BANGLO MEWAH BEKAS MILIK DATUK SHARIFAH AINI DALAM KENANGAN

Selepas seminggu video yang dimuatkan Wajib Tonton menerusi platform TikTok mengenai rumah bekas milik Biduanita Negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang dirobohkan sehingga mencatat tontonan paling tinggi melebihi 3.6 juta penonton,  pelbagai pihak tampil memberikan pendapat agar kerajaan mengambil alih peranan dengan mewujudkan satu galeri khas bagi menghargai pengorbanan dan usaha bakti anak seni kelahiran Johor Bahru itu.

Pada semalam, media melaporkan rumah agam milik Biduanita Negara itu sudah dirobohkan hampir 100% dan hanya tinggal serpihan batu-bata bagi memberi laluan kepada projek pembangunan pejabat tiga tingkat yang diusahakan syarikat pemaju, Al Ambia Sdn Bhd.

Menurut wakil syarikat pemaju, CT Tang yang ditemui di lokasi rumah tersebut mengatakan mereka pada awalnya tidak mengetahui tapak dan kediaman yang dibeli itu merupakan milik penyanyi terkenal tersebut, dan setelah memasuki ruang kediaman mewah itu dia terkejut mendapati banyak koleksi album dan barang peribadi milik arwah masih rapi dan tersergam indah. 

"Saya masuk ke satu bilik, saya nampak banyak kaset, CD lama milik Sharifah Aini. Saya terkejut dan bertanyakan ini rumah siapa?. 

"Rumah ini datang dengan reka bentuk dan kayu mahal yang lama. Semua kaset tersusun rapi dalam bilik tersebut. Dari segi keluasan rumah, ia sangat besar dan amat menakjubkan," katanya memetik laporan yang dikeluarkan Astro AWANI.

Koleksi Peribadi dan Album Nyanyian

Namun barang-barang kepunyaan arwah sudah sebulan dikeluarkan sebelum kerja-kerja merobohkan rumah berjalan dan ia dipindahkan ke tempat lain.  Menurut salah seorang pekerja buruh di situ berkata, ada sebuah lori masuk ke ruang rumah tersebut sekitar bulan lalu bagi membawa keluar pelbagai barang peribadi milik arwah seperti kaset, CD dan berkaitan dengan kerjaya seni penghibur tersohor itu ke satu tempat selamat. 

Kediaman mewah berkeluasan 20,000 kaki persegi itu terletak di no 42, Jalan Utara, Petaling Jaya dibeli berharga RM4 juta itu adalah dari harga asal yang dilaporkan media 6 tahun lepas berjumlah RM 8 juta yang telah dijual anak tunggal arwah, Aliff Omar Ali. 

Pada zaman kegemilangannya, banglo itu dilengkapi dengan perpustakaan, dua dapur, sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan dan bilik pembantu rumah. Banglo itu juga mempunyai bilik almari pakaian yang dikatakan kelihatan seperti galeri pameran.

Ketika bercakap kepada Astro AWANI dalam satu laporan media, anak tunggal arwah, Aliff Omar Ali berkata, agak sedih pada mulanya ketika mahu membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut, namun beliau berterima kasih kepada peminat yang masih mengingati ibunya dan menghargai perhatian yang diberikan. 

Walaupun tersimpan pelbagai memori dan kenangan tersendiri, Aliff mengakui keputusan itu adalah tepat memandangkan tiada siapa yang boleh menjaga rumah tersebut kerana kos penyelenggarannya agak tinggi dan ia sangat besar untuk didiami mereka sekeluarga. 

Tambah Aliff lagi, beliau berharap masyarakat dapat menerima keputusannya walaupun ia agar sukar diterima memandangkan arwah merupakan penghibur milik masyarakat. 

Terdahulu, Wajib Tonton melaporkan rumah agam milik biduanita itu dalam proses untuk dirobohkan namun tinjauan yang dilakukan kami tadi mendapati kerja merobohkan rumah itu hampir selesai. 

Usaha mewujudkan Galeri Khas 

Ketika bercakap kepada media, salah seorang kenalan rapat arwah yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu, usaha untuk mengarkibkan memori ini perlu difikirkan sejak dahulu lagi dan pihak kerajaan perlu memandang serius sekiranya mahu mewartakan rumah tersebut dengan membelinya sebelum ia dirobohkan atau dibeli pihak lain memandangkan jasa dan pengorbanan arwah cukup besar sehingga menerima gelaran 'Biduanita Negara' kedua selepas Puan Seri Saloma pada tahun 2006 menerusi Anugerah Kecapi anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

"Namun, proses pembelian bahan bersejarah untuk diarkibkan atau diwartakan bukan semudah disangka, ia memerlukan dana atau kos berkaitan dan dalam situasi ini Arkib Negara ada dana yang mungkin sesuai, namun ini perlu dilakukan sebelum rumah itu terjual atau dirobohkan. Sekiranya pihak mereka menghubungi pihak berkaitan mungkin ia boleh membantu," katanya kepada Wajib Tonton.


Dana Khas Pembelian Dokumen Bersejarah dan Pesanan arwah Kak Pah

Menurut sumber dalaman sebuah agensi kerajaan berkaitan mengatakan dana untuk membeli bahan bersejarah seperti rumah atau dokumen memang disediakan namun perlu usaha berterusan atau pihak keluarga membenarkan dokumen itu diwakafkan. Namun tiada usaha antara kedua-duanya bagi membawa serta mengarkibkan khazanah berharga yang difikirkan baik buat tatapan generasi seterusnya.

Dalam sesi temu bual bersama arwah Datuk Sharifah Aini yang disiarkan di TV9 menerusi siaran secara langsung bersama Datuk Prof. Dr Muhaya Mohamad menerusi Program Celik Hati Prof Muhaya pada tahun 2013, arwah Kak Pah (panggilan Sharifah Aini) berkata, kebanyakan barang peribadi beliau yang lain sudah dijual dan ada yang disimpan memandangkan beliau ketika itu dalam proses penghijrahan. 

Tambah beliau lagi, sebagai pengamal media, Arwah Datuk Sharifah Aini berharap segala gambar, memori dan kenangan beliau yang mendedahkan aurat tidak disebarkan kepada umum. Akui Kak Pah, beliau tidak boleh menafikan apa yang terjadi kerana ia sudah pun berlaku. 

Datuk Sharifah Aini telah meninggal dunia pada 5 Julai 2014 ketika berusia 61 tahun dan jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 

Biarpun tinggal kenangan, namun lagu-lagu dan karyanya tetap malar segar dan akan hidup seribu tahun lagi. Al Fatihah buat legenda, Allahyarham Datuk Sharifah Aini binti Syed Jaafar, moga rohnya dicucuri rahmat. 

Laporan berita sebelum ini

Nantikan rakaman eksklusif Rumah Datuk Sharifah Aini akan datang. Tonton di TikTok Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan