WARTAWAN HIBURAN POPULAR HUZZ MENINGGAL DUNIA

Wartawan hiburan popular era 1980-an hingga 1990-an, Huzz tau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin meninggal dunia di rumah abangnya di Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang, di sini pada pukul 6.10 petang hari ini.

Berita tersebut disahkan adiknya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin yang memaklumkan bahawa arwah abangnya didiagnos menghidap kanser usus tahap empat pada Mac lepas dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur selama hampir dua bulan. 

"Allahyarham dibenarkan keluar hospital pada Mei lalu dan beliau minta untuk tinggal dengan abang nombor dua kami berikutan (isterinya) dan anak abang itu merupakan doktor lagipun arwah turut mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Pada Khamis lepas, doktor yang melawatnya memaklumkan keadaan abang saya semakin kritikal berdasarkan tisu-tisu kanser yang keluar dalam tubuhnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Huzz yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang, dikelilingi semua ahli keluarga yang telah berkumpul sejak semalam di Bertam Perdana.

Nu-rul Afida berkata arwah abangnya yang akan menyambut hari lahir ke-59 tahun pada Julai nanti, mahu sentiasa berada dekat dengan adik-beradik dan ahli keluarga sejak dibawa ke Bertam Perdana. 

"Arwah minta semua adik-beradik dan ibu kami berada dengannya di sini (Bertam Perdana) dan semasa beliau menghembuskan nafasnya, kami semua ada," katanya yang beberapa kali menahan sebak.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Permatang Langsat, di sini sama ada malam ini atau awal pagi, esok.

Jawatan terakhir Huzz adalah sebagai Editor Kanan Utusan Karya dan sepanjang bertugas, Allahyarham pernah bertugas di Harian Nasional, Kumpulan Karangkraf, Utusan Melayu sebelum ditempatkan di Utusan Karya bagi mengendalikan beberapa majalah.

"Selain dikenali sebagai Huzz, arwah juga dikenali sebagai anak kepada Pengarang AR Kamaludin yang pernah bertugas di Berita Harian dan Utusan Malaysia," katanya.

Huzz sebelum ini pernah bertgas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Allahyarham juga merupakan penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.

Berita dipetik sepenuhnya dari Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan