BUKAN SEKADAR 'TEMAN EP', INSOMNIACKS KOLABORASI BERSAMA NABILA TAQIYYAH

Walaupun baharu 9 tahun berada di lapangan seni muzik tempatan, nama Insomniacks bukanlah asing bagi peminat muzik generasi kini. Kumpulan yang dianggotai 4 orang anak muda itu hadir dengan album terbaharu mereka berjudul 'Teman EP'.

Album yang memuatkan 8 lagu itu juga menampilkan duet terkini mereka bersama bintang Indonesia terkenal, Nabila Taqiyyah menerusi lagu Belum Mulai. Teman EP merupakan album ketiga Insomniacks yang diterbitkan Universal Music Malaysia bagi tahun 2024. Sayang/Cinta, Temani Hati dan Dimana merupakan tiga lagu baharu, di samping track lagu berjudul Teman, Cerita Kita, Igauan Malam dan Belum Mulai. Lagu tumpuan, Belum Mulai menandakan percubaan pertama Insomniacks dalam muzik Indonesia, meneroka tema melepaskan cinta walaupun cinta itu belum lagi bermula.

Ketika ditemui media di sebuah pusat membeli belah tengah Kuala Lumpur, Iqie yang merupakan vokalis utama kumpulan Insomniacks itu menyifatkan kolaborasi mereka bersama Nabila Taqiyyah sebagai pembuka jalan untuk menembusi pasaran di Indonesia memandangkan genre muzik yang dibawa mereka begitu dekat dengan masyarakat di sana apatah lagi single Belum Mulai itu mendapat sambutan mengalakkan dari pendengar muzik kedua-dua buah negara. 


Semasa pertunjukan akustik pertama mereka untuk mempromosikan lagu Belum Mulai di Jakarta, Insomniacks mengalami kejutan istimewa yang menggembirakan. Pembabitan para penonton bersama nyanyian mereka yang penuh semangat membuatkan kumpulan itu sangat teruja. 

"Kami benar-benar terkejut dan gembira mendengar penonton menyanyi bersama kami dari awal lagi. Sokongan yang kami terima sangat menggalakkan dan kami sangat berpuas hati dengan sambutannya," jelas kumpulan itu mengenai penampilan mereka di Jakarta.

Sesi persembahan langsung bersama Nabila Taqiyyah semasa promosi radio terbukti menjadi detik penting bagi kumpulan tersebut. Nabila yang merupakan Bintang Indonesian Idol Musim Ke-12 dilihat berpotensi besar sebagai rakan kolaborasi menerusi lagu Belum Mulai duet bersama Insomniacks. Anak seni kelahiran Bandar Aceh, Indonesia itu berusia 18 tahun dan pernah meraih anugerah di YouTube Creator Awards bagi Silver Creator Awards kerana saluran YouTubenya mencecah 100 langganan. 

"Bersembang bersama Nabila sangat menyeronokkan dan dia memainkan peranan penting dalam menjadikan temubual radio kami menarik dan lebih hidup. Kami gembira mendapat tahu tentang kedatangan beliau  ke Malaysia nanti dan tidak sabar untuk lebih banyak kerjasama," kata salah seorang anggota kumpulan Insomniacks. 

Ketika bercakap kepada media, Nabila Taqiyyah berkata, sebagai penyanyi beliau sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan Insomniacks yang begitu popular dengan lagu-lagu mereka di Malaysia. Pembabitan Nabila bukanlah yang pertama mahupun terakhir kerana beliau berpandangan industri muzik di Malaysia sangatlah enak dan wajar digunakan peluang sebaik mungkin untuk mengumpul peminat baharu pelbagai lapisan umur. 

Semasa berada di Jakarta, Insomniacks mendapat liputan meluas .Antara pertubuhan media yang menyambut kehadiran Insomniacks semasa lawatan media mereka di Jakarta termasuklah stesen radio seperti Okezone, Celebrity, Synchronize, OPPAL Jam Station, dan I-Radio. Mereka juga merupakan tetamu di pejabat YouTube Indonesia, serta kumpulan IDN Times dan saluran Indomusikgram.

Seterusnya, Insomniacks dan Nabila Taqiyyah juga teruja untuk berkongsi perjalanan mereka sepanjang promosi di Malaysia dari 7 hingga 10 Ogos untuk mempromosikan single terbaharu mereka, Belum Mulai. Semasa lawatan tersebut, mereka tampil di beberapa stesen media utama antaranya di Wanita Hari Ini (WHI) dan Gempak, di mana mereka bukan sahaja menyertai temubual, tetapi juga membuat persembahan akustik yang menakjubkan. Kumpulan tersebut juga melawat ERA Sarawak, ERA, Hot FM, Suria FM, untuk temubual semasa lawatan media mereka.

Bercakap soal perancangan masa hadapan, Insomniacks mempunyai beberapa projek yang menarik berbaki tahun ini. Para peminat boleh menantikan album baharu dan sebuah lagu Indonesia yang ditulis oleh Clara, dengan sumbangan daripada Toh Pati dari sudut penggubahan dan penerbitan. 

“Kami mempunyai banyak kejutan untuk peminat kami. Malahan  teruja dengan album yang akan datang dan lagu Indonesia yang baharu. Nantikan pelancaran dan projek-projek baharu ini!," kongsi Iskandar dari kumpulan Insomniacks. 

‘TEMAN EP’ kini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music sejak 9 Ogos 2024.

Catat Ulasan

0 Ulasan