SELEPAS BINTANGI FILEM ZIM ZIM ALA KAZIM, DATO' KAZIM ELIAS IDAM WATAK ANTAGONIS

Nama Dato’ Ustaz Kazim Elias sememangnya cukup dikenali ramai sebagai seorang pendakwah dan penceramah bebas. Malah, kisah beliau yang pernah berhadapan dengan penyakit misteri turut mendapat liputan pelbagai pihak.

Maka, ia telah memberi inspirasi kepada syarikat produksi Mawi World Entertainment untuk mengangkat kisah berkenaan menjadi sebuah filem berjudul Zim Zim Ala Kazim.
Penerbit dan pengarah, Mawi berkata, idea untuk menghasilkan filem tersebut bermula menerusi perjumpaan dengan dengan Ustaz Kazim.

“Ketika berjumpa kami berborak dan beliau telah berkongsi tentang kisah penyakit misteri yang dialaminya itu. 



“Ia adalah satu kisah mistik dan sebenarnya apa yang dilalui Ustaz Kazim itu, saya juga pernah melalui keadaan yang lebih kurang dengan beliau,” jelasnya.


Ujar Mawi, setelah perkongsian kisah berkenaan, akhirnya dia meminta kebenaran untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat cerita tentang pengalaman yang dilalui pendakwah berkenaan berhadapan penyakit misteri.


Menurutnya, dia berasa lega apabila Ustaz Kazim lantas memberikan persetujuan untuk penghasilan filem berkenaan.


“Kalau diikutkan tidak sukar untuk saya meyakinkan beliau. Dalam perjumpaan kali kedua, beliau ceritakan lebih mendalam dan pada perjumpaan kali ketiga saya turut membawa penulis skrip



“Berkenaan dengan jalan cerita pula, kira-kira 70 hingga 80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik,” jelasnya.


Berkisarkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal, filem kedua arahan Mawi itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.


Lebih menarik lagi, filem itu turut menampilkan Ustaz Kazim sebagai ‘hero’ serta Mawi sendiri yang berlakon dalam naskhah baharunya itu.



Dalam pada itu, Mawi tidak menafikan bahawa pendakwah tersebut ada meletakkan syarat jika mahu kisahnya itu diangkat menjadi filem.


“Syarat paling utama Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi ‘hero’. Pada awalnya, saya dah ada pilihan untuk pegang watak beliau. Namun, beliau sendiri nak lakonkan watak dirinya. Kata Ustaz, dia mahukan filem ini dekat dengan jiwa penonton dan semua merasai apa yang dialaminya.


“Memang agak terkejut juga, namun saya kagum dengan keberanian beliau untuk berlakon dalam filem ini,” jelasnya.


Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan filem berkenaan, Mawi memberitahu ia dibuat sekitar dua tahun lalu selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim sendiri di Kampung Manjoi, Perak.


Ujar Mawi, sepanjang penggambaran ia berjalan lancar, namun mengakui ada berlaku beberapa kejadian mistik.


“Ada satu masa itu ketika nak memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula. Sehinggakan kulit beliau ada keluar darah. Apa pun situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik,” ujarnya.


Mengenai filem terbaharu arahannya itu, Mawi berharap agar penonton terhibur dan dapat menerima apa yang ingin disampaikannya.


“Mungkin ada yang suka atau sebaliknya, tetapi sebagai seorang pembikin filem, saya sedia menerima sebarang kritikan dan sudah biasa melaluinya. Untuk hasilkan filem ini bukanlah mudah, tambahan pula saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah,” jelasnya.


Ketika ditemui media sejurus selepas tayangan, Dato' Ustaz Mohammad Kazim Elias berkata, sebagai pendakwah yang dikenali ramai, beliau cukup teruja untuk melakonkan watak sebagai dirinya di dalam filem Zim Zim Ala Kazim. Jelasnya lagi, beliau mahu filem lakonannya itu diterima baik penonton bukan sahaja di kalangan penggemar filem bahkan juga alim ulama kerana menurutnya bidang hiburan tidak melalaikan jika mempunyai niat yang betul.



"Saya bukan mahu mengajak orang untuk mendekati perkara yang tidak betul. Tujuan asal saya terlibat di dalam filem ini adalah kerana saya mahu semua orang tahu bahawa menonton filem di pawagam tidak melalaikan dan ia bukan maksiat jika mempunyai niat yang betul.


"Melakonkan watak seorang ustaz di dalam filem ini agak mencabar kerana saya perlu menjadi diri saya sendiri. Susah juga mahu jadi pelakon, bukan senang. Jika ada kesempatan dan lakonan saya digemari, saya mahu meneruskan kerjaya sambilan saya dalam bidang lakonan, tetapi saya tidak mahu lagi watak biasa, mungkin saya mahu jadi penjahat yang dibenci ramai atau apa jua watak asalkan tiada sentuhan bukan mahram. Janganlah watak Ustaz lagi, " katanya.


Filem Zim Zim Ala Kazim sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 13 Jun 2024 dan berjaya mengutip pulangan RM1 juta selepas tiga hari tayangan.


Rating: 3/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan