EKSKLUSIF: MIFFEST MEMBAWAKAN SEPET ARAHAN YASMIN AHMAD

 

Bagi memperingati karya agung pengarah profilik ini, MIFFest bakal membawakan filem Sepet arahan Yasmin Ahmad. Filem yang pernah mencetuskan kontroversi sekitar tahun 2005 itu membariskan lakonan hebat Sharifah Armani, Ng Choo Seong, Ida Nerina, Harith Iskandar, Adibah Noor dan ramai lagi. 

Sepet yang pernah memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara itu merangkul 6 anugerah utama di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18, 2005) antaranya, Poster Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ida Nerina), Pelakon Lelaki Harapan  (Ng Choo Seong), Pelakon Wanita Harapan (Sharifah Armani), Cerita Asal Terbaik (Yasmin Ahmad) dan Filem Terbaik. 

Sepet merupakan filem kedua arahan Yasmin Ahmad selepas Rabun, Gubra, Mukhsin. Muallaf dan TalentimeRabun yang berlatarbelakangkan sebuah kampung di hujung bandar ini mengambil inspirasi kepada cerita sebuah keluarga tercinta milik Pak Atan dan Mak Inom ; merupakan ayah dan ibu Allahyarham Yasmin Ahmad. 

Sepet yang bakal ditayangkan 8.00 malam ini di GSC MyTown, Kuala Lumpur adalah rentetan daripada seleksi filem-filem terbaik sempena penganjuran Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) yang memasuki fasa ke-7 dengan 50 filem dari 30 negara yang dipersembahkan dalam lebih daripada 35 bahasa. 

Menariknya tayangan malam ini bakal menyaksikan kehadiran penggiat industri bagi filem Sepet di mana sesi bual bicara karyawan filem akan diadakan selepas tayangan tersebut di mana pelakon utama filem ini bakal membuat kemunculan secara eksklusif bagi mengubat kerinduan peminat dan penonton terhadap naskhah agung arahan Yasmin Ahmad. 

Pada hari ini juga merupakan detik pemergian pengarah legenda tersebut yang sudah 15 tahun meninggalkan kita. Yasmin Ahmad dilaporkan meninggal dunia pada 25 Julai 2009 akibat serangan angin ahmar. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat negara dimana legasi karyanya masih hidup dan tidak lapuk di telan zaman.

Penulis (Amy Ikram, dari Kanan) bergambar kenangan bersama Yasmin Ahmad

Semasa hidupnya, Yasmin pernah bilang, 'Jikalau orang sudah lupa siapa pengarah dan pembikinnya, asalkan mereka tidak melupakan semua karya arahannya'. Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime yang dibikin bermula pada tahun 2003 sehinggalah yang terakhir kali menerusi naskhah Talentime pada tahun 2009 telah mencipta pelbagai memori dan kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan.

Mengenali Yasmin sekitar 15 tahun yang lalu di saat tayangan filem Talentime di The Curve Kuala Lumpur, Yasmin menegur penulis dan mengatakan 'walaupun dia dikenali sebagai pencemar budaya, namun penghasilan filem-filem sentuhannya adalah tentang keluarga tercintanya. Setiap filem yang dihasilkannya, akan diberikan tayangan perdana buat Mak dan Ayahnya dahulu, sekiranya filem tersebut tidak disukai mereka, maka karya tersebut tidak akan ditayangkan.

Begitulah tingginya penghormatan Yasmin buat kedua ibu bapanya. 


Selain Sepet, filem Gubra (2006) dan Muallaf (2008) turut ditayangkan menerusi Slot Master at Work: Yasmin Ahmad sempena MIFFest di pawagam GSC MyTown, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM10 sudah mula dijual dan jadual tayangan boleh di dapati melalui laman MIFFest dan GSC menerusi laman web dan aplikasi mudah alih. 

Tangisan Kerinduan 

Seorang anak seni yang cukup dikagumi
Bakat kreativitinya cukup menyentuh perasaan
Kelantangannya berbicara dalam berkongsi rasa
Menyatukan ikatan yang terpisah jauh
Antara jiwa satu hati
Setiap nukilannya membuihkan rasa cinta
Tanpa mengenal batas usia, bangsa dan budaya.....

Kini...
Tiada lagi ungkapan kata-kata dan gelak ketawa yang sering didengari...
Tiada lagi sentuhan magis dalam karyanya yang boleh dikongsi
Hanyalah tangisan kerinduan mengiringi...

Perginya kasih tiada tandingan...
Diabadikan hingga ke akhir hayat...
Allahyarham Yasmin Ahmad...
Moga rohmu dicucri rahmat..

Nukilan rasa : Amy Ikram Ismail


Petikan Klip Khas Tribute To Yasmin Ahmad by Amy Ikram (telah ditayangkan pada malam FFM22, 2009 Awards Nights 8 Ogos 2009.)

Catat Ulasan

0 Ulasan