dialami oleh Nek Aminah ini telah membongkarkan satu kejadian pelik dan menggemparkan dalam sebuah keluarga, sehingga memaksa ketiga-tiga beradik pulang ke kampung bertemu keluarga yang sudah sekian lama ditinggalkan. Namun, terjadi satu peristiwa menakutkan apabila ketiga-tiga mereka bertukar menjadi 'perawan' yang diwarisi turun-temurun. Apakah yang berlaku kepada mereka, Nek Aminah dan keluarga yang mempunyai saka ini? Semuanya bakal terjawab dalam Saka Perawan, filem ke-38 arahan Dr. Ahmad Idham.

Menonton Saka Perawan mengingatkan penulis dengan naskhah Senario The Movie memandangkan filem terbaru arahan Ahmad Idham ini mempunyai sedikit elemen komedi kumpulan Senario yang pernah popular suatu ketika dahulu. Walaupun dilihat agak klise pada sesetengah babak seperti lawak dalam beberapa dialog pelakon dalam filem ini, namun kredit harus diberikan buat Ahmad Idham kerana berjaya menyuntik sedikit kelainan agar filem ini mampu merasuk penonton di pawagam.

Ketika ditemui media sejurus selepas tayangan filem tersebut di GSC The Starling, Petaling Jaya baru-baru ini, pelakon, pengarah dan penerbit tersohor, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, sebagai pembikin filem yang telah banyak menghasilkan beberapa buah karya samada filem mahupun drama, beliau cukup teliti dalam menterjemahkan sisi cerita agar dapat diterima penonton dan peminat filem tempatan. Bagi naskhah ke-38 yang diterbitkan Grand Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios ini, Saka Perawan merupakan sebuah 'pop-corn movies', dan pembikinannya bertujuan untuk hiburan sekeluarga tanpa ada pelbagai falsafah untuk difikirkan buat penonton yang menyaksikannya.

"Sejujurnya saya katakan, Saka Perawan sebuah naskhah komedi seram yang ada sedikit suntikan thriller dalam jalan ceritanya. Ia di kategorikan sebagai 'pop-corn movies' di mana penonton tidak perlu pening kepala memikir pelbagai falsafah dalam karya saya. Tujuannya saya mahu penonton terhibur dengan filem ini. Ia dibikin untuk seisi keluarga di mana cerita ini dekat dengan penonton dan masih relevan dalam industri ketika ini.

"Saya mengambil balik formula-formula seperti menggabungkan kumpulan pelawak dan artis yang bukan pelawak di dalam satu penceritaan seram dalam kelompok masyarakat Melayu di sebuah perkampungan tentang pembelaan entiti saka untuk diangkat menjadi filem. Elemen ini digemari cuma saya perlu berhati-hati agar ia tidak menyimpang dari landasan akidah dan kepercayaan masyarakat islam," katanya.

Selain itu, menurut Dr. Ahmad Idham lagi, selain gabungan elemen seram dan komedi yang baik, keunikan filem ini digerakkan oleh penceritaan itu sendiri di mana ia diambil melalui kritikan sosial yang amat dekat dengan masyarakat kini. Ianya mampu mewujudkan humor dan komedi yang akan menghiburkan para penonton seisi keluarga.

Menyentuh mengenai barisan pelakon yang menyerlahkan lagi filem ini, tambah beliau, kehadiran barisan pelakon komedi legenda dan pelakon baharu banyak membantu menyeimbangkan dinamik watak-watak dalam filem ini. Secara tidak langsung sisi kelakar dalam setiap pelakon dapat dikeluarkan tanpa mereka sedari. Mereka begitu profesional dan seolah-olah mempunyai keserasian yang sangat luar biasa semasa sesi penggambaran filem ini dijalankan.

Afieq Shazwan yang pertama kali berlakon di bawah arahan Dr. Ahmad Idham itu menganggap, Saka Perawan boleh membuka langkah beliau untuk menceburi bidang perfileman walaipun beliau banyak terlibat dalam drama dan telemovie selain dikenali sebagai seorang penyanyi.

"Saka Perawan adalah filem pertama lakonan saya. Sebagai pelakon, saya cuba menggalas sebaik mungkin watak yang diberikan walaupun saya agak gementar kerana ini naskhah pertama saya yang dipertontonkan di layar skrin besar di pawagam. Bekerja bersama Ahmad Idham amat menyeronokkan kerana kami seperti sebuah keluarga. Bagi peminat filem, jangan lupa untuk menonton Saka Perawan di pawagam bermula 27 Jun ini, " katanya.

Dikenali menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah (1997) dan Pasrah (2000), pelakon yang juga bekas model terkenal era 1990-an, Wilma Muhammad kembali berlakon di dalam Saka Perawan. Pelakon berusia 51 tahun itu berkata, beliau teruja saat dilamar Ahmad Idham untuk kembali berlakon filem selepas 24 tahun menyepi di dalam dunia perfileman tempatan walaupun banyak terlibat di dalam beberapa buah drama dan telemovie tempatan.

"Saya berlakon atas restu anak-anak dan keluarga saya. Mereka cakap kalau saya nak kembali semula berlakon, mereka bagi restu penuh, memandangkan masing-masing sudah pun boleh berdikari dan hidup seperti orang lain. Sebagai anak seni, saya bersyukur kerana dapat kembali berlakon walaupun pada mulanya saya agak risau, apakah saya boleh kembali memegang watak ini sedangkan karektor sebegini saya tidak pernah bawa iaitu komedi.

"Amat menyeronokkan apabila terlibat dalam keluarga Saka Perawan walaupun penggambarannya agak memenatkan tetapi kita puas kerana dapat melihat hasilnya pada hari ini. Sebagai penonton, saya rasa wajib tonton filem ini kerana ia kemunculan saya selepas 24 tahun dalam bidang filem," ujar Wilma yang pernah memenangi Pelakon Harapan Wanita Terbaik di dalam Festival Filem Malaysia ke-13, menerusi Filem Ghazal Untuk Rabiah (1997) berarap peminat filem dapat meluangkan masa untuk menonton filem Saka Perawan di pawagam.

Diarahkan Dr. Ahmad Idham, Saka Perawan di pawagam tanah air bermula 27 Jun 2024. Wajib Tonton.

Rating: 3/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan