DATO' M. NASIR KEMBALI DENGAN CIPTA 2

Selepas mencipta kejayaan menerusi konsert terdahulu, Cipta; komposer, penggubah dan pencipta lagu tersohor, Dato' M. Nasir bakal memukau sekali lagi penonton 12 Oktober depan menerusi Cipta 2.

Cipta 2 yang bakal dipentaskan di lokasi yang sama, Axiata Arena Bukit Jalil itu bakal menjanjikan kelainan di mana pelantun suara Mustika, Apokalips, Mentera Semerah Padi dan banyak lagi itu akan menyanyikan seleksi lagu yang tiada dalam konsert sebelum ini.

Iman Tang, yang merupakan pemilik dan pengasas rumah produksi ICON Entertainment berkata, penganjuran konsert kali ini lebih bervariasi dan mempunyai pembaharuan dari segi konsep, lagu serta persembahan yang sedikit berbeza dengan konsert Cipta sebelum ini.

“Setelah mengambil kira semua maklum balas yang diberikan pemerhati seni, peminat tegar M. Nasir atau peminat muzik yang mengikuti perkembangan Konsert Dato M.N45ir Cipta, pihak ICON Entertainment bersama yang kami hormati iaitu the one and only Dato' M.Nasir dengan sukacita untuk mengadakan extended version konsert ini khas buat semua peminat.

“Oleh kerana ia merupakan kesinambungan daripada Konsert Dato M.N45ir Cipta, maka kami bersetuju menamakan konsert ini sebagai Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 yang akan berlangsung di lokasi sama iaitu Axiata Arena Bukit Jalil pada 12 Oktober 2024,” katanya.


Tambah beliau lagi, bagi peminat yang terlepas menyaksikan konsert sebelum ini, CIPTA 2 adalah momen terbaik untuk anda cipta dan simpan sebagai sejarah.


Konsert yang berbaki hampir dua bulan itu hanya boleh memuatkan 6,000 penonton sahaja dan tiket akan dijual secara terhad bermula 27 Ogos 2024 jam 2.00 petang.



Tiket-tiket berharga di antara bermula RM 238 (Fantasia Bulan Madu- FBM),  RM338 (Mentari Merah Di Ufuk Timur- MMDUT), RM458 (Layang-layang Terputus Talinya- LLTL), RM488 (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara- SBSDGS), RM528 (Laila Namamu Teratas- LNT) dan RM588 (Keroncong Untuk Ana- KUA). Tiket mula dijual pada 27 Ogos 2024 (Selasa) pukul 2:00 petang di laman www.ticket2u.com.my/mnasircipta2 .


M.Nasir, 67, mengakui bukan mudah untuk beraksi di pentas untuk menghiburkan penonton, malahan beliau juga berkata sebagai anak seni, itu yang perlu dilakukan demi peminat yang menyokongnya dan yang hadir membeli tiket. Untuk penganjuran kali ini, ia tidak boleh terlalu lama, biar cepat tapi impaknya besar walaupun ia sedikit, namun kesannya biarlah yang hadir akan pulang dengan senyuman di bibir.


“Kerana permintaan ramai dan pada mereka yang tidak boleh move on lagi, maka kami adakan CIPTA 2. Persembahan kali ini akan mempunyai lagu-lagu yang lain, ada lagu-lagu lama tetapi sebahagian besar persembahan akan diisi dengan lagu-lagu lain.



"Mungkin ada sebahagian lagu lama yang sudah lama tidak dinyanyikan atau tidak sempat pada konsert Cipta sebelum ini, menerusi CIPTA 2, kami akan bawakan semua untuk anda," katanya.  


Jika anda peminat M. Nasir, pendengar muzik dan pernah memiliki kesemua album beliau, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk hadir membeli tiket. Tempat adalah terhad.

Catat Ulasan

0 Ulasan