DFP PENTASKAN RANDAI MUDO PAK BELALANG OGOS INI

Bagi mengangkat martabat seni tradisional agar menjadi satu persembahan tradisi yang boleh membawa signifikan terhadap perkembangan seni budaya dan warisan di Malaysia, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) membawakan DFP Muzikal: Randai Mudo Pak Belalang. 

Bakal dipentaskan julung kali dalam bentuk persembahan berskala besar di sebuah dewan berprestij yang menjadi idaman kebanyakkan pengkarya seni sama ada tempatan mahupun antarabangsa, Randai merupakan satu persembahan  yang menggabungkan elemen tari, muzik, jenaka dan lakonan dalam setiap persembahannya. Setiap gerak lakonnya bergerak di atas pola bulatan dengan diiringi seni bela diri, tarian rakyat dan juga nyanyian. 

Berbeza dengan Randai di Sumatera Barat, Randai di Negeri Sembilan mengandungi lagu wajib seperti buka gelanggang iaitu lagu Budu Landai, Cantik Manis dan Anak Bocek. Persembahan Randai disertai oleh lebih kurang 20 orang anak randai yang akan menyampaikan cerita atau 'kaba' dan 'bakaba' (bercerita dalam bentuk kiasan dan perumpamaan).

Pada zaman dahulu,  Randai sering dipersembahkan pada perayaan menuai padi, upacara perkahwinan dan perayaan adat lain. Keistimewaan teater ini ialah ia diserikan dengan lagu-lagu rakyat diiringi alat-alat muzik tradisional seperti cak lempong, rebana, salung dan gong.

Untuk persembahan di DFP yang bakal dipentaskan pada Sabtu, 10 Ogos 2024, Randai ini akan menampilkan kumpulan kanak-kanak berbakat yang dilatih oleh Pewara Dance Theater, sebuah kumpulan alumni ASWARA di mana peserta cilik yang akan membuat persembahan ini adalah merupakan anak kepada kakitangan ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan).

Teater muzikal yang bakal menterjemahkan bentuk seni tari dengan elemen kemelayuan tradisi melalui babak dan lagu khususnya dalam filem Nujum Pak Belalang (1959) ini diarahkan Mohd Adika Zainal sementara Mohamad Yusmar Afeendi Yusof bertindak sebagai koreografer. 

Menerusi teater Randai ini, penonton akan dibawa menyaksikan satu bentuk persembahan yang menggunakan pergerakan asli iaitu silat tetapi ada beberapa elemen lagu disuai padan dengan cerita Pak Belalang, seperti penyamun tarbus.

Menurut Mohd Adika Zainal, pengarah teater ini menyifatkan Randai sebuah persembahan yang mencabar kredibilitinya kerana keseluruhan pemain Randai ini terdiri di kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun, di mana mereka perlu menghafal setiap dialog yang dilontarkan mengikut babak di samping mengalunkan bentuk tarian dengan lagu yang dimainkan.

"Apabila Randai ini dimainkan oleh pelakon kanak-kanak, kita harus menyesuaikannya dengan cerita yang dibawa walaupun ia berkisarkan kisah orang dewasa. Sebabnya, sebelum ini kita banyak menampilkan pelakon remaja dan dewasa dan untuk Randai di DFP, kami membawakan pelakon kanak-kanak dalam dimensi alam dewasa," katanya.

Namun bagi Juhara Ayob, teater di pentas boleh mencipta nama dalam dunia lakonan. Menurutnya, sebagai anak seni, seseorang pelakon yang bagus lahir dari persembahan teater yang dikemudinya. Bagi teater Randai, Juhara yang juga seorang pensyarah, pelakon teater dan filem berkata, anak-anak genius yang akan membuat persembahan 10 Ogos ini adalah di antara pemain Randai kanak-kanak yang terpilih. 

"Apabila dimaklumkan mereka (kanak-kanak) akan membuat persembahan di pentas DFP, kebanyakkan dari mereka ini teruja dan tidak sabar untuk memberikan persembahan yang menarik khususnya buat penonton dan pencinta seni. 

"Bagi pihak ASWARA, kami berbesar hati kerana dapat mementaskan Randai pada 10 Ogos ini memandangkan ini kali pertama kami menampilkan kanak-kanak sebagai pemain Randai dan terima kasih buat DFP kerana mempercayai bakat anak-anak genius ini khususnya dalam persembahan muzikal Randai," katanya

Bagi anda yang ingin menyaksikan teater muzikal Randai Mudo Pak Belalang, bolehlah membuat pembelian tiket secara eksklusif menerusi laman sesawang DFP di mana harga tiket serendah RM69 hingga RM249 boleh didapati sekarang. Nikmati ‘Pakej Keluarga’ dengan potongan 15% apabila membeli minimum 4 tiket untuk menonton persembahan Mek Mulung atau Randai di DFP.

Persembahan Randai Mudo Pak Belalang merupakan pengisian ketiga DFP Seni Festival 2024 selepas konsert Jit Sin High School’s Chinese Orchestra (20 Julai 2024) dan Mek Mulung Putera Cahaya Bulan (27 Julai 2024).

Catat Ulasan

0 Ulasan