DUA SURGA DALAM CINTAKU ANGKAT KISAH POLIGAMI & PENGORBANAN

Bagi anda yang meminati filem cinta romantis yang mengusung genre religi, ada sebuah filem dari Indonesia berjudul Dua Surga Dalam Cintaku yang wajib anda tonton di pawagam seluruh Malaysia tidak lama lagi. 

Filem Dua Surga Dalam Cintaku yang diarahkan oleh sutradara Kiki Nuriswan ini bakal ditayangkan di pawagam mulai 29 Ogos 2024. Filem ini diadaptasi daripada novel terlaris di Indonesia dengan judul yang sama karya Allahyarham Atho Al Rahman. 

Diterjemahkan oleh penulis terkenal Boni Faisal yang mengambil pendekatan ke arah  jalan cerita bertemakan kemelut dalam perkahwinan dengan rakaman sinematik yang mengujakan, Dua Surga Dalam Cintaku berdurasi 111 minit ini  dibintangi oleh Yuki Kato, Aliff Ali, Keira Shabira, Early  Ashyla, Iwan Burnani, Ivanka Suwandi, Azza Galedda, Nurul Anissa Hasanah, Cahya Arynahara, Irza Mahatir, Yugo Werner dan Edy Tambudo.

Karya hebat dari Indonesia ini diedarkan oleh syarikat yang baharu bertapak di Malaysia iaitu AD Interact International Sdn Bhd dan diterbitkan oleh rumah produksi dan penerbit yang cukup berpengalaman. 

Filem yang disunting  mengikut kesesuaian penonton di Malaysia dan Brunei ini telah pun menemui penonton di Indonesia pada 21 Mac lepas  dan ia diterbitkan produksi Cakrawala Pictures.

Hilmy Othman yang merupakan Pengarah Urusan AD Interact International Sdn Bhd berharap peminat filem tempatan dapat menerima naskhah filem ini kerana ia begitu dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia walaupun berlainan bahasa, namun ia membawa variasi yang sedikit sama dengan budaya di sini tetapi acuannya sedikit berbeza dalam konteks pemikiran dan falsafah yang disampaikan. 

“Filem ini memiliki tajuk yang sangat kuat dan bermakna. Dalam Islam, poligami dibenarkan dengan sebab-sebab tertentu. Filem ini mungkin akan memberikan perspektif yang berbeza mengenai isu poligami dan membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan ini. 

Filem yang disulam dengan latar belakang cerita moden ini telah menjalani pengambaran di Mekah, Madinah dan Taif, Arab Saudi serta Bogor dan kampus Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta.

Karya yang menampilkan perpaduan budaya Islam dari Arab dan Indonesia ini mencipta ruang dan sisi cerita yang menarik serta bermakna melalui setiap lontaran dialognya.

“Hasrat kami adalah agar para peminat filem di Malaysia dapat menerima dan menghargai karya ini. Kami berkomitmen untuk terus membawa variasi yang berbeza kepada penonton di Malaysia. Selain itu, kami juga bercita-cita untuk menerbitkan filem lain pada masa akan datang," tambahnya lagi  berharap peminat filem tempatan dapat menerima naskhah filem yang bakal menjengah pawagam tempatan bermula 29 Ogos depan.


SINOPSIS RINGKAS:

Arham, seorang mahasiswa di Jakarta, diam-diam mencintai teman kecilnya, Husna, dan mereka akhirnya berkahwin. Namun, kebahagiaan mereka tergugat apabila Husna disahkan menghidap kanser otak yang membawa maut. Arham tetap setia menemani Husna hingga akhir hayatnya, sebelum terpaksa melanjutkan pelajarannya dengan hati yang berat.

Dalam perjalanan hidupnya, Arham bertemu dengan Zilka, seorang wanita muda yang ingin berubah dari masa lalu yang gelap dan mencari bimbingan ke jalan yang benar. Hubungan mereka semakin rumit apabila Erwin, seorang psikopat dari masa lalu Zilka, muncul dan menambah tekanan dalam hidup Arham yang sudah sedia terbeban.

Dua Surga Dalam Cintaku dipawagam 29 Ogos 2024.

Catat Ulasan

0 Ulasan