Walaupun menduduki carta tertinggi dengan purata markah keseluruhan 90.74 peratus sehingga menewaskan lima peserta lain, Aisha Retno mencuri tumpuan ramai dengan melakukan aksi tergantung sambil bermain piano ketika melakukan persembahan bagi minggu ke-9 pertandingan The Hardest Singing Show.
Dengan tema Luar Limitasi, minggu ini telah menyaksikan Aisha Retno memukau penonton menerusi gubahan lagu Getaran Jiwa nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diberi nafas baharu.
Persembahan Aisha dengan gabungan lagu Getaran Jiwa secara moden menerusi Phantom Of The Opera itu dikatakan agak keterlaluan dan tidak sensitif dengan karya asal Seniman Agung Tan Sri P Ramlee.
Bukan bertujuan untuk mencipta spekulasi, video yang dimuat naik Wajib Tonton menerusi platform TikTok dengan kapsyen Getaran Jiwa Versi Aisha Retno 'Biadap'? telah mencatat rating tontonan sebanyak 50k dengan pelbagai komen dari netizen dan pengguna media sosial.
Ada yang beranggapan, dengan tema Luar Limitasi, seseorang peserta atau artis yang membuat persembahan perlu menampilkan sesuatu di luar kotak atau ada sedikit 'melampau atau over', bahkan juga mengatakan Aisha tidak biadap kerana menampilkan sesuatu yang kreatif sebagai seorang peserta.
Namun, sebagai anak seni, Aisha perlu faham lagu yang dipilih itu adalah nyanyian asal seorang seniman tersohor, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Aisha perlu lebih sensitif terhadap karya asal seniman agung itu.
Bukannya untuk meminta Aisha mengekalkan ketulenan karya asal dengan menampilkan elemen klasik dalam persembahan ini, namun Aisha boleh mengelakkan diri dari menendang ke arah penonton (kamera secara langsung menunjukkan Aisha seolah-olah tergantung dengan kaki menolak ke hadapan sambil menyanyikan lagu Getaran Jiwa tersebut. Ini diklasifikasikan sedikit biadap dan tidak menghormati karya muzik P Ramlee). Jika lagu itu bukan milik seniman agung tersebut, tidak mengapa dan terpulanglah kepada Aisha untuk menampilkan bagaimana persembahan yang perlu beliau tampilkan.
Dalam situasi ini mungkin agak susah untuk mengawal emosi secara tergantung sambil menyanyikan lagu tersebut dan mungkin Aisha boleh mengiring ke tepi walaupun tergantung tanpa menonjolkan kaki ke atas, ataupun memikirkan sesuatu yang lain lebih hebat tanpa menjahanamkan keistimewaan sesebuah nilai seni dalam lagu. Namun kredit harus diberikan kepada Aisha kerana berjaya menyampaikan lagu Getaran Jiwa dengan susunan muzik dan vokal yang sangat memukau dan mengasyikkan.
Ketika menjawab pertanyaan Wajib Tonton menerusi aplikasi TikTok diruang komen, penyanyi Aisha Retno berkata, tujuan beliau menampilkan persembahan sebegitu kerana untuk mengelakkan diri dari tersingkir dan persembahan malam Ahad itu menampilkan beliau menggabungkan unsur Opera di dalam lagu klasik melayu 'Getaran Jiwa' nyanyian asal Tan Sri P Ramlee. Bukan senang untuk menterjemahkan persembahan itu memandangkan beliau terpaksa menyanyi sambil menggantungkan dirinya.
Aksi beliau mendapat standing ovation dari beberapa juri sahaja sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 untuk Anugerah The Hardest of Night.
Sementara itu, penyanyi Ayda Jebat yang menyampaikan lagu Sedang Ingin Bercinta dari Dewa 19 berjaya memperolehi 89.80 peratus, manakala Zizi Kirana 85.15 peratus, Stacy 84.87 peratus, Putera Muhammad 77.98 peratus dan Aepul Roza berada di kedudukan tidak selamat dengan markah keseluruhan 72.20 peratus.
Bagi minggu ini tiada peserta yang tersingkir di mana keenam-enam perserta berjaya mara ke minggu akhir yang bakal berlangsung pada 14 Julai depan.
The Hardest Singing Show yang dibawakan khas setiap hari Ahad secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Kuala Lumpur itu diacarakan oleh penyampai radio popular, Nabil Ahmad bergandingan bersama pengacara, pelawak yang juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose dengan barisan juri tetap antaranya Dato' Sri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak manakala minggu ke-9 menyaksikan Dato' AC Mizal sebagai juri jemputan.
0 Ulasan