"Aku berdiri, berhadapan denganmu, tak gentar, tak ingin menapak ke belakang. Aku mara menentang. Sekarang juga buka langkah. Kita menguji. Aku dengan soldadu kekasihku dan kau dengan hasrat syaitanmu. Itu suratan. Takdir menentukan. Aku bukan hambamu lagi. Aku gagah berani, menentu masa depan bangsa sendiri. Aku tidak bersenjata. Cuma kekuatan di dada. Manusia insan biasa," - Osman dalam filem Seman
Pendahuluan
Membikin filem memerlukan ilmu. Satu kenyataan yang sebenarnya amat 'superfluous'. Namun jika dikaitkan dengan senario pembikinan filem tempatan, kenyataan ini bukannya 'superfluous' tetapi sesuatu yang perlu diulang-ulang dengan harapan ia akan membawa kesedaran kepada para karyawan filem, khususnya mereka yang amat produktif dan berjaya di pasaran, tetapi asyik melahirkan karya-karya picisan yang tidak mencerdikkan audiens.
Hanya mereka yang berilmu dan mempunyai intelektual mampu membawa pemikiran dan falsafah tentang bangsa dan milieu mereka. Dengan kesedaran ini, pergerakan Dialog Cerdik sekitar tahun 1980-an cuba mengajak karyawan filem menghasilkan filem yang mempunyai intelektualiti. Pelbagai forum, seminar dan simposium diadakan untuk mencari 'formula' bagi melahirkan filem-filem sesuai dengan slogan seperti "filem yang bermutu", "berwajah Malaysia" dan apatah lagi istilah yang pelik-pelik. Lebih 20 tahun sudah berlalu sejak Dialog Cerdik yang pertama diadakan tetapi filem tempatan masih terjengkek-jengkek mencari audiensnya. Bukan audiens yang hanya mengkehendaki hiburan semata-mata. Apa yang dicari-cari ialah audiens yang cerdik untuk menonton filem yang sama cerdik dengan mereka.
Filem Genre dan Filem Alternatif
Sinema yang dominan adalah sinema yang menghidangkan filem genre. Filem genre adalah filem yang dibuat secara 'seamless' yang disampaikan kepada audiens dengan menggunakan bentuk naratif yang berformula serta ikonografi-ikonografi yang stereotaip.
Ideologi pembikin-pembikin filem genre sudah menjajah minda penonton sekian lama. Maka filem alternatif, iaitu satu bentuk filem yang membawa teknik penceritaan yang tidak menggunakan konvensi-konvensi filem genre, tidak mendapat tempat di kalangan audiens biasa. Inilah masalah yang amat besar yang dihadapi karyawan-karyawan filem yang berilmu, yang tidak mahu terikat dengan bentuk penceritaan popular. Masalah yang sama dihadapi oleh karyawan di banyak negara dalam dunia. Kerana itulah, tokoh-tokoh besar seperti Satyajit Ray dan Akira Kurosawa juga tidak mendapat tempat di negara mereka sendiri. Benarlah kata pujangga ,"A Prophet os without honour in his own country".
Sinema Baru Malaysia
Kata Hamzah Fansuri, tokoh Sufi dan penyajak Melayu yang pertama di tanah Sumatera;
"Aku mencari Tuhan dari negeri Jawa sehingga Kaabah. Akhirnya aku menemuinya di dalam rumah aku sendiri"
Seruan ahli-ahli pergerakan Dialog Cerdik adalah untuk mekahirkan karya-karya filem yang bersandarkan ilmu dan inteletualiti. JIka para penerbit dan birokrat filem meneliti kata-kata Hamzah Fansuri hampir 500 tahun dahulu, mereka akan sebenarnya menemui formula yang dicari-cari untuk mengangkat martabat filem tempatan. Karyawan yang boleh melakukannya telah lama berada di hadapan mata kita. Namun sudah menjadi kebiasaan manusia, "They have eyes but do not see".
Kemasukkan karyawan baharu yang berilmu ke dalam industri perfileman tempatan amatlah perlahan. Ianya bermula dengan Hafsham dengan filem pertamanya, Adik Manja (1979). Kewujudan sinema baru di Malaysia sudah mula terasa. Beberapa karyawan filem lain mendapat tempat di hati sebilangan penerbit tempatan. Di antara mereka ialah Rahim Razali, U-Wei Haji Saari, Erma Fatima, Mahadi J Murat, Adman Salleh, Hishamuddin Rais dan beberapa yang lain. Tiga nama karyawan yang lain tidak termasuk ke dalam senarai ini. Mereka ini juga telah menyumbang kepada khazanah sinema Malaysia, walaupun hanya telah melahirkan sebuah filem naratif masing-masing:-
- Syed Alwi dengan Tok Perak (1979), yang berbentuk 16mm, merupakan filem alternatif Malaysia yang pertama;
- Mansor Puteh dengan Seman (1987), filem Malaysia pertama yang menggunakan pendekatan 'counter cinema' dan bersifat 'modernist', dan
- Anuar Nor Arai dengan Johnny Bikin Filem (1995), filem tunggal 'noir' di Malaysia
Karya filem yang baik sebenarnya mempunyai dua cerita, iaitu 'foreground story' dan 'background story'. 'Foreground story' adalah cerita yang ditonton melalui visual di layar. 'Background story' adalah cerita sebenar, yang merupakan nawaitu pengarah, yang tersirat dan yang perlu 'dibaca' oleh penonton. Syed Alwi, Mansor dan Anuar Nor Arai melahirkan karya alternatif yang berbentuk ekspresionis (yang berlawanan dengan jenis genre). Untuk memahami karya ekspresionis, anda perlu mempunyai ilmu yang luar biasa.
'What you see is not what you get". Makna filem tidak hanya pada naratifnya tetapi juga pada 'narration'nya iaitu, teknik mempersembahkan naratif. Seperti kata pengarah Ingmar Bergman; "If you what to know what a filmmaker is saying, look at how hw is saying it". Untuk memahami karya alternatif, anda juga perlu mempunyai daya ingatan yang amat tinggi untuk mengumpulkan pelbagai petanda (signifiers) yang ditaburkan di sana sini dalam sesebuah filem. Seperti kata George Bernard Shaw : "Details are important; they make comments".
Filem Seman dan Mansor Puteh
Seman adalah sebuah filem alternatif berbentuk ekspresionis. Ia sebuah filem cerdik yang mengajak audiens untyk turut terlibat di dalam penceritaannya. Untuk memahami Seman, kita perlu melihat bukan sahaja nartifnya tetapi juga 'narration'nya, iaitu bagaimana 'cinematic apparatus' diguna untuk menyampaikan naratif. Seman dibuat dengan fahaman pelbagai teori dan gaya filem yang dilihat dalam filem bersifat anti-naratif, yang menggunakan 'direct photography' dengan teknik 'dialectrical montage, counter cinema dan cinema ventire. Ianya bersifat 'modenist'. Seman adalah filem yang sangat personal dan bersifat 'autibiographical'. Ini dapat dilihat pada imej pertamanya: catatan di sebuah jurnal di mana direkodkan segala perasaan, pemikiran dan pandangan yang biasanya tidak dilahirkan kepada orang lain kerana ianya terlalu peribadi. Catatan pertama adalah pantun yang ditulis adalah pantun yang ditulis dalam bahasa Melayu lama, dengan ejaan lama, sebuah pantun yang sangat dikenali;
"Suruh makan dia makan, suruh mengaji dia tak tahu".
Mansor menggunakannya dalam konteks masa kini, teguran terhadap mereka yang terlibat di dalam industri perfileman tempatan tetapi tidak ada ilmu yang sewajarnya dan juga tidak berusaha untuk mempelajarinya.
Seman, seperti Johnny Bikin Filem (1995), membawa subjek yang sama, iaitu mengenai industri filem tempatan dan segala permasalahannya. Itulah 'background story' tentang industri, dipenuhi manusia yang tidak berilmu, yang tidak sedar yang mereka sebenarnya tidak ada ilmu sebagaimana disebut Aristotle hampir 2,500 tahun dahulu:
"They who do not know and are not aware that they do not know, they are fools. Avoid them"
Industri perfileman tempatan dipenuhi dengan manusia-manusia seperti ini, yang tidak jujur, yang berpura-pura dan berangan kosong. Sebaliknya, industri semacam ini tidak mahu menerima mereka yang berilmu dan berwibawa kerana melihat mereka ini sebagai ancaman. Wajah-wajah manusia sebegini dapat dilihat pada watak-watak dalam filem Seman seperti yang dibawa oleh Rosnah Md Aris (dengan rambut palsu ala Marilyn Monreo), serta dua pelanggannya. Pantun di awal filem ditujukan kepada orang-orang seperti ini, yang jelas sudah ketinggalan zaman. Dan lebih malang, mereka tidak sedar yang mereka sudah sebenarnya ditinggalkan zaman!.
Adegan dari sebuah drama TV dalam Seman menunjukkan formula drama Melayu yang tidak berubah dari zaman pembikinan filem di Jalan Ampas, Singapura. Seorang bapa menghalau anaknya dari rumah kerana ia mengandung anak luar nikah. Bapa itu memakai pakaian tradisional Melayu dan berkopiah putih. Inilah wajah bapa dan bentuk drama yang diinginkan stesen televisyen tempatan. Jika rupa dan bentuk cerita seperti ini diulang-ulang di kaca televisyen, apakah persepsi bangsa lain terhadap bangsa Melayu?. Juga, salahkah sekiranya remaja pada hari ini tidak lagi menghornati orang-orang tua mereka dengan menghadirkan orang-orang tua mereka dengan menghadirkan persembahan sebegini?. Inikah yang dilaung-laungkan sebagai 'filem kita wajah kita?'.
Mansor memperkatakan kesemua ini pada tahun 1987 seakan-akan meramalkan apa yang akan berlaku nanti. Hampir dua puluh tahun kemudian, ianya menjadi kenyataan. Keadaan tidak berubah sama ada di kaca televisyen ataupun di layar Perak. Penerbit, pengedar dan pemamer filem tidak berusaha untuk membawa penonton filem kita untuk menerima filem-filem alternatif. Mereka hanya memikikan keuntungan dengan menghidangkan filem-filem picisan yang sebenarnya merosakkan minda. Stesen televisyen tempatan juga tidak berusaha mengadakan program khas televisyen yang mampu membawa penonton ke arah film literacy. Maka usaha Kementerian Penerangan agar melahirkan 'filem bermutu' hanya merupakan 'putting the cart before the horse'. Jika tidak ada audiens yang cerdik, maka filem cerdik akan gagal di pasaran sendiri (contoh terbaik - atau terburuk!, adalah filem Embun dan Paloh). Sebelum kita mahu filem kita berjaya di pasaran antarabangsa, ia terlebih dahulu perlu berjaya di negara sendiri.
Imej Pertama, Imej Yang Bermakna
Imej-imej awal dan akhir dalam setiap filem, sama ada genre ataupun alternatif perlu diberi perhatian kerana di situlah terdapatnya petunjuk tentang 'background story'. Imej dalam Seman bermula dengan catatan dalam jurnal, berakhir pun begitu. Maknanya tidaj ada perubahan yang berlaku dalam hidup Osman di akhir cerita. Usaha untuk mengubah keadaan yang diinginkannya tidak berjaya. 'Life goes on as it always has. There is no hope or light at the end of the tunnel'. Filem Seman dipenuhi rintihan, kekecewaan dan kesedihan. Mungkinkah ianya sama dengan apa yang dirasai oleh P Ramlee di akhir hayatnya; seorang karyawan legenda yang juga terpinggir dan menjadi terasing di Kuala Lumpur?.
Visual awal selepas jurnal ialah pemandangan di sebuah kawasan rumah teres yang rupanya hampir sama dengan kebanyakkan kawasan rumah teres di seluruh negara (bermaksud 'regimented' dan tiada identiti sendiri). Di dalam sebuah rumah teres yang 'simple' tinggalnya.
"Seorang anak muda sa-batang-kara, yang terpelanting di-atas sa-buah muka bumi bertuah...."
Dicatatkan riwayat hidup Osman bin Mohamat, sebuah nukilan tentang seorang manusia Melayu biasa, agar menjadi renungan buat generasi akan datang. Siapakah Osman ini?. Filem Seman sebenarnya meriwayatkan kisah hidup penuh duka lara seorang manusia Melayu bernama Mansor bin Puteh:
"..... se-orang pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada negara, yang punya ugama, keluarga dan kebudayaan. Kau baru tiba, nak rampas harta pusaka yang di-semai oleh titisan darah ibunda".
Naratif dalam Seman
Dari segi naratif, Seman sebenarnya sebuah filem biasa. Osman bin Mohamat ; seperti kebanyakkan anak muda ; adalah manusia yang bermasalah. Dia mahu berkarya mengikut rasa nalurinya. Bila berlakunya konflik dalam diri, imej-imej sering menunjukkan nenek Osman dengan penuh belaian penuh nostalgia. Osman lebih dekat dengan neneknya daripada ibu bapanya sendiri (pakaian bapa Osman ditunjukkan ada persamaan dengan watak bapa di dalam drama televisyen tadi). Antara masalah Osman ialah; abangnya sendiri memusuhinya; secara tiba-tiba , Osman dapat tahu bahawa satu lagi abangnya merupakan anak angkat yang berketurunan Cina; Osman tidak dapat berkomunikasi dengan kedua ibu bapanya; cintanya dengan seorang gadis berkecai di tengah jalan, dan adiknya, Wahab - yang menampakkan minat pada cara Osman - meninggal dunia. Walauupun di akhir cerita, segala masalah keluarga dapat diselesaikan, Osman kehilangan Wahab yang diharap dapat menyambung perjuangannya.
Tetapi perjuangan yang lebih besar (dan cerita sebenar yang ingin dibawa oleh Mansor), ialah yang berkaitan dengan kerjaya dan masa depan Osman. Anjakan paradigma yang ingin dilakukan olehnya akhirnya musnah. Caranya tidak dapat diterima oleh majikannya sendiri. Secara simbolik, skrip filem yang telah disediakan oleh Osman dengan penuh kasih sayang , dicampakkan Osman ke langit. Sebagaimana ia mencampakkan wang kertas Jepun yang sudah tak berguna, hasil penjualan ladang getah datuknya pada orang asing di zaman Jepun. Datuknya ditipu Maximillan dan Wong. Datuk Osman ditipu di zaman pra-Merdeka oleh orang asing. Osman (lebih tepat lagi, Mansor Puteh) ditipu selepas negara mencapai kemerdekaan. Seruan pemerintah kepada orang-orang muda untuk meningkatkan ilmu telah membawa Mansor mengembara ke negara asing. Tetapi sekembalinya, dia terpinggir dan tidak mendapat tempat di tanah airnya sendiri. Perkara yang sama turut berlaku pada Syed Alwi dan Anuar Nor Arai yang mendapat pendidikan tinggi di luar negara.
Walaupun berpendidikan Barat, Mansor menolak ideologi pemikiran dan pandangan dari sana:
"Kau matahari terbit barat, ingin keringkan cintaku, ingin jahanamkan ketenteraman"
- kata-kata Osman di akhir cerita.
Mansor juga telah menyahut seruan untuk Pandang Ke Timur dan mengembara untuk mencari ilmu (serta dirinya). Ternyata pengembaraan Osman (dan Mansor) ke negara Jepun yang kononnya tidak juga membawa harapan kepadanya. Negara itu pun menghadapi masalah yang sama. Manusia-manusianya 'faceless'. Mereka telah terserap ke dalam ke dalam 'agenda nasional' dan hanya hidup untuk mencari makan dan berhibur. Remaja-remaja mereka berfoya-foya di tengah jalan tanpa harapan atau memikirkan tentang masa hadapan. Nasib mereka sama seperti para remaja di negara Mansor. Namun bagi Mansor, Malaysia jugalah 'bumi bertuah'. Ini disebut di awal dan di akhir filem. Begitu kasihnya Mansor kepada negaranya:
"Aku pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada negara. Aku pahlawan perkasa, sambut seruan pertiwi, se-murni kasih bunda, se-jernih embun pagi".
Perlukah kita mengetuk gendang dan mengibar bendera untuk menyatakan patriotisme kita?. Itulah persoalan yang dibawa oleh Mansor melalui Seman.
Di Hiroshima, rangka sebuah bangunan diabadikan. Rupa bentuknya seakan sebuah batu nisan, bertujuan memperingati kekejaman Amerika terhadap rakyat Jepun pada Perang Dunia Kedua. Yang masih kekal dalam ingatan mereka. Dalam filem Seman, diulang-ulang imej Stadhuys yang tersergam indah di tengah-tengah Bandar Melaka. Seperti di Hiroshima, Stadhuys dikekalkan dan berdiri tegak juga, seperti batu nisan. Perbezaannya ialah, ia sudah dicantikkan. Mnegapakah sesuatu yang merupakan tanda dan lambang penjajah dikekal dan diagung-agungkan sehingga kini, dan untuk selama-lamanya?. Maka apakah yang dimaksudkan dengan laungan 'Merdeka?'. Apakah minda kita sudah benar-benar Merdeka?.
Mansor adalah seorang pemikir, sama seperti Syed Alwi dan Anuar Nor Arai. Mereka ini berkehendak kepada kepujian, gelaran atau anugerah. Mereka hanya menagih peluang untuk berkarya agar pemikiran dan falsafah bangsa dapat dilontarkan melalui karya-karya mereka (sebagaimana disebutkan oleh Syed Alwi dalam Sesi Bicara Tokoh di Auditorium Muzium Negara pada 28 Oktober 2002).
Perjuangan Mansor bukan berpura-pura. Ianya bagaikan 'sejernih embun pagi'. Kata-kata ini datang dari hati seorang yang jujur dan ikhlas. Bagaimana pula dengan puisi yang diselitkan dalam televisyen pada tiap-tiap jam 8 malam?. Apakah ia juga datangnya dari hati nurani atau hanya menjadi sebahagian dari 'agenda nasional'?. Apakah mereka yang membaca puisi di kaca televisyen (serta penulisnya) dapat menyampaikan dengan bersemangat sekiranya menjadi manusia yang terpinggir?.
Seorang senator dalam adegan akhir filem The Gladiator (Ridley Scott, 2000) memandang ke arah mayat Protagonis yang terbujur di atas tanah. Bertanya senator itu kepada yang hadir.
"Siapakah yang akan membantu aku untuk mengangkat pejuang yang sudah mati dalam perjuangan?"
Mansor masih hidup dan sentiasa bersedia untuk berjuang. Siapakah yang mahu memberikannya peluang agar perjuagannya untuk 'mengangkat martabat filem tempatan' dapat diteruskan?.
Penutup
Osman bin Mohamat adalah manusia yang terpinggir. Osman mewakili sesiapa sahaja yang terpinggir. Seman adalah antara naskhah penting dalam sejarah industri perfileman Malaysia. Kisah dalam Seman sebenarnya adalah kisah kita semua. Sudah hampir dua puluh tahun Seman diterbitkan dan mungkin dua puluh tahun dari sekarang, Seman akan menjadi teks kajian di institusi pengajian tinggi. Mungkin. Tetapi, bagi diri Mansor, ianya tidak akan membawa sebarang manfaat. "It will be too little, too late". Nasib P Ramlee menjadi contoh. Sejarah akan tetap berulang. Namun, sejarah akan menjadi pengadil yang sebaik-baiknya bagi seorang manusia yang bernama Mansor bin Puteh.
Diakhir cerita, Osman berpakaian baju Melayu beserta tanjak, berdiri bersendirian di kawasan yang gelap (yang menjadi petanda tentang masa depannya). Dia menjulang sebuah keris dan kita mendengar bisikan hatinya melalui suara latar (masih berbahasa Melayu lama) :
"Ini suratan. Takdir menentu-kan. Aku bukan hamba-mu lagi. Aku gagah berani menentu masa depan bangsa sendiri. Aku tidak ber-senjata-cuma-ke-kuatan di dada. Manusia insan biasa".
Benar, manusia insan biasa. Dan jika mahu mengenali diri sebenar seorang karyawan, telitilah naratif dan rupa manusia-manusia rekaannya di layar.
Rupa-rupanya, Mansor bin Puteh adalah seorang nasionalis; seorang insan berilmu yang amat rasional. Ramai lagi Mansor bin Puteh akan muncul di bumi bertuah ini. Apakah mereka juga akan terpinggir di zaman mereka?.
Kertas kerja ini dibentangkan di Sesi Apresiasi Filem Seman anjuran Forum Filem Kuala Lumpur di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 19 Oktober 2002.
Hasil tulisan: Hassan Abd Muthalib, seorang penulis, pelukis, pengkritik filem dan Bapa Animasi Negara. Beliau pernah mengarahkan filem animasi, Silat Legenda (1998) dan siri animasi popular, Hikayat Sang Kancil (1983).
0 Ulasan